Sastera Islam.
Secara
umumnya, kesusasteraan bukanlah sesuatu yang dihasilkan hanya untuk berseronok
semata-mata tetapi lebih menjurus kepada penyampaian mesej atau amanat yang
tertentu. Dalam Islam, aspek persuratan dan kesusasteraan ini bermula dan seiring
dengan wahyu pertama yang diterima oleh nabi Muhammad SAW yang kemudian
menyampaikannya kepada para sahabat dan seterusnya kepada seluruh umat manusia.
Wahyu berkenaan terakam dalam surah al-alaq ayat 1-5 yang bermaksud,
Bacalah dengan(menyebut) nama Tuhanmu
yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah
dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan
kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Kesusasteraan
sebenarnya telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Dalam kalangan bangsa
Arab jahiliyah, sudah menjadi tradisi mereka mengadakan pertandingan mencipta
puisi. Karya puisi terbaik akan digantung di Kaabah tetapi tema yang dibawa
lebih menjurus kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam seperti
memuja-muja berhala, mengagung-agungkan kabilah, memuji arak, judi dan lain-lain yang dilarang
dan bertentangan dengan Islam. Namun begitu, kehebatan mereka berpuisi tidak
dapat menandingi kehebatan al-Qur’an sehingga Allah mencabar mereka
menghasilkan puisi yang sama seperti firman Allah dalam al-Qur’an, surah
al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud,
Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan
tentang al-Qur’an yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu
surah (sahaja) yang semisal al-Qur’an itu dan ajaklah penolong-penolongmu
selain Allah, jika kamu orang-orang yang memang benar.
Kedatangan
Islam sebagai agama syumul yang merangkumi segala aspek kehidupan telah
mengubah tradisi jahiliyah tersebut. Al-Qur’an telah menjadi panduan dan
peraturan hidup yang cukup lengkap. Cara hidup yang bersandarkan tauhid dan
pelaksanaan syariat Islam yang bersumberkan al-Qur’an dan sunnah nabi mengubah
tradisi kesusasteraanyang berpaksikan
jahiliyah dan penuh kesesatan itu. Ini diterangkan oleh Allah dalam al-Qur’an
surah al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud,
Kitab (al-Qur’an) ini tidak diragukan;
petunjuk bagi mereka yang bertakwa.
Kitab
suci al-Qur’an dan sunnah nabi merupakan dua sumber utama yang menjadi teras
dalam penghasilan kesusasteraan Islami. Kedua-duanya merupakan asas penghasilan
karya. Hal ini dapat dilihat berdasarkan perkembangan sastera Islami itu
sendiri yang pada awalnya mengambil pengajaran-pengajaran al-Qur’an untuk
disampaikan kepada pembaca. Tumpuan pada peringkat awal ini lebih diberikan
kepada soal-soal tauhid dan akidah. Para ulama dan cendekiawan Islam telah
menghasilkan pelbagai jenis buku dan kitab. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah
agama mereka, sering kali mengambil bermacam-macam kisah, contoh teladan
daripada al-Qur’an dan sunnah sebagai ingatan dan iktibar kepada masyarakat. Selain
darfipada itu, karya-karya yang dihasilkan juga bersandarkan pengajaran dan
anjuran daripada al-Qur’an seperti hubungan antara manusia dengan Allah,
manusia sesama manusia, manusia dengan makhluk lain, kasih sayang, hidup
bermasyarakat dan sebagainya.
Menurut
Najib Muhammad al-Bihati (dalam Nurazmi Kuntum, 1991: 5) sekurang-kurangnya
tujuh perubahan besar dibawa oleh Islam dalam bidang kesusasteraan iaitu,
pertama, sastera lebih menekankan cabaran dan pemikiran serta pembicaraan
dengan perasaan dan hati. Kedua, lahirnya hubungan yang erat antara kebenaran
dan imaginasi. Ketiga, mementingkan norma sosial dan kemasyarakatan dan menolak
perkauman. Keempat, mempunyai perseimbangan dalam penggunaan bahasa bagi
menghasilkan pernyataan yang berkesan. Kelima, sastera hendaklah disampaikan
dalam kiasan dan tidak dalam bentuk yang keras dan kasar. Keenam, karya yang
dihasilkan adalah pendek supaya mengesankan tetapi Islam tidak menyekat
sekiranya mampu menulis lebih panjang dan lebih baik dan yang ketujuh, nilai
karya dapat dipertahankan bagi setiap zaman. Pandangan yang dikemukakan oleh
Najib ini lebih menjurus kepada penghasilan karya kesusasteraan yang
mementingkan perpaduan, kesopanan, dan menolak fahaman perkauman, perpecahan
tetapi tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dalam karya.
Memandangkan
hubungan yang erat dan rapat antara kesusasteraan dan tradisi ilmu yang menjadi
tonggak dalam agama Islam, kesusasteraan kemudiannya mula bertapak dan bergerak
seiring dengan Islam. Antara hasil kesusasteraan Islami ialah syair-syair sufi,
sastera ketatanegaraan, hikayat-hikayat yang bercorak keIslaman dan kisah-kisah
para nabi dan anbia yang bersandarkan al-Qur’an. Walaupun ada unsur-unsur
Israiliyat tetapi cerita pokoknya masih berteraskan al-Qur’an.
Islam
merupakan satu agama yang merangkumi segala aspek kehidupan. Apabila seseorang
itu telah memilih Islam sebagai cara hidup, maka mereka secara langsung mesti
mematuhi norma-norma yang telah ditetapkan baik dalam apa sahaja bidang
termasuk ekonomi, politik, pentadbiran, sosial mahupun kesusasteraan. Sebarang
tindakan yang dilakukan akan menjadi sia-sia jika tidak berlandaskan Islam
malah akan mengundang dosa pula (Abdul Halim Ali, 2003; 169-170). Tuntutan Islam
juga meliputi bidang kesusasteraan. Jika bidang ekonomi dipisahkan daripada
Islam, maka bidang ekonomi itu dipanggil ekonomi sekular dan jika bidang
kesusasteraan dipisahkan daripada Islam, maka bidang kesusasteraan itu pastinya
dikenali sebagai kesusasteraan sekular (kesusasteraan bukan Islam). Seperti
yang dinyatakan di atas, sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Islam hanya
sia-sia dan mendapat kemurkaan Allah.
Apakah
yang dapat kita fahami tentang kesusasteraan Islami? Pelbagai pandangan dan pendapat
diutarakan untuk menjelaskan perkara ini. Muhammad Qutb (dalam Shafei Abu
Bakar, 1980; 45) mendefinisikan kesusasteraan Islami sebagai karya yang
mengandungi nasihat, tunjuk ajar, menggalakkan melakukan kebaikan dan mencegah
melakukan kemungkaran. Sesebuah karya itu belum lagi boleh diterima dan
dikategorikan sebagai sebuah karya kesusasteraan Islami jika hanya sekadar
mengandungi ajaran akidah dan falsafah Islami semata-mata. Sesebuah karya itu
mestilah merangkumi segala kewujudan menurut jurus pandangan Islam termasuklah
ungkapan yang indah berkenaan dengan Islam, alam, kehidupan dan insan. Dengan
kata lain, kesusasteraan Islami menurut Muhammad Qutb menggabungkan keindahan dan kebenaran.
Keindahan merujuk kepada hakikat alam tercipta dan kebenaran pula merupakan
puncak kepada keindahan yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak serta
bersumberkan wahyu.
Menurut
yusof yaakob dalam artikelnya berkaitan sastera Islami yang diterbitkan dalam Utusan Zaman bulan Ogos 1974 berpendapat
bahawa sastera Islami itu adalah sastera yang mengandungi unsur dakwah. apa
sahaja yang menjurus kepada menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
boleh dianggap sebagai dakwah dan sastera Islami adalah suatu wadah dalam
kegiatan dakwah. Muhammad Uthman el-muhammady turut memberi pandangan tentang
kesusasteraan Islami. Menurut Uthman, sastera Islami adalah sastera suci dan
mendidik hati nurani manusia kepada kebaikan. Di samping itu, penghasilan karya
juga seharusnya memberi penekanan kepada mengagungkan Allah dengan menjadikan
al-Qur’an sebagai model untuk ditiru. Hal yang demikian ialah kerana kedudukan
al-Qur’an itu sendiri sebagai sebuah karya kesusasteraan yang sarat dengan
cerita-cerita untuk dijadikan sebagai renungan dan panduan hidup sejagat.
Selain daripada itu, kesusasteraan Islami juga perlu mengarah kepada menjadikan
sifat-sifat yang ada pada baginda Rasulullah SAW sebagai ikutan dan contoh yang
terbaik.
Shahnon
Ahmad (1982; 1) pula mendefinisikan kesusasteraan Islami sebagai karya umat
Islam yang dihasilkan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah dan berhimah
untuk manusia sejagat. Ini adalah kerana manusia yang mencipta karya itu adalah
ciptaan Allah dan mereka berkarya untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah
dengan mengambil al-Qur’an dan sunnah sebagai sumber pendidikan untuk
membimbing dan memberi manfaat kepada manusia sejagat. Sastera yang sedemikian
bukan sahaja menghiburkan tetapi lebih kepada mendidik, membimbing dan
menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan seterusnya menunjukkan jalan ke arah
kebahagiaan hidup di dunia dan alam abadi. Shahnon juga berpendapat, dalam
berkarya, perkara pokok yang perlu
diberi penekanan adalah berkaitan dengan tauhid iaitu penyerahan seluruh jiwa
raga kepada keesaan dan sifat Allah yang tunggal.
Pandangan
dan pendapat yang dikemukakan oleh Shahnon ini mendapat sanggahan daripada
Kassim Ahmad sehingga berlaku polemik antara kedua-duanya. Kassim beranggapan
bahawa pandangan yang dikemukakan oleh Shahnon itu terlalu umum dan penuh
kesamaran. Namun begitu, Kassim tetap mengakui kebenaran konsep yang
dikemukakan Shahnon yang beranggapan bahawa penghasilan sesuatu karya kerana
Allah itu adalah lebih tinggi, lebih mulia dan lebih utuh berbanding dengan
yang lain (Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad, 1987;26).
Kassim
melihat kesusasteraan Islami itu berteraskan tiga perkara pokok. Pertama,
kesusasteraan yang dihasilkan oleh orang-orang Islam untuk manusia, kedua,
kesusasteraan yang dihasilkan oleh orang-orang Islam mengikut estetika Islam
untuk manusia, dan yang ketiga, kesusasteraan yang dihasilkan oleh manusia
selaras dengan estetika Islam untuk manusia.
Mana
Sikana (1985; 18) menyatakan bahawa kesusasteraan Islami adalah penghasilan
karya yang menggambarkan sikap hidup penuh takwa yang memberi penekanan kepada
aspek-aspek kebaikan dengan bersandarkan al-Qur’an dan sunnah. Di samping itu,
karya tersebut lebih memberikan penekanan kepada hubungan antara manusia dengan
Allah dan manusia dengan manusia itu sendiri.
S.M.
Zakir berpendapat sastera Islam adalah sesuatu yang subjektif kerana sastera
Islam mempunyai konsep yang meluas kerana konsepnya yang meluas dan sifatnya
yang universal. Bagi S.M. Zakir, sastera Islam tidak terhad kepada penulis
Islam, asalkan karya penulisannya mementingkan hubungan antara manusia, alam
dan Maha Pencipta (Utusan Malaysia, 1 Ogos 2006).
Amirudin
Ali (Ketua 1 Persatuan Penulis Johor) pula berpendapat bahawa sastera Islami
perlu memiliki kebenaran dan pegangan kerana Islam berkonsepkan Ad-Din(Utusan
Malaysia, 1 Ogos 2006). Disamping itu, dalam penulisan, seseorang pengarang
perlu ada pegangan agama kerana bidang penulisan adalah sebahagian daripada
konsep tauhid. Faisal Tehrani (dalam akhbar yang sama) turut memberikan
pandangannya tentang sastera Islami. Menurut Faisal, penulis itu mestilah
seorang Islam dan menulis tentang Islam serta kebenaran diangkat daripada apa
yang ditulisnya. Ada tiga aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh
seorang pengarang Islam iaitu, keadilan, keindahan dan kebenaran. Sastera Islam
juga perlu memiliki ketinggian ilmu, pemikiran dan wacana. Ilmu yang
dimaksudkan ialah yang berupaya membawa basirah dan mendekatkan diri kepada
Allah dan kebenaran.
Shamsudin
Othman (Utusan Malaysia, 1 Ogos 2006) pula menjelaskan sastera Islami harus
bertitik tolak daripada akidah Islam dengan berteraskan al-Qur’an dan sunnah.
Sastera Islami itu pula berupaya membawa perubahan akidah yang menghayati
ciri-ciri ketauhidan dan mengubah paradigma. Pengarang Arab terkenal, Dr Syauqi
Dhaif dalam bukunya Fi al Naqli al Adabi[1]
menjelaskan bahawa sastera Islami itu mestilah berlandaskan kepada kebenaran,
keundahan, kebaikan dan kemuliaan. Sementara itu, Prof Taha Hussein dalam
bukunya Min Tarikh al Adab[2]
menyatakan sastera Islami itu berlandaskan kepada kebenaran dan tidak pula
bercanggah dengan hukum Allah.
