Ahad, 30 September 2012


Sastera Islam.

Secara umumnya, kesusasteraan bukanlah sesuatu yang dihasilkan hanya untuk berseronok semata-mata tetapi lebih menjurus kepada penyampaian mesej atau amanat yang tertentu. Dalam Islam, aspek persuratan dan kesusasteraan ini bermula dan seiring dengan wahyu pertama yang diterima oleh nabi Muhammad SAW yang kemudian menyampaikannya kepada para sahabat dan seterusnya kepada seluruh umat manusia. Wahyu berkenaan terakam dalam surah al-alaq ayat 1-5 yang bermaksud,

Bacalah dengan(menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Kesusasteraan sebenarnya telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Dalam kalangan bangsa Arab jahiliyah, sudah menjadi tradisi mereka mengadakan pertandingan mencipta puisi. Karya puisi terbaik akan digantung di Kaabah tetapi tema yang dibawa lebih menjurus kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam seperti memuja-muja berhala, mengagung-agungkan kabilah,  memuji arak, judi dan lain-lain yang dilarang dan bertentangan dengan Islam. Namun begitu, kehebatan mereka berpuisi tidak dapat menandingi kehebatan al-Qur’an sehingga Allah mencabar mereka menghasilkan puisi yang sama seperti firman Allah dalam al-Qur’an, surah al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud,

Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Qur’an yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang semisal al-Qur’an itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang memang benar.

Kedatangan Islam sebagai agama syumul yang merangkumi segala aspek kehidupan telah mengubah tradisi jahiliyah tersebut. Al-Qur’an telah menjadi panduan dan peraturan hidup yang cukup lengkap. Cara hidup yang bersandarkan tauhid dan pelaksanaan syariat Islam yang bersumberkan al-Qur’an dan sunnah nabi mengubah tradisi kesusasteraanyang  berpaksikan jahiliyah dan penuh kesesatan itu. Ini diterangkan oleh Allah dalam al-Qur’an surah al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud,

Kitab (al-Qur’an) ini tidak diragukan; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.

Kitab suci al-Qur’an dan sunnah nabi merupakan dua sumber utama yang menjadi teras dalam penghasilan kesusasteraan Islami. Kedua-duanya merupakan asas penghasilan karya. Hal ini dapat dilihat berdasarkan perkembangan sastera Islami itu sendiri yang pada awalnya mengambil pengajaran-pengajaran al-Qur’an untuk disampaikan kepada pembaca. Tumpuan pada peringkat awal ini lebih diberikan kepada soal-soal tauhid dan akidah. Para ulama dan cendekiawan Islam telah menghasilkan pelbagai jenis buku dan kitab. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah agama mereka, sering kali mengambil bermacam-macam kisah, contoh teladan daripada al-Qur’an dan sunnah sebagai ingatan dan iktibar kepada masyarakat. Selain darfipada itu, karya-karya yang dihasilkan juga bersandarkan pengajaran dan anjuran daripada al-Qur’an seperti hubungan antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan makhluk lain, kasih sayang, hidup bermasyarakat dan sebagainya.

Menurut Najib Muhammad al-Bihati (dalam Nurazmi Kuntum, 1991: 5) sekurang-kurangnya tujuh perubahan besar dibawa oleh Islam dalam bidang kesusasteraan iaitu, pertama, sastera lebih menekankan cabaran dan pemikiran serta pembicaraan dengan perasaan dan hati. Kedua, lahirnya hubungan yang erat antara kebenaran dan imaginasi. Ketiga, mementingkan norma sosial dan kemasyarakatan dan menolak perkauman. Keempat, mempunyai perseimbangan dalam penggunaan bahasa bagi menghasilkan pernyataan yang berkesan. Kelima, sastera hendaklah disampaikan dalam kiasan dan tidak dalam bentuk yang keras dan kasar. Keenam, karya yang dihasilkan adalah pendek supaya mengesankan tetapi Islam tidak menyekat sekiranya mampu menulis lebih panjang dan lebih baik dan yang ketujuh, nilai karya dapat dipertahankan bagi setiap zaman. Pandangan yang dikemukakan oleh Najib ini lebih menjurus kepada penghasilan karya kesusasteraan yang mementingkan perpaduan, kesopanan, dan menolak fahaman perkauman, perpecahan tetapi tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dalam karya.