Sesebuah
karya itu dapat dikategorikan sebagai kesusasteraan Islami jika menepati
kriteria-kriteria berikut, pertama, pengalaman manusia yang digambarkan dalam
karya sastera Islam adalah merangkumi pengalaman intelektual, emosi dan badani
malah yang lebih penting ialah pengalaman kerohanian manusia dalam hubungannya
dengan Allah. Kedua, kesan sastera Islam itu mestilah kesan yang menyeluruh
yang memberi manafaat kepada pembaca mengikut ukuran Islam, iaitu sesuatu yang
diredhai oleh Allah bagi hamba-Nya. dan yang ketiga, pengucapan seni sastera
Islam memerlukan teknik yang baik dan menarik (Sastera Islam dalam pembinaan,
6-7). Pandangan yang dikemukakan ini memperlihatkan peri pentingnya sesebuah
karya itu dihasilkan mengikut acuan yang ditetapkan khususnya hubungan antara
manusia sebagai hamba yang diamanahkan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini
dan sebagai hamba-Nya. Dengan kata lain, karya yang dihasilkan mestilah
mengikut lunas-lunas yang sudah ditentukan dalam al-Qur’an dan sunnah dengan
mengambil kira hubungan penulis dengan Allah dan hubungan penulis dengan
pembacanya tanpa mengabaikan elemen-elemen keindahan dalam karyanya itu.
Dalam
hal ini juga, pengarang Islam seharusnya meningkatkan daya keintelektualannya
dengan menerapkan nilai-nilai hikmah yang tinggi dalam karyanya. Pengarang
mesti mempunyai pengetahuan agama yang kukuh dan tahu pula menggunakannya dalam karya yang dihasilkannya. Sekiranya ia
benar-benar dapat meninggalkan kesan keIslamanan yang mendalam kepada pembaca
melalui karya sasteranya, maka ia boleh dianggap sebagai seorang seniman Islam
yang berjaya (sastera Islam dalam pembinaan,6). Namun begitu, seseorang
pengarang tidak semestinya bertindak sebagai seorang pendakwah atau penasihat
agama. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menghasilkan karya yang menepati
kehendak al-Qur’an dan sunnah. Karya kesusasteraan Islami yang dikemukakan
dalam bentuk seni yang indah dan menarik akan menarik minat dan memberikan
kesan kepada pembaca.
Gagasan Persuratan Baru.
Sebelum
dijelaskan konsep gagasan Persuratan Baru, ada baiknya jika kita kenali
terlebih dahulu orang yang bertanggungjawab menjana gagasan Persuratan Baru
ini. mohd Affandi Hassan dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 9 Mac 1943.
Beliau merupakan bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Institut Tadbiran Awam
Negara (INTAN). Beliau mendapat ijazah pertama dalam bidang Pengajian Melayu di
Universiti Malaya pada tahun 1968 dan ijazah kedua dari University of Essex
pada tahun 1977 dalam bidang Political Behavior. Beliau juga pernah mengikuti kursus akademik di School of
Oriental and African Studies di University of London.
Mohd
Affandi Hassan telah menghasilkan pelbagai janru (Mohd Affandi lebih senang
menggunakan istilah janru untuk genre). Dalam bidang cerpen, antara antologi
yang dihasilkannya ialah Matinya seorang
pahlawan (1971), Le Masque (1974),
Mimpi rakyat (1985), Pura Pujangga (1990), Tenggelam di Lautan china (1994) dan Bukan ahli UMNO: bukan salah SSB (1998).
Mohd Affandi turut aktif menulis novel.
antara novelnya yang telah diterbitkasn ialah Aligupit (1993), Jejak Warisan (1994), Citra pujangga (1995), Tampang
sasterawan (1996), Wajah pendeta (1996).
Jejak warisan, Citra pujangga, Tampang
sasterawan dan wajah pendeta kemudiannya digabungkan
dalam sebuah tetralogi dengan judul Pujangga
Melayu(1997). Beliau juga aktif dalam bidang kritikan dengan menghasilkan
beberapa tulisan yang antaranya Pendidikan
estetika daripada pendekatan Tauhid(1992), Medan-medan dalam sistem Persuratan Melayu; sanggahan terhadap syarahan
perdana Prof Dr. Muhammad Hj Salleh (1994), dan Pemikiran dan pendekatan dalam
kritkan sastera Melayu moden (1994) (Mohd Zariat Abdul Rani, 2004;
162-163).
Dalam
bidang akademik, Mohd Affandi turut aktif membentangkan pelbagai kertas kerja
ilmiah dalam seminar seperti ‘Membina Teori Sastera Sendiri’ pada tahun 1999,
‘Seminae Emosi Melayu’ pada tahun 2003, ‘Seminar Jenaka Melayu Nusantara’ juga
pada tahun 2003 dan kertas kerja berjudul, Kesusasteraan
Melayu di persimpangan jalan; anti-intelektualisme, hasad, pandirisme pada
tahun 2004.
Teori
gagasan Persuratan Baru merupakan hasil janaan Mohd Affandi Hassan. Pada
peringkat permulaannya, Mohd Affandi Hassan menggunakan istilah ‘Pendekatan
Tauhid’ untuk menamakan gagasan pemikiran beliau. Beliau seterusnya menggunakan
istilah ‘Sistem Persuratan Melayu’ pada tahun 1994 sehinggalah pada tahun 1996,
istilah ‘Persuratan Baru’ digunakan secara konsisten (Mohd Zariat Abdul Rani,
2004: 161).
Hakikat Insan
Manusia
merupakan sebaik-baik kejadian. Allah menciptakan manusia pertama iaitu nabi
Adam dengan kekuasaannya dan kemudiannya diberikan roh. allah kemudiannya telah
memerintahkan semua malaikat supaya sujud kepada nabi Adam. Kehebatan dan
kelebihan manusia ini dikejapkan dengan firman Allah sendiri dalam al-Qur’an
surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud, ” Sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.
Kejadian
manusia itu sendiri sebenarnya disertakan dengan akal sebagai tanda
kesempurnaan yang dapat berfikir mana yang baik dan mana yang buruk.
Kesempurnaan akal itu membolehkan manusia diberi kuasa untuk menjadi khalifah
Allah di muka bumi ini yang dalam masa yang sama semua makhluk Allah tidak
berkemampuan untuk memikul tugas dan tanggungjawab ini. Kesanggupan manusia ini
adalah kerana Allah telah memberikan semua keistimewaan yang tidak diberikan
Allah kepada makhluk-makhluk yang lain. Inilah kelebihan yang ada pada manusia
yang secara tabiinya merupakan makhluk yang sedia menerima apa sahaja
tanggungjawab yang diberikan oleh Allah. Dalam hal ini, akal memainkan
peranannya kerana sebarang tindakan manusia adalah atas pertimbangan akal yang
dapat membezakan baik dan buruk serta sanggup menerima apa sahaja balasan atas
perlakuannya sama ada balasan itu baik ataupun buruk.
Walaupun
manusia dibekali dengan akal fikiran yang dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya
dan ditambah dengan kejadiannya yang cukup sempurna tetapi harus diingat, asal
sifat manusia itu yang pelupa (nisyan) boleh membawa manusia kepada
kedudukan yang serendah-rendahnya dalam hierarki makhluk Allah. Sifat dan sikap
manusia yang angkuh dan suka memberontak, melawan, menuruti hawa nafsu dan
mengejar nikmat keduniaan, melakukan maksiat, mengejar pangkat dan kedudukan,
dan lain-lain yang negatif boleh membawa manusia ke tahap yang paling hina.
Dalam hal ini, Allah telah memperingatkan manusia bahawa asal kejadiannya
daripada air yang hina dan lemah (air mani) yang dipancutkan oleh lelaki ke
dalam rahim perempuan dan dilahirkan melalui saluran yang sama dengan keluarnya
najis. Begitulah kedudukan manusia yang sebenarnya, hina dan lemah.
Sebagaimana
kita sedia maklum, manusia diciptakan oleh Allah dengan tujuan untuk menyembah dan mengabdikan
diri kepada-Nya. Ini berdasarkan firman Allah dalam al-Qur’an surah az-Zariyat ayat
56 yang bermaksud,
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia
melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku”.
Berdasarkan
firman di atas, manusia sewajarnya sedar dan insaf kedudukan mereka sebagai
hamba Allah dan sewajarnya adalah milik Allah sepenuhnya. Oleh hal yang
demikian, manusia tanpa apa-apa alasan mesti mengabdikan diri kepada Allah dan
menjadi hamba-Nya yang bertakwa.
Dalam
hal ini juga, ada baiknya jika kita telitikan firman Allah dalam surah al-A’Raf
ayat 172 yang bermaksud,
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan
keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian
terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka
menjawab: ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi. (Kami lakukan yang
demikian itu) agar di hari kiamat kamu
tidak mengatakan: ‘Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah
terhadap ini (keesaan Tuhan)”.
Ayat
di atas memberikan penekanan kepada tujuan penciptaan manusia yang bertitik
tolak daripada pertanyaan Allah kepada jiwa manusia, “Bukankah Aku ini Tuhanmu?”. Pertanyaan yang dikemukakan oleh Allah
ketika manusia berada di alam roh ini dijawab dengan ikrar dan janji manusia
untuk menyhembah dan mengabdikan diri kepada Allah. Menurut Mohd Affandi
Hassan, isi penting yang terkandung dalam jawapan manusia itu adalah janji yang
dilafazkan oleh seorang hamba kepada Tuhannya dengan memperakukan ke-Esaan-Nya.
Isi
kandungan perjanjian tersebut (ayat di atas) menjadi dalil termeterainya
perjanjian azali di antara manusia yang merupakan hamba dengan Allah yang
menjadi Pencipta. Dalam perjanjian ini, manusia memberikan ikrar dan perakuan
bahawa akan melaksanakan segala yang diperintah dan menjauhi segala yang
dilarang-Nya. Sehubungan itu, ada baiknya jika diteliti pandangan yang
dikemukakan oleh Syed Muhammad Naguib al-Attas. Beliau mengatakan bahawa apa
yang terkandung dalam perjanjian azali antara manusia dan Allah itu adalah
hakikat hutang penciptaan dan kejadian yang menjadi asas hubungan antara
manusia dengan Allah. Menurut Syed Muhammad Naguib lagi, hakikat keberhutangan
tersebut menjadikan manusia sebagai penghutang yang sentiasa terikat dengan
hutang kepada Penciptanya dan Pencipta inilah yang menjadikan manusia dengan
sebaik-baik kejadian. Hakikat ini juga menimbulkan rasa keberhutangan
(indebteness) manusia yang kemudiannya mengikat keseluruhan aspek kehidupan
mereka di muka bumi ini. Rasa keberhutangan ini dapat dilihat melalui pengakuan
dan janji manusia untuk menjadi saksi terhadap kebesaran dan kebenaran bahawa
Allah adalah Pencipta.
Di
samping itu, hakikat keterikatan dan keberhutangan menjadikan manusia sebagai
hamba yang akan sedaya upaya mahu menunaikan janjinya dengan mengenal dan
melakukan bakti kepada Allah. Keinginan ini dianggap sebagai satu kecenderungan
semula jadi atau fitrah kejadian manusia yang dilahirkan dengan sifat bersih
suci. Mohd Affandi turut menjelaskan bahawa fitrah penciptaan manusia adalah
seiring dengan tugas hamba yang dituntut melaksanakan ibadat dengan mematuhi
segala apa yang disuruh dan menjauhi segala apa yang dilarang, sebagaimana yang
telah ditetapkan oleh syariat.
Hal
yang demikian menyebabkan segala apa yang ada pada diri manusia itu dianggap
sebagai milik abadi Penciptanya yang dipinjamkan secara sementara kepada
mereka. Oleh sebab itu, sebagai pihak yang berhutang, manusia akan sentiasa
terikat dengan janji untuk melunaskan hutang tersebut sepanjang kehidupannya di
atas muka bumi ini. Hakikat keterikatan ini tidaklah sampai manusia itu pasif dan menyerah
bulat-bulat segala aspek dan urusan
kehidupannya kepada ketentuan Allah tetapi keupayaan akal yang
dikurniakan oleh Allah itu menggalakkan manusia meneroka alam ini dan
mendapatkan sesuatu sebagai bekalan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.
Anugerah akal ini sesuai dengan amanah yang dipikul oleh manusia sebagai hamba
Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi.
Imam
al-Ghazali turut mengemukakan pandangannya tentang psikologi kejadian manusia
yang terdiri daripada empat sifat iaitu; sifat ketuhanan, sifat kesyaitanan,
sifat kebinatangan dan sifat hawa nafsu. sifat-sifat ketuhanan ini akan
mendorong manusia kepada perkara positif dengan melakukan perkara-perkara
kebaikan manakala sifat-sifat yang tiga lagi itu sentiasa mendesak manusia
untuk melakukan kejahatan, kezaliman, kemaksiatan dan penderhakaan kepada Allah
dan sering mencari jalan untuk mengatasi sifat ketuhanan. Dalam hal ini,
keimanan, ketakwaan, ilmu dan rasa tanggungjawab manusia kepada Penciptanya
sahaja yang mampu mengalah dan mengatasi pengaruh kesyaitanan, kebinatangan dan
hawa nafsu itu (Mohd Affandi Hassan, 1992:18)
Rasa
kebertanggungjawaban dan akur tentang kedudukan manusia sebagai hamba Allah
membolehkan manusia memilih untuk melakukan kebaikan dan berusaha untuk
memenuhi kehendak dirinya selaras dengan kedudukan manusia itu sendiri yang
inginkan kemenangan dan kesejahteraan sama ada dalam kehidupan di atas muka
bumi ini mahupun kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak.
Kurniaan
akal kepada manusia menjadikannya sebagai sebaik-baik kejadian. Dalam hal ini,
Mohd Affandi Hassan menjelaskan bahawa apa yang dilakukan oleh manusia itu
adalah menjadi tanggungjawabnya sendiri dan tidak boleh menyalahkan orang lain.
Manusia diberikan kebebasan untuk menentukan hala tujunya. Jika inginkan
kejahatan, akan dipermudahkan Allah ke arah tersebut, begitu juga jika inginkan
kebaikan, akan dipermudahkan oleh Allah kepada yang mengharapkannya tetapi
harus diingat, setiap perbuatan sama ada baik atau buruk, akan dinilai oleh
Allah kelak (1992: 16-17). (Rujuk al-Qur’an surah al-Zalzalah ayat 6-7)
Hakikat Ilmu dan Amal
Ilmu
merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia untuk membuat
pertimbangan baik atau buruk sesuatu perkara khususnya dalam hubungan antara
manusia dengan manusia dan antara manusia dengan Penciptanya, yakni Allah. Syed
Muhammad Naguib al-Attas (2007:13) mentakrifkan ilmu sebagai suatu gerak daya
ke arah penjelasan, penetapan, penentuan dan pengiktirafan terhadap kebenaran.
ilmu dianggap sebagai cahaya yang diberikan oleh Allah kepada manusia. Dalam
ruang lingkup keIslaman, ilmu adalah sesuatu yang dapat di gunakan untuk
mengetahui dan memahami sesuatu yang dituntut kepada keesahan di samping
menghapuskan sifat jahil dalam menilai sesuatu. Syed Muhammad Naguib (2007: 15)
turut menjelaskan bahawa ilmu bukan semata-mata suatu sifat yang dimiliki oleh
akal tetapi perlu dibimbing oleh para ilmuan agar ilmu yang dipelajari adalah
ilmu yang benar. Dalam hal ini, perlu bagi para ilmuan untuk memberi fokus
kepada ilmu-ilmu yang berteraskan konsep keIslaman.
Pandangan
yang dikemukakan oleh Syed Naguib al-Attas berkaitan ilmu yang benar ini
sebenarnya adalah sanggahan kepada pandangan golongan falsafah Yahudi yang
beranggapan bahawa ilmu yang benar tidak boleh diperolehi kerana bersifat
sementara dan tidak berkesudahan (Syed Muhammad Naguib al-Attas, 2007:39).
Dalam kajian yang dilakukannya, Syed Muhammad Naguib mendapati bahawa dalam
pemikiran barat, terdapat juga ilmu yang benar (true knowledge) tetapi
konsepnya adalah bertentangan dengan ilmu yang benar dalam Islam.
Ungku
Maimunah Mohd Tahir (2010:24) menjelaskan takrifan ilmu daripada perspektif
Islam bahawa perkataan ilmu merupakan satu perkataan mutlak yang tidak
dikhususkan kepada mana-mana disiplin tertentu tetapi membawa maksud umum iaitu
membawa manfaat dan kebahagiaan kepada manusia tetapi dalam konteks yang lebih
luhur dan perlu diberi perhatian ialah manfaat dan kebahagiaan itu mestilah
seiring dengan al-Qur’an dan hadis yang menjadi pegangan umat Islam. Dalam hal
ini, apa yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis penting sebagai sumber
ilmu kerana di dalamnya sudah lengkap dengan segala aspek kehidupan manusia
merangkumi pelbagai disiplin hidup seperti ekonomi, politik dan sosial serta
boleh dijadikan panduan dan iktibar kepada manusia untuk kebahagiaan hidup di
dunia dan di akhirat.
Ungku
Maimunah turut menegaskan bahawa al-Qur’an tetap diperakukan sebagai sumber
ilmu yang mutlak,abadi dan tidak akan berubah-ubah walaupun berlaku perubahan
dalam kehidupan dunia sentiasa berlaku
dan telah timbul usaha-usaha daripada para ilmuan untuk menjadikan kandungan
al-Qur’an ini sebagai satu pegangan dan panduan dalam kehidupan seharian
(2010:84). Situasi ini memperkuatkan lagi pendapat dan pandangan gagasan
Persuratan Baru yang berlandaskan ilmu yang benar kerana kandungan al-Qur’an
itu sendiri sentiasa betul dan dijamin oleh Allah akan kekal sehingga hari
kiamat.
Menurut
Ungku Maimunah lagi (2010: 26), al-Qur’an bukanlah kitab ilmu pengetahuan (the book of science), tetapi sebuah
kitab yang mengandungi petunjuk (the book
of signs) yang akan memandu manusia kepada tujuan yang sebenar. Pemahaman
ini juga bertepatan dengan penjelasan Muhammad Mumtaz Ali (Mohd Zariat Abd
Rani, 2004: 182) tentang istilah ilm’(ilmu)
dalam bahasa Arab yang secara etimologinya berasal daripada kata alama iaitu yang bermaksud tanda (sign).
Perkaitan antara pengertian ilmu dengan hakikat allah juga jelas apabila tanda
itu difahami dalam konteks kehidupan manusia.
Menurut
Sayyid Wahid Akhtar, terdapat sekurang-kurangnya 704 tempat dalam al-Qur’an
yang mengungkapkan keprihatinan Islam terhadap ilmu. Perkataan al-ilm (ilmu) diulang sebanyak 27 kali
manakala perkataan alim (orang yang
berilmu) telah dikesan sebanyak 104 kali di dalam kitab suci ini. Ini tidak
termasuk ungkapan-ungkapan lain yang pengertiannya bersangkutan dengan ilmu
seperti al-kitab, iqra dan qalam (Mohd Zariat Abd Rani, 2004: 182).
Mohd
Affandi Hassan (1992:20) pula mengkategorikan sumber ilmu kepada tiga iaitu
ilmu wahyu, ilmu bersumberkan akal dan yang ketiganya pengetahuan. Antara
ketiga-tiga sumber ini, wahyu berada pada kedudukan tertinggi kerana wahyu itu
sendiri datangnya daripada Allah kepada para nabi. Melalui wahyulah kita dapat
mengetahui hal-hal berkaitan kewujudan Allah dan perkara-perkara ghaib seperti
syurga, neraka, pembalasan di akhirat dan hakikat kejadian manusia itu sendiri.
Sehubungan itu, Ungku Maimunah (2010:27) menjelaskan bahawa ilmu yang
disabitkan dengan wahyu sahaja yang diyakini kebenarannya kerana ilmu wahyu
adalah ilmu hakiki yang didatangkan daripada Allah kepada para nabi.
Dalam
hal ini juga, Muhammad Abduh menjelaskan wahyu berasal dari wahy yang membawa maksud berbicara
dengan seseorang tentang sesuatu yang tidak diketahui oleh orang lain. Dalam
konteks ini, Muhammad Abduh mengakui wahyu adalah perkataan Allah kepada para
nabi (Wan Muhammad Noor Wan Daud:83). Namun begitu, Syed Muhammad Naguib
memberi penekanan yang lebih jelas tentang istilah dan definisi wahyu ini. Bagi
beliau, wahyu adalah hak mutlak para nabi dan amat berbeza dengan ilham yang
diterima oleh para pujangga dan wali Allah. Dengan kata lain, wahyu adalah
sumber ilmu yang benar kerana merupakan suatu arahan, perintah dan suruhan
daripada Allah yang disampaikan kepada manusia melalui para nabi. Menurut Syed
Muhammad Naguib,
“Wahyu adalah kalam Allah yang
disampaikan kepada para rasul dan nabi tanpa suara ataupun huruf tetapi dapat
menampung semua yang dapat dinyatakan oleh kata-kata, yang kemudian disampaikan
kepada manusia dalam bentuk bahasa yang baru (Wan Muhammad
Noor;83).
Menurut
gagasan Persuratan Baru, ilmu mestilah yang benar yang boleh membawa manusia
kepada tiga aspek yang penting iaitu mengenal Allah, mengelak daripada
terjerumus ke lembah yang hina dan membimbing manusia ke jalan yang diredai.
Oleh hal yang demikianlah, maka ilmu mesti menjurus ke arah itu. Dalam konteks
inilah wahyu yang walaupun tidak diberikan kepada sebarang manusia tetapi
panduan daripada al-Qujr’an dan hadis menjadi pedoman kerana seperti yang telah
dijelaskan, kedua-duanya adalah bersumnberkan wahyu daripada Allah yang
disampaikan kepada manusia melalui perantaraan nabi dan rasul. Namun begitu,
pengetahuan yang dipandu dengan keimanan juga membolehkan manusia dibimbing
untuk mencapai ilmu yang benar sebagaimana yang dituntut dan dikehendaki oleh agama.
Mohd
Affandi Hassan turut menegaskan bahawa ilmu dapat dijadikan asas kepada konsep
ibadah yang menjadi tanggungjawab setiap manusia kepada Penciptanya. Pandangan
ini seiring dengan pendapat yang dikemukakan oleh Syed Muhammad Naguib yang
menjelaskan matlamat penerokaan ilmu menurut Islam ialah melahirkan insan
kerana implikasi kehadiran ilmu akan terserlah melalui tindakan dan amal
perbuatan manusia.
Sebagai
manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian dan dilantik sebagai
khalifah Allah di atas muka bumi ini, kita perlu mengadunkan antara ilmu dan
pengetahuan agar dapat bergerak seiring. Pengetahuan diperlukan untuk mencapai
tahap terbaik dalam kehidupan kita tetapi ilmu yang didorong oleh keimanan akan
menjadi panduan dan benteng agar kita tidak terjerumus ke suatu tempat yang
tidak sepatutnya atau dengan kata lain, ilmu akan membantu kita ke arah hakikat
kejadian kita sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.
Dalam
membicarakan soal berkaitan ilmu ini, Islam turut meletakkan ilmu (dan
pengetahuan) sebagai sesuatu yang cukup penting dan bernilai dalam kehidupan.
Ini bertepatan dengan ayat pertama yang diwahyukan kepada nabi Muhammad SAW.
Firman Allah dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud,
‘Bacalah dengan nama Tuhanmu yang
menciptakan (sekelian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah
beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Permurah. Yang mengajar manusia melalui
perantaraan pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya’.
Ilmu
pengetahuan yang menjadi tumpuan dalam pencarian manusia adalah sumber yang
diragukan kebenarannya. Hal yang demikian kerana sifatnya yang tidak mutlak dan
dicipta oleh manusia. Dalam hal ini mohd Affandi Hassan (1992:21) turut
membezakan antara ilmu dengan pengetahuan. Menurut beliau, ilmu berada setahap
lebih tinggi daripada pengetahuan. Hal yang demikian kerana ilmu diperolehi
melalui keimanan di mana pemerolehan ilmu itu adalah anugerah daripada Allah
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya manakala pengetahuan pula diperolehi
melalui akal hasil pencarian, pembelajaran dan usaha sendiri. Kerana itulah
biasanya ilmu lebih mendorong ke arah kerja kebaikan manakala pengetahuan lebih
menjurus kepada perlakuan yang negatif. Namun begitu, walaupun ilmu merupakan
anugerah Allah tetapi ilmu itu tidak datang begitu sahaja tanpa usaha untuk
mendapatkannya. Dalam hal ini, kedua-dua ilmu dan pengetahuan diperlukan iaitu
keimanan dan penggunaan akal untuk berfikir, merenung, menilai, memerhati dan
membuat latihan untuk menguasainya.
Penguasaan
ilmu adalah penting sebagai asas dalam kegiatan kesusasteraan. Hal yang
demikian kerana karya yang mempunyai ilmu yang benar akan mendorong pembaca ke
arah kebaikan sebagaimana yang disarankan oleh gagasan Persuratan Baru.
Penerapan ilmu akan membawa manusia kepada mengenal Allah sebagai Pencipta dan
seterusnya menjalankan tanggungjawab sebagai hambaNya dan khalifah Allah di
atas muka bumi ini. Ilmu yang benar juga akan membolehkan manusia sentiasa
mengingati Allah.
Menurut
mohd Affandi Hassan, hakikat ilmu dan amal bertitik tolak daripada pengertian
ibadah yang merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah bidang kesusasteraan.
Dalam hal ini, Mohd Affandi Hassan melihat kepentingan ilmusebagai asas
penguasaan kesusasteraan. Apa sahaja tindakan dan perilaku manusia mestilah
ditentukan dengan pertimbangan ilmu yang benar. Menurut beliau lagi, ilmu yang
benar merujuk kepada ilmu yang berupaya menjadikan manusia mengenali
Penciptanya serta membawa mereka ke arah kebaikan dengan meninggalkan kemungkaran (amal ma’ruf nahi mungkar). Dalam hal
ini, Mohd Affandi Hassan menjelaskan
bahawa ilmu dalam pengertian yang hakiki ialah ilmu yang memnbawa manusia
kepada Allah melalui tanda-tanda yang telah diperlihatkanNya kepada manusia.
Orang
yang berilmu juga sebenarnya mempunyai kedudukan yang lebih baik di sisi Allah
berbanding dengan orang yang tidak mempunyai ilmu (dan pengetahuan). Ini
bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud,
Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”,
maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di
antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan
Allah Maha Mengetahui apa yangf kamu kerjakan.
Dan
surah al-Zumar ayat 9, yang bermaksud,
Katakanlah, adakah sama orang-orang yang
mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang
yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.