 

Memandangkan hubungan yang erat dan rapat antara kesusasteraan dan tradisi ilmu yang menjadi tonggak dalam agama Islam, kesusasteraan kemudiannya mula bertapak dan bergerak seiring dengan Islam. Antara hasil kesusasteraan Islami ialah syair-syair sufi, sastera ketatanegaraan, hikayat-hikayat yang bercorak keIslaman dan kisah-kisah para nabi dan anbia yang bersandarkan al-Qur’an. Walaupun ada unsur-unsur Israiliyat tetapi cerita pokoknya masih berteraskan al-Qur’an.

Islam merupakan satu agama yang merangkumi segala aspek kehidupan. Apabila seseorang itu telah memilih Islam sebagai cara hidup, maka mereka secara langsung mesti mematuhi norma-norma yang telah ditetapkan baik dalam apa sahaja bidang termasuk ekonomi, politik, pentadbiran, sosial mahupun kesusasteraan. Sebarang tindakan yang dilakukan akan menjadi sia-sia jika tidak berlandaskan Islam malah akan mengundang dosa pula (Abdul Halim Ali, 2003; 169-170). Tuntutan Islam juga meliputi bidang kesusasteraan. Jika bidang ekonomi dipisahkan daripada Islam, maka bidang ekonomi itu dipanggil ekonomi sekular dan jika bidang kesusasteraan dipisahkan daripada Islam, maka bidang kesusasteraan itu pastinya dikenali sebagai kesusasteraan sekular (kesusasteraan bukan Islam). Seperti yang dinyatakan di atas, sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Islam hanya sia-sia dan mendapat kemurkaan Allah.

Apakah yang dapat kita fahami tentang kesusasteraan Islami? Pelbagai pandangan dan pendapat diutarakan untuk menjelaskan perkara ini. Muhammad Qutb (dalam Shafei Abu Bakar, 1980; 45) mendefinisikan kesusasteraan Islami sebagai karya yang mengandungi nasihat, tunjuk ajar, menggalakkan melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran. Sesebuah karya itu belum lagi boleh diterima dan dikategorikan sebagai sebuah karya kesusasteraan Islami jika hanya sekadar mengandungi ajaran akidah dan falsafah Islami semata-mata. Sesebuah karya itu mestilah merangkumi segala kewujudan menurut jurus pandangan Islam termasuklah ungkapan yang indah berkenaan dengan Islam, alam, kehidupan dan insan. Dengan kata lain, kesusasteraan Islami menurut Muhammad  Qutb menggabungkan keindahan dan kebenaran. Keindahan merujuk kepada hakikat alam tercipta dan kebenaran pula merupakan puncak kepada keindahan yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak serta bersumberkan wahyu.

Menurut yusof yaakob dalam artikelnya berkaitan sastera Islami yang diterbitkan dalam Utusan Zaman bulan Ogos 1974 berpendapat bahawa sastera Islami itu adalah sastera yang mengandungi unsur dakwah. apa sahaja yang menjurus kepada menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran boleh dianggap sebagai dakwah dan sastera Islami adalah suatu wadah dalam kegiatan dakwah. Muhammad Uthman el-muhammady turut memberi pandangan tentang kesusasteraan Islami. Menurut Uthman, sastera Islami adalah sastera suci dan mendidik hati nurani manusia kepada kebaikan. Di samping itu, penghasilan karya juga seharusnya memberi penekanan kepada mengagungkan Allah dengan menjadikan al-Qur’an sebagai model untuk ditiru. Hal yang demikian ialah kerana kedudukan al-Qur’an itu sendiri sebagai sebuah karya kesusasteraan yang sarat dengan cerita-cerita untuk dijadikan sebagai renungan dan panduan hidup sejagat. Selain daripada itu, kesusasteraan Islami juga perlu mengarah kepada menjadikan sifat-sifat yang ada pada baginda Rasulullah SAW sebagai ikutan dan contoh yang terbaik.