Penegasan
dan pandangan yang telah diutarakan di atas boleh dianggap sebagai penguat dan
bukti bahawa ilmu dan amal itu bergerak seiring di mana dengan memiliki ilmu,
seseorang itu boleh melaksanakan segala amalan dalam kehidupan seharian. Konsep
ini ada kaitannya dengan hakikat dan fungsi sastera yang mana peranan ilmu dan
amal ini adalah sebagai ibadah kepada
para sasterawan atau penulis untuk menjalankan amanahnya sebagai hamba Allah
dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Dengan mengambil sumber daripada
al-Qur’’an dan hadis (al-Qur’an merupakan sumber utama kerana kedudukannya
sebagai qalam Allah dan hadis pula sebagai pemberi penjelasan terhadap mesej
al-Qur’an kerana tanpa hadis, pembaca al-Qur’an tidak dapat memahami sepenuhnya
isi kandungan al-Qur’an itu. Hal yang demikian kerana nabi Muhammad SAW
terpaksa menyampaikan kandungan al-Qur’’an itu kepada umatnya dalam bahasa yang
boleh atau senang difahami) seseorang
pengarang itu dapat melakukan ibadah dengan menyebarkan ilmu yang benar
kepada manusia lain.
Ungku
Maimunah menjelaskan bahawa ilmu adalah idea, pencernaan buah fikiran, hasil
daripada fahaman yang jitu, bacaan yang luas, renungan yang mendalam yang
dicanai oleh akal dan diterjemahkan melalui penggunaan ruang naratif dalam
sesebuah karya dengan sebaiknya. Ini menjurus kepada penggunaan ruang naratif
yang dimaksimumkan oleh penggunaan ilmu dan mengenepikan cerita. Dengan kata
lain, sesebuah karya itu menurut gagasan Persuratan Baru perlu menekankan
kepada bagaimana seseorang pengarang membangunkan karyanya dengan menggunakan
semua unsur struktural sama ada untuk membangun, memperpanjang dan
menyelesaikan cerita atau mengupas, menghurai dan menghujah idea bagi membina
ilmu.
Hakikat Dan Fungsi Sastera
Gagasan
Persuratan Baru menekankan matlamat untuk mengajar dan mengingatkan manusia
tentang kebenaran di sisi Allah, diiringi dengan pengakuan dan pengutamaannya
terhadap perkara tertentu di satu pihak serta penafian dan penyingkiran
terhadap perkara tertentu pula dipihak yang lain. Pemahaman ini dijelaskan
dengan konsep hakikat dan fungsi sastera. Konsep ini menjadikan hakikat insan
dan hakikat ilmu dan amal sebagai asas bagi memahami makna dan fungsi sastera.
Ini ketara apabila pengertian taklif yang memperakukan soal keterikatan manusia
dengan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi menjadi
asas pemahaman gagasan Persuratan Baru tentang peranan golongan penulis
termasuk sasterawan di sisi Islam.
Hakikat
kejadian manusia sebagai insan yang diciptakan dengan pelbagai kelebihan
seperti kemampuan akal yang tinggi dan fitrah untuk membuat kebaikan di satu
pihak serta beberapa kelemahan seperti godaan hawa nafsu, tipu daya syaitan dan
sifat pelupa di satu pihak yang lain meletakkan hakikat dan fungsi sastera
menurut gagasan Persuratan Baru sebagai wahana atau alat untuk mengajar dan
mengingatkan manusia tentang kebenaran di sisi Allah. Di sini, jelaslah hakikat
dan fungsi sastera sebegini yang menekankan usaha mengenal dan memahami hakikat
ketuhanan menjadi hakikat akhir kesusasteraan yang dimanifestasikan melalui
unsur pengajaran dan peringatan tentang perjanjian azali antara manusia dan
PenciptaNya.
Matlamat
untuk memahami hakikat ketuhanan jelas sejajar dengan tututan taklif dan
meletakkan kedudukan kesusasteraan ke dalam dua lingkungan tugas manusia
sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain,
gagasan Persuratan Baru pada satu pihak meletakkan kegiatan kesusasteraan
sebagai satu bentuk ibadah seorang hamba kepada Penciptanya dengan niat dan
cara pelaksanaannya sentiasa benar di sisi Allah. Pada pihak yang lain pula,
para pengarang yang melaksanakan kegiatan tersebut mengikut prinsip yang
ditekankan tadi, maka mereka telah dianggap menyempurnakan satu daripada tugas
mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang dituntut mentadbir alam
dengan sebaik-baik pentadbiran yakni mengajar dan menasihati manusia tentang
kebenaran di sisi Allah melalui hasil karya mereka. Gagasan Persuratan Baru
menekankan peri pentingnya sastera dan kegiatan kesusasteraan itu diukur
berlandaskan pengertian dan fungsi qalam.
Pengertian dan Fungsi Qalam
Pengertian
qalam di sini dapat dirujuk sebagai kegiatan karang mengarang iaitu sejenis
kegiatan yang menjadikan menulis membaca sebagai asasnya. Kesusasteraan
merupakan satu daripada hasil yang terbit daripada penggunaan qalam itu sendiri
dan penggunaan yang penuh adil akan mencerminkan kebenaran dan lahirlah hakikat
ilmu dan amal daripadanya (pendekatan tauhid;23). Dalam Islam, penggunaan qalam
dihubungkan dengan ilmu kerana pengetahuan yang sedemikian akan membawa manusia
kepada pandai membaca ayat-ayat Allah. Menurut Mohd Affandi Hassan, dalam
pengertian dan fungsi qalam, terangkumlah kegiatan karang mengarang yang
dilakukan oleh manusia bertunjangkan matlamat menyampaikan ilmu yang benar.
Tambah beliau lagi, penggunaan qalam dalam Islam dihubungkan dengan ilmu, yakni
menjadikan manusia pandai membaca ayat-ayat Allah dan dengan itu dapat
meletakkan dirinya dalam perspektif yang betul. Sebenarnya pemahaman Mohd
Affandi Hassan ini bersandarkan firman Allah dalam al-Qur’an surah al-Alaq ayat
4 dan 5 yang bermaksud,
Yang mengajar (manusia) dengan
perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.
Dalam
konteks ayat di atas, fungsi qalam adalah sejajar dengan kemampuan akal manusia
yang pada satu aspek diciptakan dengan keupayaan untuk berfikir dan memahami
hakikat Allah dan dalam aspek yang lain pula, akal manusia turut memiliki
kelebihan untuk mengajar dan mengingatkan manusia lain tentang hakikat Allah
melalui hasil-hasil penulisannya. Dalam zaman ini, qalam digantikan dengan
konsep kreativiti. Sastera sebagai seni kreatif yang autonomous, bebas dan
dimiliki sepenuhnya oleh pengarang yang boleh mewarnainya dengan sepenuh hati.
Karya, walaupun merupakan pandangan dan perspektif peribadi pengarangnya sewajarnya
masih berlandaskan hakikat kedudukan penulis itu sendiri dan bukannya
menghasilkan sesuatu yang tidak mencerminkan kebenaran. Jika gagasan Persuratan
Baru membenarkan penulisan sesebuah karya itu mengikut acuan pengarangnya, maka
hasil yang lahir nanti adalah lebih menjurus kepada luahan hawa nafsu dan
terpesong tujuan asal penulisan mengikut Islam.
Gagasan Persuratan Baru: Antara Wacana
dan Cerita
Gagasan
Persuratan Baru merupakan satu kerangka kritis dan sistematik dalam
menganalisis sesebuah karya kesusasteraan.
Prinsip-prinsip dalam gagasan Persuratan Baru ini boleh dipercayai
menangani secara serius dan berkesan perkara-perkara yang berkaitan perspektif
Islami, keilmuan dan kualiti sesebuah hasil kesusasteraan. Dalam hal ini,
Persuratan Baru menggariskan dua prinsip yang penting iaitu membezakan antara
wacana dan cerita serta mengutamakan wacana daripada cerita. Wacana merujuk
kepada idea-idea yang dijana dan dimantapkan secara intelektual, dengan
huraian, analisis dan sistesis yang dapat membentuk satu wacana atau hujah ilmiah
yang mantap. cerita pula merujuk kepada alat-alat penceritaan seperti watak,
peristiwa, konflik, plot, latar dan sebagainya yang digembleng bagi
menghasilkan sebuah cerita (Kertas kerja Mohd Zariat Abdul Rani yang
dibentangkan di Perhimpinan Penulis Muda Nasional ke-3 pada 16-18 disember 2011
di Kuala Lumpur).
Bagi
Mohd Affandi Hassan, ilmu merupakan intipati yang menjadi dasar atau wadah
utama dalam penghasilan sesebuah karya dan persuratan menurut Islam. Daripada
ilmu tersebutlah lahirnya wacana dan cerita. Ilmu itu sendiri mempunyai
beberapa tahap tertentu. Ilmu tertinggi adalah ilmu berdasarkan kalbu yang
bersifat kerohaniah yang diberikan kepada manusia terpilih sahaja yang mana
mereka ini adalah insan yang jiwanya dekat kepada Allah dan sentiasa takut dan
mengingati-Nya. Tingkat kedua ilmu ialah yang berasaskan akal yang dialami dan
diperolehi melalui pemikiran dan pengamatan akal manakala tahap paling rendah
ialah peringkat pengalaman yang diperolehi oleh semua manusia. Ilmu yang
diperolehi atau dimiliki itu perlu digembleng dan dibentuk menjadi sebuah
pengkaryaan yang baik (Mohd Affandi Hassan, 1992;99).
Pada
kebiasaannya, sesebuah karya sama ada persuratan, kesusasteraan atau popular
dan picisan bergerak atas paksi
penceritaan dengan menggunakan alat-alat penceritaan seperti watak, aksi,
latar, bahasa, dan lain-lain. Begitu juga dengan pembinaan kisahnya bermula
dengan permulaan, pertengahan dan penutup. Cuma yang membezakan antara karya
wacana atau cerita bergantung kepada bagaimana paksi penceritaan atau naratif
itu dimanipulasikan sesuai dengan pilihan pengarang itu sendiri.
Dalam
Persuratan baru, wacana menjadi perkara pokok dan keutamaan manakala cerita hanyalah
tempelan atau sebagai alat sahaja untuk membolehkan wacana berkembang. Dengan
menggunakan kedua-dua wacana dan cerita ini, Persuratan Baru boleh mengenal pasti
dengan jelas dan tepat mutu dan nilai kesusasteraan sesebuah karya dan
mengkategorikan sesebuah karya itu sebagai karya persuratan, karya sastera dan
karya popular atau picisan. Ketiga-tiga kategori ini disusun mengikut aturan di
sisi Islam dengan meletakkan karya persuratan sebagai yang utama, diikuti
dengan karya kesusasteraan dan yang berada di dasar adalah karya picisan.
Dalam
hal ini Persuratan Baru memberi tafsiran karya persuratan sebagai sebuah karya
yang mengutamakan wacana dengan memberikan tumpuan terhadap aspek-aspek
pembinaannya (wacana). Karya persuratan adalah karya yang bersandarkan ilmu
yang benar yang bersumberkan Allah SWT, para nabi dan rasul, ulama yang mengikut
jejak para rasul dan sumber-sumber yang diakui oleh Islam. Ilmu yang benar ini
dapat mengelak daripada membawa manusia kepada kesesatan. Gagasan Persuratan
Baru meletakkan karya persuratan mesti bertunjangkan taklif. Dengan adanya
taklif dan wacana akan menjamin sesebuah karya itu tidak ditulis sembarangan,
sebaliknya acuan Islam yang membimbing karya tersebut berlandaskan ilmu yang
benar. Kehadiran wacana akan menyekat kebebasan pengarangnya untuk hanya
bercerita dan berseronok semata-mata. Tanpa konsep ilmu yang benar sebagaimana
yang disarankan oleh gagasan Persuratan Baru, maka, karya yang indah dan
bermutu dari segi estetikanya belum tentu sesuai untuk dijadikan teks dalam
pengajaran sastera kerana kedapatan di dalamnya unsur-unsur lucah dan seksnya.
Ini dapat dilihat daripada novel Salina dan
Kawin-kawinKawin-kawin yang walaupun
indah bahasa dan nilai estetikanya tetapi
olahan dan analisisnya lebih menjurus kepada picisan. Sesuai dengan
kepentingan ilmu dalam Islam, sesebuah karya itu tidak dapat digolongkan
sebagai menepati kehendak acuan Islam jika apa yang dipentingkan hanyalah
cerita sahaja.
Mengikut
gagasan Persuratan Baru, konsep persuratan difahami dan dipraktikkan seiring
dengan tradisi Islam dan kebudayaan Melayu yang memberi penekanan kepada ilmu
yang betul dan benar dan bukan kepada aspek hiburan dalam kesusasteraan
sebagaimana yang sedang berlaku dalam dunia kesusasteraan di negara kita
sekarang yang lebih kepada aspek hiburan. Ini dapat kita lihat dalam sukatan
pelajaran di peringkat sekolah menengah sendiri di mana salah satu fungsi
sastera ialah hiburan. Memang diakui kedudukan hiburan ini dalam bidang
kesusasteraan tetapi yang menjadi masalahnya ialah hiburan merupakan matlamat
dan tujuan utama karya kesusasteraan itu. Dalam ruang lingkup tauhid, gagasan
Persuratan Baru menolak fungsi sastera sebagai alat hiburan dalam pengertian
yang sempit dan bersifat kenafsuan dan menggantikannya dengan konsep indah
(jamal) yang asasnya akal dan roh (pendekatan estetika daripada pendekatan
tauhid; 35)
Karya
sastera pula merujuk kepada karya yang mengutamakan cerita dengan memberikan
tumpuan terhadap aspek-aspek pembikinan cerita. Karya sastera ini biasanya
diasaskan kepada emosi dan keseronokan. Dalam hal ini, kegiatan kreatif yang
dihasilkan lebih kepada imaginasi pengarangnya dengan memberi penekanan kepada
aspek-aspek struktural semata. Kalaupun ada diterapkan elemen-elemen ilmu dan
Islam, tetapi lebih kepada tempelan sahaja. Ini bertepatan dengan trasdisi
penulisan moden yang mana sesebuah hasil karya kesusasteraan memberikan
keutamaan kepada perasaan atau emosi melalui naratif. Dalam tradisi
kesusasteraan Jepun, tragedi berada di atas dan yang paling rendah ialah
komedi. dalam tragedi, manusia jatuh dan musnah angkara perbuatan mereka
sendiri sama ada kerana kesilapan dan kealpaan ataupun kerana menentang kuasa
baik, pemerintash dan pembaca begitu seronok membaca cerita sebegini. Hal yang
sebegini tidak diterima oleh gagasan Persuratan Baru yang menekankan ilmu di
mana hasil karya dikembangkan melalui wacana, iaitu kebijaksanaan daslam
menyelesaikan sesuatu.