Shahnon Ahmad (1982; 1) pula mendefinisikan kesusasteraan Islami sebagai karya umat Islam yang dihasilkan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah dan berhimah untuk manusia sejagat. Ini adalah kerana manusia yang mencipta karya itu adalah ciptaan Allah dan mereka berkarya untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah dengan mengambil al-Qur’an dan sunnah sebagai sumber pendidikan untuk membimbing dan memberi manfaat kepada manusia sejagat. Sastera yang sedemikian bukan sahaja menghiburkan tetapi lebih kepada mendidik, membimbing dan menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan seterusnya menunjukkan jalan ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan alam abadi. Shahnon juga berpendapat, dalam berkarya,  perkara pokok yang perlu diberi penekanan adalah berkaitan dengan tauhid iaitu penyerahan seluruh jiwa raga kepada keesaan dan sifat Allah yang tunggal.

Pandangan dan pendapat yang dikemukakan oleh Shahnon ini mendapat sanggahan daripada Kassim Ahmad sehingga berlaku polemik antara kedua-duanya. Kassim beranggapan bahawa pandangan yang dikemukakan oleh Shahnon itu terlalu umum dan penuh kesamaran. Namun begitu, Kassim tetap mengakui kebenaran konsep yang dikemukakan Shahnon yang beranggapan bahawa penghasilan sesuatu karya kerana Allah itu adalah lebih tinggi, lebih mulia dan lebih utuh berbanding dengan yang lain (Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad, 1987;26).

Kassim melihat kesusasteraan Islami itu berteraskan tiga perkara pokok. Pertama, kesusasteraan yang dihasilkan oleh orang-orang Islam untuk manusia, kedua, kesusasteraan yang dihasilkan oleh orang-orang Islam mengikut estetika Islam untuk manusia, dan yang ketiga, kesusasteraan yang dihasilkan oleh manusia selaras dengan estetika Islam untuk manusia.

Mana Sikana (1985; 18) menyatakan bahawa kesusasteraan Islami adalah penghasilan karya yang menggambarkan sikap hidup penuh takwa yang memberi penekanan kepada aspek-aspek kebaikan dengan bersandarkan al-Qur’an dan sunnah. Di samping itu, karya tersebut lebih memberikan penekanan kepada hubungan antara manusia dengan Allah dan manusia dengan manusia itu sendiri.

S.M. Zakir berpendapat sastera Islam adalah sesuatu yang subjektif kerana sastera Islam mempunyai konsep yang meluas kerana konsepnya yang meluas dan sifatnya yang universal. Bagi S.M. Zakir, sastera Islam tidak terhad kepada penulis Islam, asalkan karya penulisannya mementingkan hubungan antara manusia, alam dan Maha Pencipta (Utusan Malaysia, 1 Ogos 2006).

Amirudin Ali (Ketua 1 Persatuan Penulis Johor) pula berpendapat bahawa sastera Islami perlu memiliki kebenaran dan pegangan kerana Islam berkonsepkan Ad-Din(Utusan Malaysia, 1 Ogos 2006). Disamping itu, dalam penulisan, seseorang pengarang perlu ada pegangan agama kerana bidang penulisan adalah sebahagian daripada konsep tauhid. Faisal Tehrani (dalam akhbar yang sama) turut memberikan pandangannya tentang sastera Islami. Menurut Faisal, penulis itu mestilah seorang Islam dan menulis tentang Islam serta kebenaran diangkat daripada apa yang ditulisnya. Ada tiga aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh seorang pengarang Islam iaitu, keadilan, keindahan dan kebenaran. Sastera Islam juga perlu memiliki ketinggian ilmu, pemikiran dan wacana. Ilmu yang dimaksudkan ialah yang berupaya membawa basirah dan mendekatkan diri kepada Allah dan kebenaran.

Shamsudin Othman (Utusan Malaysia, 1 Ogos 2006) pula menjelaskan sastera Islami harus bertitik tolak daripada akidah Islam dengan berteraskan al-Qur’an dan sunnah. Sastera Islami itu pula berupaya membawa perubahan akidah yang menghayati ciri-ciri ketauhidan dan mengubah paradigma. Pengarang Arab terkenal, Dr Syauqi Dhaif dalam bukunya Fi al Naqli al Adabi[1] menjelaskan bahawa sastera Islami itu mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keundahan, kebaikan dan kemuliaan. Sementara itu, Prof Taha Hussein dalam bukunya Min Tarikh al Adab[2] menyatakan sastera Islami itu berlandaskan kepada kebenaran dan tidak pula bercanggah dengan hukum Allah.