Karya
popular atau picisan merujuk kepada karya yang mengutamakan unsur yang menepati
cita rasa popular dan cita rasa yang rendah mutunya seperti pornografi atau
nafsu kebinatangan atau dengan kata lain karya ini menjadikan seks dan hawa
nafsu sebagai pengucapan kreatifnya (Gagasan Persuratan Baru, muka surat 40).
Istilah picisan tidak terbatas kepada kelucahan semata-mata tetapi harus
difahami secara menyeluruh, meliputi idea, tema, bahasa, gaya, watak dan
perwatakan, lambang, dialog, paksi naratif, kriteria penilaian dan lain-lain
aspek yang berhubungan dengan penciptaan karya kreatif. Karya menjadi picisan
apabila diolah secara mudah, cetek, dangkal, menyeleweng daripada nilai-nilai
tamadun manusia yang beradab yakni melihat semua perkara daripada hawa nafsu
manusia yang ingin bebas daripada tanggungjawab taklif. Sesebuah karya akan
menjadi karya picisan apabila menjadikan kejahatan sebagai nilai utama (Gagasan
Persuratan Baru, muka surat 62). Di samping itu, sesebuah karya akan tergolong
sebagai karya picisan jika ideanya kabur, keliru, tidak dijalin dalam struktur
yang kemas tersusun logiknya, dan tidak dihujahkan dengan teliti. Karya ini
menjadi picisan jika konsep yang digunakan tidak tepat, kacau maksudnya, tidak
ditakrif dengan jelas, pengolahan yang dangkal dan penghujahan pula berasaskan
bukti yang lemah dan tidak konkrit ( gagasan Persuratan Baru, 44).
Menurut
Faisal Tehrani (Akhbar Online, November 2006), novel picisan bukanlah sebuah novel
dalam erti kata yang sebenar. Novel picisan lahir daripada satu budaya kitsch[3]
pop yang tidak terjejak oleh satu peradaban dan jati diri yang berwibawa
manakala novel popular pula adalah sebuah karya yang diterapkan satu elemen
moral dan psikologi untuk menyenangkan penulisnya dan sesiapa sahaja yang
membaca novel ini.
Bidang
kesusasteraan daripada perspektif Islam dan Persuratan Baru adalah kegiatan
atau amal manusia yang menggunakan kreativitinya, menciptakan sesuatu hasil
karya dengan menggunakan bahasa yang indah dan teknik yang pelbagai dan
berkesan untuk menarik minat pembaca dan menepati kehendak kejadian insan dan
hakikat ilmu dan amal. Dalam Islam, fungsi sastera dapat dirumuskan sebagai
usaha melahirkan karya yang indah dan bermakna (pendekatan tauhid;25).
Justeru
kerana itulah, konsep siratan makna diperkenalkan dalam sesebuah karya Islam. Siratan
makna atau Stylization of ideas yang
diberi penekanan oleh gagasan Persuratan Baru mestilah dibina berasaskan tiga
prinsip gagasan Persuratan Baru itu sendiri iaitu Hakikat Insan, Hakikat Ilmu
dan amal dan Hakikat dan Fungsi Sastera. Berdasarkan struktural sesebuah karya
persuratan, aspek paling penting ialah penghasilannya dibina berasaskan ilmu
yang benar yang di dalamnya membincangkan tentang hakikat insan di mana
membincangkan perwatakan seseorang tokoh berlandaskan insan yang sewajarnya. Di
samping itu karya juga turut membincangkan hakikat amal untuk memastikan
perlakuan manusia masih dikawal oleh lunas-lunas agama dengan tidak menjadikan
hawa nafsu sebagai fokus utama. Karya itu juga bersifat dedaktik dan bukannya
propaganda. Dari segi kreativitinya, seseorang pengarang itu bebas menggunakan
apa sahaja kemahiran bahasa yang dimiliki, pengalaman yang dikuasainya,
mengolah bahan karyanya mengikut cita rasa tetapi berkonsepkan taklif yang
menurut Shah Wali Allah mesti merujuk kepada kesempurnaan manusia yang
semulajadi untuk mencapai tiga matlamat dalam hidup; keadilan, ilmu pengetahuan
dan ikhtiar dan usaha (Mohd Affandi Hassan, 1992:89).
Dalam
menghasilkan sebuah karya yang menepati konsep ilmu sebagaimana yang disarankan
oleh gagasan Persuratan Baru, seseorang karyawan atau pengarang itu mestilah
memiliki ilmu keagamaan dengan mensucikan jiwa dan menanam rasa takwa yakni
takut kepada Allah dalam apa sahaja yang dilakukannya. Penghasilan karya nanti
tidak menjurus kepada keduniaan semata-mata tetapi lebih kepada rasa
tanggungjawab sebagai seorang yang beriman dan beramal saleh. Menurut Imam Ali
dalam Faisal Tehrani (Harakah Daily, 20 Sept 2006), jangan mencari ilmu untuk empat tujuan, mengagungkan diri di depan
manusia berilmu, berhujah dengan orang yang jahil, menunjuk-nunjuk di dalam
perhimpunan manusia dan menarik perhatian manusia untuk mendapatkan jawatan
atau nama untuk berkuasa.
Sinopsis Novel
1515
Novel
1515 telah memenangi tempat pertama
kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun 2002. Novel 1515
mengisahkan seorang sejarawan pengarang, Dr Adi Fimiyun Abdul Hadi yang membuat
kajian tentang sejarah penaklukan Portugis (Feringgi) yang diketuai oleh
Alfonso de Albuquerque ke atas Melaka pada tahun 1511. Kajian ini dijalankan
atas permintaan Tun Nyemah Mulya yang mahukan Dr Adi mengubah sejarah Melaka
yang telah diputarbelitkan oleh penulis barat. Mengikut catatan sejarah, Melaka
merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan menguasai sebahagian besar Kepulauan
Melayu tetapi dikalaahkan oleh tentera Portugis. Kekalahan tersebut menyebabkan
Melaka menjadi wilayah jajahan takluk Portugis sehingga tahun 1641 apabila
Belanda datang dan mengalahkan Portugis. Kekebalan pemerintahan Portugis di
Melaka adalah kerana wujudnya kmota A Famosa yang menjadi benteng pertahanan
Portugis yang utuh. Kota itu terus bertahan walaupun diserang berulang kali
oleh Sultan Mahmud dan negeri-negeri Islam yang lain.
Menurut
sejarah, Portugis bukanlah sebuah kuasa yang kuat tetapi kekalahan Melaka
disebabkan oleh beberapa faktor seperti peranan yang dimainkan oleh Nina
chattu, seorang saudagar yang menguruskan perniagaan Sultan Melaka telah
menyeludup surat-surat tentera Portugis (Ruy de Araujo) yang dipenjara mengenai
pertahanan Melaka untuk diserahkan kepada Albuquerque, dan ketidaksetiaan
tentera-tentera upahan Melaka sendiri yang datang dari Jawa.
Adi
Fimiyun, membuat kajian dan mendapati bahawa sejarah sebenarnya telah
diterbalikkan oleh sejarawan Barat. Mengikut kajian tersebut, serangan Portugis
ke atas Melaka telah menemui kegagalan. Orang yang bertanggungjawab mengetui
pertahanan Melaka adalah seorang gadis berusia 15 tahun bernama Nyemah Mulya.
Nyemah Mulya dikatakan lahir pada malam Lailatul Qadar 1496. Nyemah Mulya dikatakan cucu kepada
Maulana Sadar Jahan, guru al-Qur’an kepada Sultan Mahmud Syah dan ibunya dayang
Puteri Onang Kening dari Kelantan dan semasa kanak-kanak lagi telah diajar
dengan pelbagai ilmu dunia dan akhirat sehingga menjadi seorang gadis yang
cukup sempurna. Dia menguasai ilmu persilatan, malah kebal dan tidak lut
senjata serta lengkap dengan ilmu agama yang diajar oleh bapanya, keturunan
Maulana Sadar Jahan.
Melaka
pada masa itu merupakan sebuah kerajaan yang cukup hebat dan bertamadun
berbanding kerajaan barat tetapi masalah
sosial mula menjadikan Melaka sebuah negeri yang bermasalah. Sultan Mahmud
digambarkan sebagai seorang sultan yang tidak mengambil tahu hal dalam negeri. Kerja
baginda hanya bersuka ria sahaja dengan menghisap candu, berfoya-foya dengan
perempuan dan peminum arak.
Nyemah
Mulya dan tentera yang dipimpinnya telah mengalahkan angkatan Feringgi sehingga
Albuquerque sendiri dibunuhnya. Sebelum Nyemah Mulya membunuh Albuquerque, dia
telah berjanji membawa mayat Albuquerque untuk dikebumikan di Lisbon. Nyemah
Mulya kemudiannya telah meminta kebenaran Sultan Mahmud Syah untuk menyerang
Portugis sebagai peringatan kepada bangsa Barat yang lain bahawa bangsa Melayu bukanlah
bangsa yang pengecut. Sultan mengizinkan walaupun dibantah oleh Sultan Ahmad
Syah (anakanda Sultan Mahmud) kerana dengki dengan kehebatan Nyemah Mulya.
Angkatan tersebut dinamakan Angkatan Perang Nusantara yang menggabungkan
tentera-tentera dari negeri-negeri di Kepulauan Melayu dan dalam perjalanan ke
Portugal nanti akan bergabung dengan tentera Islam Turki Uthmaniyah.
Nyemah
Mulya dikatakan tiba di Portugal pada tahun 1515 Masihi dengan 100 buah kapal
perang dan memulakan gerakan menakluki Portugal. selain daripada Angkatan
Perang Nusantara dan tentara Islam Turki Uthmaniyah, Nyemah Mulya juga mendapat
bantuan daripada Sepanyol yang merupakan musuh Portugal di Eropah dan akhirnya
Portugal berjaya dikalahkan dan bermulalah era pemerintahan Islam dinasti Mulya
di Portugal.
Nyemah
Mulya kemudiannya kembali ke
Melaka. Dia telah membuka sekolah agama
dan mengajar rakyat hal-hal berkaitan agama termasuklah hadis, sirah, ulum
Al-Qur’an dan ilmu mempertahankan diri. Nama Nyemah Mulya masyhur ke seluruh Nusantara.
Murid-muridnya datang dari seluruh pelosok dunia. Keadaan ini menimbulkan
perasaan dengki dan iri hati Sultan Ahmad Syah yang menggantikan Sultan Mahmud
Syah sebagai pemerintah Melaka. Baginda
telah menuduh Nyemah Mulya melakukan tiga kesalahan besar, iaitu, mahu merampas
takhta Melaka, mempunyai hubungan dengan
orang asing dan dijadikan alat niat jahat mereka dan yang ketiga sebagai
seorang ahli sihir yang mengamalkan ilmu hitam dan telah mengajar ajaran songsang
lagi sesat.
Nyemah
Mulya dibicarakan dan Sultan Ahmad telah melantik anak lelaki Nina Chattu
sebagai hakim. Dalam perbicaraan tersebut, Nyemah Mulya didapati bersalah dan
dijatuhi hukuman bakar sampai mati, namun Nyemah Mulya tidak hangus. Sultan
Ahmad sangat marah. Berbagai-bagai cara lain dilakukan termasuk menikan dengan
lembing, mnemanah tepat ke tubuh Nyemah Mulya tetapi tidak berjaya. Akhirnya
Nyemah Mulya memberitahu rahsia kematiannya. Sultan Ahmad dikehendaki berseru
dengan lantang “Dengan nama Allah, beta
bunuh wali Allah” dan akhirnya Nyemah Mulya dan suaminya menghembuskan nafas
terakhir.
1511H[Kombat]
1511H[kombat]
mengisahkan perjuang seorang perempuan, Hajah Syarifah Nusaybah bt Syed
Abdullah membentuk tentera gabungan pemuda Islam seramai 11 orang untuk memimpin umat Islam sebagai persediaan
mempertahankan tanah suci Makkah dan Madinah daripada serangan Amerika Syarikat
yang pada masa itu ditadbir oleh seorang presiden yang mengalami penyakit psychopathology. (sejenis penyakit jiwa yang
mana pengidapnya mengalami gangguan mental yang dapat dikesan menerusi
pertuturan, aksi dan juga halunisasinya). Presiden tersebut bernama Richard
nosirname, seorang berketurunan Yahudi tetapi menganggap dirinya Kristian. Dia
begitu membenci Islam sehingga akan marah jika sesiapa menyebut perkataan Islam
sahaja di hadapannya.
Seorang
yang dipilih untuk menggenapkan bilangan 11 pemimpin umat Islam itu ialah
Muhammad Ameen, pemuda Melayu berusia 19 tahun.