Sesebuah karya itu dapat dikategorikan sebagai kesusasteraan Islami jika menepati kriteria-kriteria berikut, pertama, pengalaman manusia yang digambarkan dalam karya sastera Islam adalah merangkumi pengalaman intelektual, emosi dan badani malah yang lebih penting ialah pengalaman kerohanian manusia dalam hubungannya dengan Allah. Kedua, kesan sastera Islam itu mestilah kesan yang menyeluruh yang memberi manafaat kepada pembaca mengikut ukuran Islam, iaitu sesuatu yang diredhai oleh Allah bagi hamba-Nya. dan yang ketiga, pengucapan seni sastera Islam memerlukan teknik yang baik dan menarik (Sastera Islam dalam pembinaan, 6-7). Pandangan yang dikemukakan ini memperlihatkan peri pentingnya sesebuah karya itu dihasilkan mengikut acuan yang ditetapkan khususnya hubungan antara manusia sebagai hamba yang diamanahkan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dan sebagai hamba-Nya. Dengan kata lain, karya yang dihasilkan mestilah mengikut lunas-lunas yang sudah ditentukan dalam al-Qur’an dan sunnah dengan mengambil kira hubungan penulis dengan Allah dan hubungan penulis dengan pembacanya tanpa mengabaikan elemen-elemen keindahan dalam karyanya itu.

Dalam hal ini juga, pengarang Islam seharusnya meningkatkan daya keintelektualannya dengan menerapkan nilai-nilai hikmah yang tinggi dalam karyanya. Pengarang mesti mempunyai pengetahuan agama yang kukuh dan tahu pula menggunakannya  dalam karya yang dihasilkannya. Sekiranya ia benar-benar dapat meninggalkan kesan keIslamanan yang mendalam kepada pembaca melalui karya sasteranya, maka ia boleh dianggap sebagai seorang seniman Islam yang berjaya (sastera Islam dalam pembinaan,6). Namun begitu, seseorang pengarang tidak semestinya bertindak sebagai seorang pendakwah atau penasihat agama. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menghasilkan karya yang menepati kehendak al-Qur’an dan sunnah. Karya kesusasteraan Islami yang dikemukakan dalam bentuk seni yang indah dan menarik akan menarik minat dan memberikan kesan kepada pembaca.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Gagasan Persuratan Baru.

Sebelum dijelaskan konsep gagasan Persuratan Baru, ada baiknya jika kita kenali terlebih dahulu orang yang bertanggungjawab menjana gagasan Persuratan Baru ini. mohd Affandi Hassan dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 9 Mac 1943. Beliau merupakan bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Beliau mendapat ijazah pertama dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya pada tahun 1968 dan ijazah kedua dari University of Essex pada tahun 1977 dalam bidang Political Behavior. Beliau juga pernah  mengikuti kursus akademik di School of Oriental and African Studies di University of London.

Mohd Affandi Hassan telah menghasilkan pelbagai janru (Mohd Affandi lebih senang menggunakan istilah janru untuk genre). Dalam bidang cerpen, antara antologi yang dihasilkannya ialah Matinya seorang pahlawan (1971), Le Masque (1974), Mimpi rakyat (1985), Pura Pujangga (1990), Tenggelam di Lautan china (1994) dan Bukan ahli UMNO: bukan salah SSB (1998). Mohd Affandi turut aktif menulis novel.  antara novelnya yang telah diterbitkasn ialah Aligupit (1993),  Jejak Warisan (1994), Citra pujangga (1995), Tampang sasterawan (1996), Wajah pendeta (1996). Jejak warisan, Citra pujangga, Tampang sasterawan dan  wajah pendeta kemudiannya digabungkan dalam sebuah tetralogi dengan judul Pujangga Melayu(1997). Beliau juga aktif dalam bidang kritikan dengan menghasilkan beberapa tulisan yang antaranya Pendidikan estetika daripada pendekatan Tauhid(1992), Medan-medan dalam sistem Persuratan Melayu; sanggahan terhadap syarahan perdana Prof Dr. Muhammad Hj Salleh (1994), dan  Pemikiran dan pendekatan dalam kritkan sastera Melayu moden (1994) (Mohd Zariat Abdul Rani, 2004; 162-163).