Dia seorang anak yatim yang pembelajarannya dibiayai oleh Syarifah
Nusaybah. Pada belikatnya pula tertera larikan perkataan khaleed, sempena nama
pahlawan Islam, Khalid bin Al-Walid yang merupakan pahlawan Islam yang hebat
dan terbilang. Muhammad Ameen dipilih untuk mengetuai pasukan yang akan mempertahankan kota Makkah yang menjadi
sasaran utama untuk dimusnahkan oleh tentera Amerika kerana pada pendapat
presidennya, Makkah menjadi tempat persembunyian pengganas. Di samping itu, presiden Nosirname juga mahu
meruntuhkan kaabah, usaha yang gagal dilakukan oleh Abrahah, seorang pemimpin Keristian
Habsyah.
Dalam
usaha menangani perancangan Amerika, Syarifah Nusaybah yang dipanggil jeneral
oleh pembantu-pembantunya telah menggunakan semua kekayaan yang dimiliki untuk
membuat pelbagai persediaan ketenteraan termasuk membeli senjata, mengklon
senjata, membina tentera cyborg
(tentera yang telah dipertingkatkan keupayaannya dengan pemasangan cip) dan
menggunakan segala kemajuan teknologi.
Syarifah
Nusaybah telah mendirikan sebuah taifa dengan mengenakan disiplin yang ketat.
Beliau juga turut membina langar sebagai tempat pertemuan ahli futuwwah dan
melantik ayyar atau tentera futuwwah serta menghimpuni para pengikut sufi atau
syattaran.
Untuk
merealisasikan hasratnya, presiden Amerika telah mengarahkan USS Nimitz
melancarkan serangan peluru berpandu paling canggih dan kuat ke arah kubah
hijau di Masjid Madinah yang menempatkan makam Nabi Muhammad SAW dengan tujuan
untuk memusnahkannya tetapi satu keajaiban berlaku apabila peluru berpandu
tersebut melantun balik dan menenggelamkan kapal induk Amerika tersebut.
Keadaan ini menyebabkan Amerika semakin berang dan mula melancarkan serangan
secara besar-besaran. Pasukan tentera Islam bermati-matian mempertahankan
kedua-dua tempat suci tersebut dengan melengkapkan aspek ketenteraan. Akhirnya
tentera Amerika yang tewas.
Setelah
berjaya mempertahankan kota suci Makkah dan Madinah, legasi perjuangan
pemuda-pemuda Islam diteruskan dengan perancangan menyerang Amerika. Serangan
ini bukan untuk membalas dendam tetapi sebagai pengajaran kepada Amerika dan
rakyatnya bagaimana sakit dan menderitanya akibat peperangan. Tentera pemuda
Islam terlebih dahulu menghantar segerombolan lebah ciptaan untuk merosakkan
sistem komunikasi di Moscow, New York dan Washington. Apabila sistem komunikasi
tergendala, mudahlah bagi tentera Islam melancarkan serangan bersenjata dan
akhirnya Pantai Timur Amerika berjaya dikuasai. Dalam masa yang sama, tentera
Islam Chechen telah berjaya menakluki Moscow.
Presiden
Amerika sendiri turut meninggal dunia apabila seekor lebah yang membawa bahan
beracun menggigitnya. Kota Washington yang ditakluki kemudiannya ditukar nama
kepada Kots Emrullah dan Rumah Putih (White
House) menjadi Masjid Putih. Amerika kemudiannya ditadbir oleh pemimpin
Islam.
Advencer
Si Peniup Ney
Novel
Advencer Si Peniup Ney menceritakan tentang 40 jin dari negeri Fantasia yang
diketuai oleh Harun telah datang berjumpa dengan Ustaz Kamal untuk meminta
bantuan anak Ustaz Kamal, iaitu Sulaiman Helmi untuk berdakwah kepada kaum jin
di negeri Fantasia yang pada masa itu berada dalam kesesatan angkara pengaruh
hedonisme. Pemerintah negeri Fantasia tersebut ialah Jin Bertindik Satu yang
menggalakkan rakyatnya hidup berlandaskan keseronokan, kemewahan dan hiburan
semata-mata. Barang siapa yang melanggar ideologi negeri Fantasia, iaitu
hedonisme akan dihukum dengan hukuman yang amat berat. Golongan muda di negeri
tersebut sudah melupai kehidupan beragama. Kedatangan Sulaiman Hilmi dan
rakan-rakan jinnya adalah untuk mengembalikan
kehidupan mereka ke jalan yang benar, yang mentauhidkan Allah dan
melupakan segala yang melalaikan.
Dalam
usaha menangani permasalahan ini, Sulaiman Hilmi telah memperkenalkan suatu
bentuk muzik baru yang menjurus kepada mengingat Allah, iaitu sauti sarmad.
Sauti sarmad ialah sejenis muzik yang membawa manusia kembali kepada destinasi
akhir dalam kehidupan, iaitu Allah dan zikir juga merupakan sauti sarmad. Usaha
yang dilakukan oleh Sulaiman Hilmi menghadapi pelbagai halangan dan rintangan.
Jin-jin kafir mula menunjukkan penentangan. Mereka mula mempengaruhi Jin
Bertindik Satu untuk menghalang niat murni Sulaiman Hilmi. Mereka turut
menggunakan perisik jin kafir iaitu Justin, untuk mengacau usaha dakwah
Sulaiman Hilmi. Sulaiman Hilmi juga mengadakan ceramah dan kuliah kepada
masyarakat jin untuk menerangkan muzik yang dibenarkan dalam Islam. Justin mula
tertarik dengan ajaran Sulaiman Hilmi dan akhirnya mengucap dua kalimah
syahadah dan menjadi pengikut Sulaiman Hilmi yang setia.
Perancangnan
jahat iblis untuk menghalang dakwah Sulaiman Hilmi melalui muzik diteruskan.
Kali ini iblis menggunakan perempuan sebagai umpan. Puteri Simone Sidharra,
puteri Jin Bertindik Satu yang merupakan idola masyarakat jin dihasut untuk
menundukkan Sulaiman Hilmi. Puteri itu telah menggoda Sulaiman sebagaimana
Zulaikha menggoda nabi Yusuf yang mana akhirnya Sulaiman dipenjarakan selama
dua tahun. Semasa di dalam penjara, Sulaiman Hilmi berjaya mentafsir mimpi dua
orang banduan yang sama-sama dipenjarakan (sama dengan tafsiran mimpi nabi
Yusuf semasa di dalam penjara sebagaimana yang terkandung dalam al-Qur’an surah
Yusuf ayat 41).
Puteri
Simone Sidharra yang memfitnah Sulaiman Hilmi tidak dapat melelapkan mata. Dia
asyik diganggu suara misteri yang membisikkan ayat yang berbunyi; isteri al-Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan
dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat
mendalam. SesungguhnyaKami memandangnya dalam kesesatan yang nyata (surah
Yusuf, ayat 30).
Dalam
masa yang sama, Jin Bertindik Satu turut mengalami mimpi ngeri. Tiada seorang
pun di dalam neneri Fantasia yang mampu mentafsir mimpinya sehinggalah seorang
yang pernah dipenjarakan bersama Sulaiman Hilmi memberitahunya akan
kebijaksanaan Sulaiman Hilmi mentakwil mimpi. Sulaiman Hilmi dipanggil untuk
mentafsir mimpi Jin Bertindik Satu. Pada masa itulah Puteri Simone Sidharra
mengakui kesilapannya memfitnah Sulaiman Hilmi dan bertaubat atas perbuatannya.
Walaubagaimanapun, sifat angkuh Jin Bertindik Satu mengatasi kebenaran dan
Sulaiman Hilmi tetap dijatuhi hukuman.
Pada
suatu hari, ketika masyarakat jin di negeri Fantasia asyik berpesta dalam
konsert hiburan, sebuah kapal terbang
telah melanggar negeri Fantasia dan ramai jin telah terbunuh termasuklah
Jin Bertindik Satu. Puteri Simone Sidharran yang telah insaf menggantikan tempat
ayahnya sebagai pemerintah negeri Fantasia yang kemudiannya ditukar nama kepada
negeri al-Hidayah. Sulaiman Hilmi dibebaskan. Akhirnya masyarakat jin di negeri
Fantasia kembali ke jalan yang diredai Allah.
Sulaiman
Hilmi meneruskan kembaranya dan kali ini dia dan rombongan jin singgah untuk
bersolat di tepi pantai perairan Laut China Selatan. Di sini mereka berada di
negeri jin, yang bernama Samudera Suran dan terletak di dasar laut. Samudera
Suran diperintah oleh Maharaja Tenggiri yang sedang sengsara derita sakit
angkara arak. Arak sebenarnya memudaratkan peminumnya. Menurut perubatan moden,
minum arak terlalu banyak boleh menyebabkan delirium
tremens atau tubuh menggeletar tanpa dapat dikawal. Arak juga boleh menyebabkan urat saraf rosak,
dan jika bertambah teruk, hati akan rosak. Sudah berbagai-bagai usaha dilakukan
untuk mengubati Maharaja Tenggiri tetapi tidak berhasil. Dalam pada itu ada
satu jin yang pernah bermimpi bahawa akan datang sekumpulan jin yang mampu
mengubati penyakit maharaja mereka. Oleh hal yang demikian, rombongan Sulaiman
Hilmi telah dijemput untuk mengubati Maharaja Tenggiri.
Sulaiman
Hilmi hanya menggunakan air yang dibaca ayat-ayat al-qur’an dan dengan izin
Allah, penyakit Maharaja Tenggiri sembuh. Akhirnya Maharaja Tenggiri dan rakyat
Samudera Suran memeluk agama Islam.
Detektif
Indigo
Novel
ini telah memenangi tempat kedua kategori Novel Remaja hadiah Sastera Kumpulan
Utusan 2004. Novel ini mengisahkan tentang sekumpulan anak muda Islam, Chen-chung,
Faruk, Mihrimah, Ruzbihan, Zaitun dan Isamu Nakamura yang diberikan kuasa
telepati yang bioleh berhubung antara satu sama lain menggunakan minda. Chen-chung
ialah seorang anak muda dari Kelantan yang hafiz al-Qur’an dan mempunyai IQ
yang tinggi, 357. Dia juga dikatakan memiliki deria keenam atau ESP, Extra sensory perception. Kerana
kebijaksanaannya, Chen-chung dihantar untuk belajar di sekolah khas yang
dikendalikan oleh OIC. Di sekolah khas itu atau maktab Rendah Remaja Indigo,
Chen-chung bersahabat dengan beberapa rakan yang mempunyai kelebihan seperti
dirinya iaitu Faruk, Mihrimah dan beberapa orang lagi. Faruk berasal dari India
dan memiliki kepandaian dalam bidang teknologi maklumat. Mihrimah Maryam pula
gadis kacukan Melayu-Bosnia. Kebolehan istimewa gadis ini ialah dia boleh
mengetahui apa-apa yang berlaku walaupun tidak ada di tempat tersebut.
Dikatakan, dia boleh melukis ‘Saskia Flora’, lukisan yang dihasilkan oleh
pelukis agung dunia, Rembrandt.
Semasa
berada di sekolah khas ini, mereka diajar pelbagai ilmu pengetahuan dan tugas
utama remaja indigo ini ialah sebagai penyiasat. Mereka diminta menyiasat kes
pembunuhan yang berlaku dan dengan kepakaran yang dimiliki, mereka berjaya
menyelesaikannya. Selain itu, mereka juga digemparkan dengan peristiwa pengetua
dan guru mereka yang dituduh menjadi terorisme oleh kuasa barat. sebagai anak-anak indigo yang diberikan
kelebihan dan keistimewaan, mereka diberi peluang untuk menyiasat dan akhirnya
berjaya membebaskan guru-guru mereka daripada tuduhan jahat pihak barat yang
memang anti Islam.
Nama
beta Sultan Alauddin
Novel
ini dihasilkan pada tahun 2007 sebagai satu wadah memperbanyakkan karya-karya
berkaitan sejarah khususnya tokoh-tokoh sejarah tempatan sebagai satu
alternatif kepada kanak-kanak yang terlalu disogok dengan watak-watak super natural barat yang tidak berpijak
di alam nyata. Novel ini mengisahkan ketokohan Sultan Alauddin Riayat Syah yang
memang terkenal dalam sejarah sebagai seorang sultan yang prihatin dan
mengambil berat masalah yang berlaku dalam negeri Melaka. Sultan Alauddin
Riayat Syah dikatakan anakanda Sultan Mansur Syah dengan Raden Galoh Cendera
Kirana. Nama asal baginda ialah Raja Husain.
Semasa
kecil, Raja Husain amat dicemburui oleh saudara-saudaranya terutama Raja Ahmad
sehingga pernah Raja Ahmad menganiaya Raja Husain dengan cuba membunuhnya
dengan memukulnya dari belakang dan meninggalkan Raja Husain di dalam hutan
tetapi gagal. Raja Husain diselamatkan oleh seorang tua yang kemudiannya
dikenali sebagai khaidir yang mengajar baginda ilmu persilatan dan berpesan
supaya belajar ilmu keagamaan dengan seorang guru agama bernama Nuh Ha Mim.
Setelah diberikan pelbagai dugaan dan ujian, akhirnya Raja Husain diterima
menjadi murid Nuh Ha Mim.
Selain
belajar tasawuf daripada Nuh Ha Mim, Raja Husain juga belajar ilmu persilatan
daripada Hang Tuah. Baginda juga dengan bantuan Hang Isap dan Hang Siak telah
membina kereta lembu. Kereta lembu yang dibina oleh Raja Husain sebenarnya kias
ibarat kepada ilmu tasawuf yang dipelajari daripada Nuh Ha Mim.