Dalam bidang akademik, Mohd Affandi turut aktif membentangkan pelbagai kertas kerja ilmiah dalam seminar seperti ‘Membina Teori Sastera Sendiri’ pada tahun 1999, ‘Seminae Emosi Melayu’ pada tahun 2003, ‘Seminar Jenaka Melayu Nusantara’ juga pada tahun 2003 dan kertas kerja berjudul, Kesusasteraan Melayu di persimpangan jalan; anti-intelektualisme, hasad, pandirisme pada tahun 2004.

Teori gagasan Persuratan Baru merupakan hasil janaan Mohd Affandi Hassan. Pada peringkat permulaannya, Mohd Affandi Hassan menggunakan istilah ‘Pendekatan Tauhid’ untuk menamakan gagasan pemikiran beliau. Beliau seterusnya menggunakan istilah ‘Sistem Persuratan Melayu’ pada tahun 1994 sehinggalah pada tahun 1996, istilah ‘Persuratan Baru’ digunakan secara konsisten (Mohd Zariat Abdul Rani, 2004: 161).

Hakikat Insan

Manusia merupakan sebaik-baik kejadian. Allah menciptakan manusia pertama iaitu nabi Adam dengan kekuasaannya dan kemudiannya diberikan roh. allah kemudiannya telah memerintahkan semua malaikat supaya sujud kepada nabi Adam. Kehebatan dan kelebihan manusia ini dikejapkan dengan firman Allah sendiri dalam al-Qur’an surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud, ” Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

Kejadian manusia itu sendiri sebenarnya disertakan dengan akal sebagai tanda kesempurnaan yang dapat berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Kesempurnaan akal itu membolehkan manusia diberi kuasa untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini yang dalam masa yang sama semua makhluk Allah tidak berkemampuan untuk memikul tugas dan tanggungjawab ini. Kesanggupan manusia ini adalah kerana Allah telah memberikan semua keistimewaan yang tidak diberikan Allah kepada makhluk-makhluk yang lain. Inilah kelebihan yang ada pada manusia yang secara tabiinya merupakan makhluk yang sedia menerima apa sahaja tanggungjawab yang diberikan oleh Allah. Dalam hal ini, akal memainkan peranannya kerana sebarang tindakan manusia adalah atas pertimbangan akal yang dapat membezakan baik dan buruk serta sanggup menerima apa sahaja balasan atas perlakuannya sama ada balasan itu baik ataupun buruk.

Walaupun manusia dibekali dengan akal fikiran yang dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya dan ditambah dengan kejadiannya yang cukup sempurna tetapi harus diingat, asal sifat  manusia itu yang pelupa (nisyan) boleh membawa manusia kepada kedudukan yang serendah-rendahnya dalam hierarki makhluk Allah. Sifat dan sikap manusia yang angkuh dan suka memberontak, melawan, menuruti hawa nafsu dan mengejar nikmat keduniaan, melakukan maksiat, mengejar pangkat dan kedudukan, dan lain-lain yang negatif boleh membawa manusia ke tahap yang paling hina. Dalam hal ini, Allah telah memperingatkan manusia bahawa asal kejadiannya daripada air yang hina dan lemah (air mani) yang dipancutkan oleh lelaki ke dalam rahim perempuan dan dilahirkan melalui saluran yang sama dengan keluarnya najis. Begitulah kedudukan manusia yang sebenarnya, hina dan lemah.

Sebagaimana kita sedia maklum, manusia diciptakan oleh Allah  dengan tujuan untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada-Nya. Ini berdasarkan firman Allah dalam al-Qur’an surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud,

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku”.

Berdasarkan firman di atas, manusia sewajarnya sedar dan insaf kedudukan mereka sebagai hamba Allah dan sewajarnya adalah milik Allah sepenuhnya. Oleh hal yang demikian, manusia tanpa apa-apa alasan mesti mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi hamba-Nya yang bertakwa.

Dalam hal ini juga, ada baiknya jika kita telitikan firman Allah dalam surah al-A’Raf ayat 172 yang bermaksud,

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab: ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat  kamu tidak mengatakan: ‘Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”.

Ayat di atas memberikan penekanan kepada tujuan penciptaan manusia yang bertitik tolak daripada pertanyaan Allah kepada jiwa manusia, “Bukankah Aku ini Tuhanmu?”. Pertanyaan yang dikemukakan oleh Allah ketika manusia berada di alam roh ini dijawab dengan ikrar dan janji manusia untuk menyhembah dan mengabdikan diri kepada Allah. Menurut Mohd Affandi Hassan, isi penting yang terkandung dalam jawapan manusia itu adalah janji yang dilafazkan oleh seorang hamba kepada Tuhannya dengan memperakukan ke-Esaan-Nya.

Isi kandungan perjanjian tersebut (ayat di atas) menjadi dalil termeterainya perjanjian azali di antara manusia yang merupakan hamba dengan Allah yang menjadi Pencipta. Dalam perjanjian ini, manusia memberikan ikrar dan perakuan bahawa akan melaksanakan segala yang diperintah dan menjauhi segala yang dilarang-Nya. Sehubungan itu, ada baiknya jika diteliti pandangan yang dikemukakan oleh Syed Muhammad Naguib al-Attas. Beliau mengatakan bahawa apa yang terkandung dalam perjanjian azali antara manusia dan Allah itu adalah hakikat hutang penciptaan dan kejadian yang menjadi asas hubungan antara manusia dengan Allah. Menurut Syed Muhammad Naguib lagi, hakikat keberhutangan tersebut menjadikan manusia sebagai penghutang yang sentiasa terikat dengan hutang kepada Penciptanya dan Pencipta inilah yang menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Hakikat ini juga menimbulkan rasa keberhutangan (indebteness) manusia yang kemudiannya mengikat keseluruhan aspek kehidupan mereka di muka bumi ini. Rasa keberhutangan ini dapat dilihat melalui pengakuan dan janji manusia untuk menjadi saksi terhadap kebesaran dan kebenaran bahawa Allah adalah Pencipta.

Di samping itu, hakikat keterikatan dan keberhutangan menjadikan manusia sebagai hamba yang akan sedaya upaya mahu menunaikan janjinya dengan mengenal dan melakukan bakti kepada Allah. Keinginan ini dianggap sebagai satu kecenderungan semula jadi atau fitrah kejadian manusia yang dilahirkan dengan sifat bersih suci. Mohd Affandi turut menjelaskan bahawa fitrah penciptaan manusia adalah seiring dengan tugas hamba yang dituntut melaksanakan ibadat dengan mematuhi segala apa yang disuruh dan menjauhi segala apa yang dilarang, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariat.

Hal yang demikian menyebabkan segala apa yang ada pada diri manusia itu dianggap sebagai milik abadi Penciptanya yang dipinjamkan secara sementara kepada mereka. Oleh sebab itu, sebagai pihak yang berhutang, manusia akan sentiasa terikat dengan janji untuk melunaskan hutang tersebut sepanjang kehidupannya di atas muka bumi ini. Hakikat keterikatan ini tidaklah  sampai manusia itu pasif dan menyerah bulat-bulat segala aspek dan urusan  kehidupannya kepada ketentuan Allah tetapi keupayaan akal yang dikurniakan oleh Allah itu menggalakkan manusia meneroka alam ini dan mendapatkan sesuatu sebagai bekalan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Anugerah akal ini sesuai dengan amanah yang dipikul oleh manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi.

Imam al-Ghazali turut mengemukakan pandangannya tentang psikologi kejadian manusia yang terdiri daripada empat sifat iaitu; sifat ketuhanan, sifat kesyaitanan, sifat kebinatangan dan sifat hawa nafsu. sifat-sifat ketuhanan ini akan mendorong manusia kepada perkara positif dengan melakukan perkara-perkara kebaikan manakala sifat-sifat yang tiga lagi itu sentiasa mendesak manusia untuk melakukan kejahatan, kezaliman, kemaksiatan dan penderhakaan kepada Allah dan sering mencari jalan untuk mengatasi sifat ketuhanan. Dalam hal ini, keimanan, ketakwaan, ilmu dan rasa tanggungjawab manusia kepada Penciptanya sahaja yang mampu mengalah dan mengatasi pengaruh kesyaitanan, kebinatangan dan hawa nafsu itu (Mohd Affandi Hassan, 1992:18)

Rasa kebertanggungjawaban dan akur tentang kedudukan manusia sebagai hamba Allah membolehkan manusia memilih untuk melakukan kebaikan dan berusaha untuk memenuhi kehendak dirinya selaras dengan kedudukan manusia itu sendiri yang inginkan kemenangan dan kesejahteraan sama ada dalam kehidupan di atas muka bumi ini mahupun kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak.