Raja
Husain kemudiannya dilantik menjadi pemerintah Melaka dengan memakai gelaran
Sultan Alauddin Riayat Syah menggantikan ayahandanya Sultan Mansur Syah.
Sepatutnya, pemerintah Melaka ialah Raja Ahmad tetapi tindakan Raja Ahmad
membunuh anak Tun Perak dalam peristiwa bermain sepak raga menyebabkan Raja
Ahmad tersisih.
Semasa
Sultan alauddin menjadi pemerintah, Melaka berada dalam keadaan jenayah yang
meruncing sehingga nama Melaka tercemar. Oleh hal yang demikian, Sultan
Alauddin telah menguatkuasakan peraturan yang ketat dan bertindak sendiri
meninjau keadaan negeri Melaka. Baginda dengan dibantu oleh dua sahabatnya
meronda dan berjaya membunuh perompak. Corak pemerintahan baginda ini adalah
ditiru daripada pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sebagaimana saranan
gurunya.
Semasa
pemerintahan baginda, berlaku beberapa peristiwa penting di Melaka. Antaranya,
hubungan keruh antara Melaka dengan Aru dan Siak. Kemangkatan Tun Perak dan
konflik Melaka dengan Pahang. Kematian Tun Perak kemudiannya digantikan oleh
Tun Mutahir.
Sultan
Alauddin bercadang untuk mengerjakan ibadat haji dan akan berangkat pada hari
raya kedua. sebelum berangkat, baginda berkhalwat di Paguh. Semasa berada di
sana, Tun Mutahir, Sultan Ahmad dan beberapa orang kerabat telah datang melawat
dan memberi makanan kepada Sultan. Selang beberapa hari kemudian, Sultan
Alauddin Riayat Syah mangkat dan makam baginda terdapat di Pagoh.
Surat-surat
Perempuan Johor
Novel
ini telah memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1 yang dianjurkan
oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2005. Novel ini mengisahkan Ungku Nur
membawa diri meninggalkan Johor ke Turki setelah bercerai dengan suaminya,
seorang ahli politik. Pemergian Ungku Nur juga kerana ingin membuat kajian
tentang hubungan antara kerajaan Johor dengan kerajaan Uthmaniyah Turki.
Sebelum ke Turki, Ungku Nur dibekali dengan beberapa pucuk surat yang ditulis
oleh Ungku Hamidah, keluarga sebelah bapanya yang menurut Ungku Nur mempunyai
banyak maklumat sejarah yang penting berkaitan hubungan Johor-Turki khususnya
tentang undang-undang Islam.
Ungku
Hamidah semasa berada di Turki selalu mengirim surat kepada kaum kerabat diraja
Johor menasihati mereka agar sentiasa beringat dengan muslihat dan niat jahat
kuasa barat terutama Inggeris yang bercita-cita menguasai Johor kerana pada
masa itu, seluruh Tanah Melayu sudah dikuasai mereka kecuali Johor. Oleh hal
yang demikian, Inggeris mencari jalan untuk menguasai Johor. Ungku Hamidah yang
menetap lama di Turki sudah melihat muslihat dan cara jahat yang dilakukan oleh
Inggeris terhadap Turki menyebabkan timbul kesedaran dalam dirinya untuk
menasihati kaum keluarga yang rapat dengan Sultan Johor agar negeri Johor tidak
tertakluk kepada Inggeris. Dalam masa yang sama, Ungku Hamidah dikatakan memiliki
harta di sana yang menunjukkan kehebatan perempuan Johor dalam bidang
perniagaan.
Dalam
masa yang sama Ungku Nur yang berada di Turki sebenarnya mengidap penyakit
barah otak dan menunggu saat-saat kematian tetapi tidak pernah putus asa menjalankan penyelidikan untuk mengetahui
kisah sebenar hubungan Johor-Turki terutama usaha yang dilakukan oleh
pemerintah-pemerintah Johor mendaulatkan undang-undang Islam dalam pemerintahan
negeri Johor. Melalui penyelidikannya, didapati bahawa kerajaan Johor mengambil
panduan undang-undang Islam yang diamalkan oleh kerajaan Turki untuk
dilaksanakan di Johor.
Menurut
kajian yang dijalankan oleh Ungku Nur, didapati bahawa Ungku Hamidah itu
seorang yang cukup hebat. Dikatakan Ungku Hamidah adalah seorang karyawan kerana
mengarang syair tentang Sultan Abu Bakar. Ungku Maimunah juga telah berkahwin
dengan pemuda Turki dan perkahwinan itu sebenarnya tidak diketahui oleh
keluarganya.
Semasa
di Turki, Ungku Nur telah berjaya merungkai beberapa sejarah yang tidak
tercatat dalam buku-buku sejarah yang ditulis oleh kuasa barat sedangkan
sejarah sebenar adalah sebaliknya. Dalam kajian yang dijalankan oleh Ungku Nur,
didapati kerajaan Johor mahu melaksanakan undang-undang Islam tetapi tekanan
yang dikenakan oleh Inggeris kepada pemerintah Johor menyebabkan sultan Johor
terpaksa akur bimbangkan takhta pemerintahan baginda.
Manikam
Kalbu
Novel
Manikam Kalbu dihasilkan oleh Faisal Tehrani pada tahun 2007. Novel ini telah
memenangi tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP
kategori remaja. Novel ini menceritakan tentang dua latar yang berbeza, iaitu
zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Melaka dan zaman moden tetapi
bertemakan penciptaan busana Melayu. Ziryab Zaim ialah seorang remaja lelaki
yang meminati dunia busana. Dia satu-satunya pelajar lelaki yang telah
mengambil jurusan Ekonomi Rumah Tangga di sekolah teknik. Pemilihan jurusan ini
kerana keterlibatannya dalam bidang jahitan sejak kecil lagi membantu neneknya
yang merupakan seorang tukang jahit. Nama Ziryab itu dikatakan sempena nama
seorang ulama yang memperkenalkan fesyen musim dingin dan musim panas untuk
masyarakat Eropah pada zaman kerajaan
Islam Andalusia iaitu Abu Hassan Ali bin Nafi yang lahir di Iraq pada tahun 789
Hijrah. Nenek Ziryab merupakan seorang tukang busana istana diraja tetapi
mengundurkan diri kerana tidak mahu menjahit pakaian moden. Ziryab mewarisi
kepandaian neneknya dalam bidang rekaan dan fesyen ini.
Ziryab
tinggal bersama ibu bapa angkat yang prihatin dengan nasibnya. Dia juga
disenangi oleh guru-gurunya yang memahami potensi dirinya dalam bidang rekaan
fesyen sehingga dipilih antara 22 orang remaja mengikuti kursus berkaitan
rekaan di Jabatan Fashion Design and
Industrial Tailoring di Paris dan British
Institute of Tailoring di London. Sebelum berangkat ke luar negara, Ziryab
dinasihati oleh guru-gurunya akan tanggungjawabnya sebagai seorang remaja
Melayu Islam agar mengetengahkan seni busana Islam sebagai satu perkara yang
perlu diberikan keutamaan.
Dalam
masa yang sama, diceritakan kisah bagaimana terciptanya busana Melayu di
Melaka. Sultan Muhammad Syah telah bermimpi melihat puteri baginda yang memakai
baju yang tidak menepati suruhan agama, atau dengan kata lain mendedahkan
aurat. Menyedari bangsa Melayu tidak
mempunyai identiti busana, Sultan Muhammad Syah telah mengadakan satu
pertandingan mereka cipta busana untuk bangsa Melayu. Baginda dengan nasihat
seorang guru agama, Tuan Guru Hj Nuh Ha Mim telah membuat beberapa syarat untuk
menghasilkan busana Melayu. Antara syaratnya ialah bersandarkan surah al-A’raf
ayat 26 yang bermaksud, Wahai anak Adam
sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan
pakaian indah untuk perhiasan. dan pakaian takwa itulah yang paling baik.
Syarat-syarat yang dikenakan oleh Sultan Muhammad untuk busana Melayu ialah,
pertama, hendaklah pantang membuka aurat. Kedua, kainnya tidak boleh nipis,
ketiga, tidak boleh ketat. Keempat, tidak boleh meniru pakaian bangsa lain,
kelima, bertunjangkan hukum agama dengan tidak terlalu menunjuk-nunjuk.
Berdasarkan
syarat-syarat ini, dua peserta berjaya
memasuki pertandingan akhir iaitu seorang gadis yang merupakan golongan
bangsawan dan seorang anak hamba istana iaitu Manikam Kalbu. Padsa akhir
persembahan, Manikam Kalbu telah memenangi pertandingan tersebut. Hasil rekaan
Manikam Kalbu ialah pakaian baju kurung dan baju Melayu yang dipakai oleh
masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia ini.
Biodata Faisal Tehrani
Faisal
Tehrani atau nama penuhnya Mohd Faizal bin Musa dilahirkan di Kuala Lumpur pada
7 Ogos 1974. Semasa berusia 5 tahun, beliau dibawa ibu bapanya berpindah ke
Melaka dan dibesarkan di kota bersejarah tersebut. Faisal mendapat pendidikan
rendah di Sacred Heart dan Sekolah Rendah Jalan Dato Palembang di Melaka dan
mendapat 5A dalam penilaian sekolah rendah. Faisal kemudian melanjutkan
pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Sultan Muhammad sehingga tingkatan 3.
Lantaran keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajarannya (SRP), beliau
ditawarkan belajar di Kolej Islam Kelang
(Kolej Islam Sultan Alam Shah).
Faisal
meneruskan legasi pendidikannya di Akademik Islam Nilam Puri, Kelantan sebelum
memperolehi ijazah pertamanya dalam bidang Syariah Politik daripada Universiti
Malaya. Beliau bertugas seketika sebagai fellow di Universiti Sains Malaysia
sebelum meneruskan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kesusasteraan di
universiti yang sama. Beliau memperolehi ijazah kedoktoran daripada Universiti
Kebangsaan Malaysia pada tahun 2010. Beliau sekarang bertugas sebagai pensyarah
di Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Faisal
Tehrani merupakan seorang penulis yang rajin. Beliau mula melibatkan diri dalam
dunia penulisan seawal usia 16 tahun. Pada ketika itu, Faisal menulis sekadar
untuk mendapatkan duit poket menampung perbelanjaan harian sahaja tetapi lama
kelamaan menjadi suatu minat yang tidak dapat disekat-sekat. Dalam bidang
penulisan ini, Faisal berpegang kepada prinsip, “saya menulis bukan untuk khalayak hari ini tetapi juga untuk khalayak
hari esok.”. Justeru, karya penulisannya melampaui zaman. Ini sesuai dengan
pandangannya sendiri yang mahukan khalayak pembaca khususnya remaja mempunyai
jati diri dalam menangani permasalahan yang berlaku dalam negara masa kini seperti
iklim politik, tidak menentu, isu-isu agama yang meruncing dan sering timbul
polemik dan perdebatan, ancaman hedonisme dan pluralisme yang boleh
menghancurkan bangsa dan agama dan lain-lain lagi. Sehingga kini, Faisal telah
menghasilkan lebih daripada 30 buah cerpen, 20 novel, sebilangan skrip drama,
antologi cerpen dan kritikan.
Faisal
dikatakan seorang penulis yang mampu menghasilkan karya yang meruntun jiwa
dengan lenggok bahasa yang indah dan ketajaman dalam menyampaikan hujah
terutama petikan al-Qur’an dan hadis. Beliau dikatakan mewarisi ketajaman
berhujah dalam bidang politik daripada Shahnon Ahmad, kekuatan berbahasa yang
diperturunkan oleh A. Samad Said dan Siti Zainon Ismail.
Dalam
berkarya, menurut Faisal, “Saya remaja
yang agak awal meletakkan sikap. Masalah remaja kini ialah tidak bersikap. Hal
ini dikatakan demikian kerana mereka tidak bersikap dalam hal kemasukan budaya
asing sebagai contoh. Mereka tidak bersikap dalam hal politik negara yang
iklimnya tidak menentu kebelakangan ini. Mereka tidak bersikap dalam hal agama
yang menuntut kita menerobos masuk wilayah sempit untuk tiba ke wilayah yang
lebih luas lagi. Mereka tidak bersikap apa-apa pun. Mereka hanya melulu. Bukan
meletakkan sikap pada sesuatu isu. Oleh sebab terburu-buru itulah mereka masuk
ke jaringan yang rancu. Tanpa sikap, kita tidak dapagt menentukan situasi diri
kita. Untuk bersikap, seseorang perlu menggali jati dirinya kembali. Hanya
dengan bersikap, remaja dapat mengenali letak dirinya, sama ada di tengah
hedonisme melanda ataupun di tengah gelodak pluralisme menduga. (Dewan
Siswa, April 2010).
Faisal
Tehrani merupakan seorang penulis yang cukup hebat. Dalam tempoh sepuluh tahun
pertama terlibat dalam bidang penulisan, beliau telah mencatat rekod yang
membanggakan kerana antara penulis termuda yang memenangi anugerah Hadiah
Sastera Perdana Malaysia dan memanangi sembilan tahun berturut-turut Hadiah
Sastera Kumpulan Utusan.
Faisal
Tehrani menghasilkan karya sastera dalam pelbagai genre. Dalam bidang novel,
garapannya termasuklah Cinta hari-hari
rusuhan yang diterbitkan pada tahun 2000 dan dicalonkan ke peringkat akhir
Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Novel Perempuan politikus Melayu yang diterbitkan juga pada tahun 2000
turut dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun
2000. Novel ini mendapat pujian daripada beberapa orang pengkritik termasuk
Profesor Madya Amida Abdul Hamid, SM Zakir dan Dato’ Johan Jaafar yang
menganggasp novel ini sebagai sebuah novel yang berani.
Novel
1515 telah membuktikan kehebatan
Faisal dalam bidang penulisan. Novel ini telah memenangi tempat pertama Hadiah
Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil pada tahun 2002. 1515 turut dipilih oleh
Universiti Cologne, Jerman sebagai teks bacaan wajib mahasiswa pengajian Melayunya.
Di samping itu, novel ini juga menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 untuk
kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu.
Novel-novel
lain Faisal Tehrani yang pernah memenangi anugerah dan hadiah ialah 1511H[Kombat] yang mendapat tempat
pertama hadiah Sastera Utusan Malaysia Exxon Mobil pada tahun 2003. Advencer sipeniup ney dan Detektif Indigo yang memenangi tempat
pertama dan kedua hadiah sastera pada tahun 2004. Surat-surat perempuan Johor pula memenangi Sayembara Novel Sejarah
dan Tradisi Johor 1 pada tahun 2005. Bedar
sukma bisu pula memenangi tempat pertama Sayembara Jubli Emas DBP kategori
novel umum. Novel ini juga turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun
2006-2007. Manikam kalbu yang
dihasilkan pada tahun yang sama turut menjulang nama Faisal sebagai penulis
novel yang berjaya. Novel ini memenangi anugerah utama Sayembara yang sama bagi kategori novel remaja dan Anugerah Buku
Kebangsaan kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Manikam kalbu turut meraih
Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007.
Faisal
turut menghasilkan novel-novel seperti Ikan
fugu, lukisan dan Jimson (2007), Tuhan
manusia (2007), Nama beta Sultan
Alauddin (2007), Detektif Indigo
kembali (2008), Ketupat cinta (2009),
Saasatul Ibaad (2008), Bahlut (2010) dan Sebongkah batu di Kuala Berang (2011)
Selain
genre novel, bakat kepengarangan Faisal turut terserlah dalam bidang cerpen.
Cerpen Anastasia merupakan cerpen pertama yang dihasilkan oleh
Faisal dan diterbitkan dalam majalah Muslimah pada tahun 1992. Cerpen ini juga
merupakan karya pertama yang dihasilkan oleh Faisal. Kehadiran Faisal dalam
bidang kesusasteraan negara hanya disedari apabila dua buah cerpennya menerima
Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank pada tahun 1994 yang bertajuk Anak dan Opah. Pada tahun tersebut juga Faisal
telah mengungguli Hadiah Sastera Siswa-DBP-Bank Rakyat lewat cerpennya Malam ini Philadelphia menangis.
Faisal
terus mengembangkan bakat kreatifnya dalam bidang cerpen apabila pada tahun
berikutnya telah memenangi Hadiah Sastera Utusan dengan cerpen Pemberontakan kedua. Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank
1996 merupakan lubuk rezeki Faisal apabila dua cerpennya memenangi hadiah
utama, iaitu cerpen Perempuan anggerik dan Api KL belum terpadam.Perempuan anggerik
turut memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 1996/1997, malah telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Thai, Inggeris dan Jepun serta turut
diadaptasikan dalam bentuk dramatari oleh kareografi terkenal, Jasni Abdul
Hamid dari Adikara Dance Theatre pada 29 Julai 2001. Pada tahun 1996 juga, cerpennya Menanti subuh meraih Hadiah Sastera
Berunsur Islam anjuran BAHEIS.
Idea
Faisal tidak pernah kering dalam menghasilkan cerpen yang bermutu. Cerpen-cerpennya,
Surat untuk Gabe 1 (1997), Cinta gendang kasturi(1998), Bulan dan wira (1999),Irisan-irisan mimpi dan Syahid
Raja Api(2000) telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia. Cerpen Cahaya pada jiwa (2001) pula telah
memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam pada tahun 2001. Selain itu, cerpen
beliau Kerana manisnya epal telah
dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai cerpen kajian untuk
peringkat SPM.
Antara
kumpulan cerpen yang pernah dihasilkan oleh Faisal ialah kumpulan cerpen mini Sehari dalam perang (1997), Safari Gilgit (1997), kumpulan cerpen Underground (2000) yang diterbitkan
bersama Azman Husin, Lagi-lagi
Underground (2000) bersama Saharil Hasril Sanin, Perempuan Anggerik (2002), Kekasih
Sam Po Bo (2006) dan Tiga kali
seminggu (2010).
Faisal
Tehrani juga menyerlah dalam genre drama. Rintih
Chicago telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun
1996/1997. Drama Angin Madinah pula
merangkul dua anugerah serentak, Hadiah Sastera Perdana 2000/2001 dan Hadiah
Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia-DBP. Selain
daripada menghasilkan skrip drama, Faisal turut berkemampuan sebagai pengarah.
Antara drama yang diarahkannya ialah Misi
(1999) yang pementasannya dibiayai oleh DBP. Drama ini dipentaskan di Kuala Lumpur,
Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.
Faisal juga turut memberi penghormatan dan tanda kekaguman kepada
gurunya Shahnon Ahmad dengan mementaskan drama Tivi (2003). Drama ini juga dibiayai oleh DBP di bawah peruntukan
program Teater Kecil, bahagian Sastera Kebangsaan.
Drama Monsopiad dan lain-lain cerita
pernah dipentaskan di Esplanade Singapura (2003) yang kos pementasannya
dibiayai sepenuhnya oleh National Art Council of Singapore. Skrip drama ini juga menerima pengiktirafan apabila
dicalonkan untuk anugerah Cameronian Award 2003. Kopitian Ghadir juga hasil buah tangan Faisal yang pernah
dipentaskan pada Julai 2010. Drama keagamaan ini diselitkan persembahan nasyid
pertama kali dipentaskan pada September 2009. Selain daripada itu, lain-lain
drama yang telah dihasilkan oleh Faisal ialah Dua jam sebelum Sultan Alauddin syahid diracun (2008), Karbala (2008). Faisal pernah menerima
anugerah tertinggi dalam bidang penulisan skrip drama pentas pada tahun 2006
iaitu Anugerah Seni Negara.
Dalam
bidang puisi pula, Faisal telah menghasilkan kumpulan puisi pertamanya Ingin jadi Nasrallah pada tahun 2010 dan
pernah juga menghasilkan sebuah buku panduan penulisan kreatif, Karya
nan indah pada tahun 2007.
SENARAI
SEMAK PERSPEKTIF ISLAMI DALAM NOVEL-NOVEL TERPILIH FAISAL TEHRANI
BIL
|
NOVEL
|
POLITIK
|
EKONOMI
|
SOSIAL
|
1
|
ADVENCER SI PENIUP NEY
|
kepimpinan
|
|
agama
hiburan
|
2
|
BILA TUHAN BERBICARA
|
|
|
agama
kaji bumi
kesihatan
|
3
|
TUHAN MANUSIA
|
|
|
agama
|
4
|
1511[H]KOMBAT
|
hubungan diplomatik
ketenteraan
kepimpinan
|
|
peranan golongan
muda
|
5
|
1515
|
ketenteraan
|
|
|
6
|
TUNGGU TEDUH DULU
|
|
pertanian
|
persahabatan
|
7
|
MANIKAM KALBU
|
hubungan
antarabangsa Melaka-China
|
rekaan busana
|
kasih sayang
pendidikan
|
8
|
SURAT-SURAT PEREMPUAN JOHOR
|
hubungan
antarabangsa
undang-undang Islam
|
|
persahabatan
|
9
|
DETEKTIF INDIGO
|
|
|
penyiasatan
|
10
|
BEDAR SUKMA BISU
|
hubungan
antarabangsa
|
pembinaan kapal
|
|
11
|
SEBONGKAH BATU DI KUALA BERANG
|
|
|
agama
bidang teater/
filem
|
12
|
KETUPAT CINTA
|
|
|
masakan Melayu
|
13
|
BAHLUT
|
|
|
masyarakat orang
asli
|
14
|
NAMA BETA SULTAN ALAUDDIN
|
perebutan takhta
|
|
hubungan
kekeluargaan
|
Manikam Kalbu :Busana Melayu busana
Islam.
Novel
Manikam Kalbu mengetengahkan tema
busana Melayu Islam. Novel ini mengesahkan tentang kerunsingan Sultan Muhammad
Syah, pemerintah Melaka kedua yang beragama Islam. Baginda telah bermimpi
melihat anakandanya Puteri Kecil Cempaka Lana memakai pakaian yang terlalu
menjolok mata. Pakaiannya dikatakan jauh daripada kehendak Islam yang
mewajibkan menutup aurat. Sedar daripada tidur, baginda Sultan Muhammad Syah
beristiqamah untuk menegakkan syiar Islam di negeri Melaka. Baginda telah
memerintahkan agar digubal satu undang-undang supaya masyarakat Melayu islam
mempunyai busana sendiri yang berteraskan akidah dan syariah dan berpaksikan
budi dan akar bangsa Melayu. Baginda juga telah mengambil keputusan untuk
menganjurkan satu pertandingan mencipta busana yang mana pemenangnya akan
menerima 20000 dinar emas dan dirham perak dan beberapa hadiah iringan.
Untuk
kesempurnaan pertandingan mereka busana Melayu itu, Sultan Muhammad Syah telah
meminta nasihat daripada ulama tersohor Melaka pada masa itu iaitu, tuan Guru
Nuh Ha Mim. Guru ini telah mengenakan syarat bahawa busana tersebut mestilah
berteraskan ayat 26 dan 27 surah al-A’raf yang bermaksud,
Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah
menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk
perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah
sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.
Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana
ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari
keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya 'auratnya.
Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang
kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan
itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang
yang tidak beriman.
Tuan
Guru Nuh Ha Mim telah menggariskan beberapa syarat busana Melayu iaitu,
pertama, tidak boleh dedahkan aurat, kedua, kainnya tidak boleh nipis yang
menampakkan susuk badan. Ketiga, potongannya tidak ketat. Keempat, tidak boleh
meniru busana bangsa asing yang bertentangan dengan jati diri bangsa Melayu dan
Islam dan yang kelimanya, jangan memandai-mandai menghasilkan busana yang tidak
menepati akar bangsa. Bagi busana untuk kaum lelaki pula, dikenakan
syarat-syarat yang hampir sama, termasuk tidak menonjolkan susuk badan
pemakainya (Manikam Kalbu, 45-48)
Manikam Kalbu lebih
mementingkan wacana daripada cerita. Ini bertepatan dengan gesaan gagasan
Persuratan Baru yang menjadi teras dalam mengkelompokkan sesebuah karya itu.
Menurut gagasan Persuratan Baru, Persuratan
Baru mengutamakan ilmu, pemikiran, dan kebijaksanaan..... Kedua, Persuratan
Baru memakai gaya penulisan yang bercorak kesarjanaan, gaya ilmiah tetapi
indah. Gaya itu ilmiah kerana isinya bersifat ilmu; tetapi indah, kerana
disampaikan dalam bentuk seni. Ketiga, Persuratan Baru mengutamakan gagasan,
membicarakan dengan mendalam gagasan itu dengan menggunakan watak-watak yang
kuat, yang bermoral, beragama, berilmu dan sebagainya............ watak-watak
ini adalah watak yang unggul yang boleh dicontohi.......... Yang diutamakan dan
diberi kedudukan tinggi dalam Persuratan Baru antara lain ialah “stylization of
ideas”. ( Dewan Masyarakat, September 1994 dalam Gagasan Persuratan Baru,
242).
Berdasarkan
pernyataan di atas, Manikam Kalbu
lebih mengutamakan ilmu dalam menterjemahkan idea pengarangnya. Menggunakan
watak-watak yang berilmu, bijaksana, boleh dicontohi dan sanggup berkorban
untuk mencapai cita-cita. Manikam Kalbu dalam Manikam Kalbu digambarkan sebagai seorang anak muda yang berilmu
dan bijaksana. Manikam Kalbu dianugerahi kepandaian dalam seni rekaan fesyen pakaian
sehingga mampu menghasilkan baju kurung untuk lelaki dan perempuan. Busana ini
dinamakan kurung kerana pemakainya akan dikurung oleh syarak, maksudnya, baju
kurung ini tidak ketat dan memenuhi sifat-sifat yang ditetapkan oleh Tuan Guru
Nuh Ha Mim yang lima itu. Apa yang di pentingkan dalam novel Manikam Kalbu ini ialah ilmu yang cuba diterapkan berbanding
cerita. Watak-watak dalam cerita ini hanya berfungsi menyampaikan wacana atau
ilmu yang cuba dikembangkan oleh pengarangnya.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa baju kurung menepati kriteria jati diri bangsa
Melayu Islam. Baju ini labuh, selesa, longgar dan sesuai di pakai dalam apa jua
suasana. Baju kurung berbutang lima untuk lelaki memberi gambaran tentang rukum
Islam yang lima manakala yang berbutang satu pula melambangkan akidah Islam yang mengesakan
Allah yang satu.
[1]
Dalam Sasterawan Tentera-
Posisi Baru Perjuangan Penulis Islam yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada
6 Januari 2005
[2]
Dalam Sasterawan Tentera-
Posisi Baru Perjuangan Penulis Islam yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada
6 Januari 2005
[3]
Istilah yang digunakan oleh
tokoh sosiologi Dwight Macdonald yang beranggapan budaya ini sebagai produk
sampah.