Kurniaan akal kepada manusia menjadikannya sebagai sebaik-baik kejadian. Dalam hal ini, Mohd Affandi Hassan menjelaskan bahawa apa yang dilakukan oleh manusia itu adalah menjadi tanggungjawabnya sendiri dan tidak boleh menyalahkan orang lain. Manusia diberikan kebebasan untuk menentukan hala tujunya. Jika inginkan kejahatan, akan dipermudahkan Allah ke arah tersebut, begitu juga jika inginkan kebaikan, akan dipermudahkan oleh Allah kepada yang mengharapkannya tetapi harus diingat, setiap perbuatan sama ada baik atau buruk, akan dinilai oleh Allah kelak (1992: 16-17). (Rujuk al-Qur’an surah al-Zalzalah ayat 6-7)

Hakikat Ilmu dan Amal

Ilmu merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia untuk membuat pertimbangan baik atau buruk sesuatu perkara khususnya dalam hubungan antara manusia dengan manusia dan antara manusia dengan Penciptanya, yakni Allah. Syed Muhammad Naguib al-Attas (2007:13) mentakrifkan ilmu sebagai suatu gerak daya ke arah penjelasan, penetapan, penentuan dan pengiktirafan terhadap kebenaran. ilmu dianggap sebagai cahaya yang diberikan oleh Allah kepada manusia. Dalam ruang lingkup keIslaman, ilmu adalah sesuatu yang dapat di gunakan untuk mengetahui dan memahami sesuatu yang dituntut kepada keesahan di samping menghapuskan sifat jahil dalam menilai sesuatu. Syed Muhammad Naguib (2007: 15) turut menjelaskan bahawa ilmu bukan semata-mata suatu sifat yang dimiliki oleh akal tetapi perlu dibimbing oleh para ilmuan agar ilmu yang dipelajari adalah ilmu yang benar. Dalam hal ini, perlu bagi para ilmuan untuk memberi fokus kepada ilmu-ilmu yang berteraskan konsep keIslaman.

Pandangan yang dikemukakan oleh Syed Naguib al-Attas berkaitan ilmu yang benar ini sebenarnya adalah sanggahan kepada pandangan golongan falsafah Yahudi yang beranggapan bahawa ilmu yang benar tidak boleh diperolehi kerana bersifat sementara dan tidak berkesudahan (Syed Muhammad Naguib al-Attas, 2007:39). Dalam kajian yang dilakukannya, Syed Muhammad Naguib mendapati bahawa dalam pemikiran barat, terdapat juga ilmu yang benar (true knowledge) tetapi konsepnya adalah bertentangan dengan ilmu yang benar dalam Islam.

Ungku Maimunah Mohd Tahir (2010:24) menjelaskan takrifan ilmu daripada perspektif Islam bahawa perkataan ilmu merupakan satu perkataan mutlak yang tidak dikhususkan kepada mana-mana disiplin tertentu tetapi membawa maksud umum iaitu membawa manfaat dan kebahagiaan kepada manusia tetapi dalam konteks yang lebih luhur dan perlu diberi perhatian ialah manfaat dan kebahagiaan itu mestilah seiring dengan al-Qur’an dan hadis yang menjadi pegangan umat Islam. Dalam hal ini, apa yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis penting sebagai sumber ilmu kerana di dalamnya sudah lengkap dengan segala aspek kehidupan manusia merangkumi pelbagai disiplin hidup seperti ekonomi, politik dan sosial serta boleh dijadikan panduan dan iktibar kepada manusia untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Ungku Maimunah turut menegaskan bahawa al-Qur’an tetap diperakukan sebagai sumber ilmu yang mutlak,abadi dan tidak akan berubah-ubah walaupun berlaku perubahan dalam kehidupan  dunia sentiasa berlaku dan telah timbul usaha-usaha daripada para ilmuan untuk menjadikan kandungan al-Qur’an ini sebagai satu pegangan dan panduan dalam kehidupan seharian (2010:84). Situasi ini memperkuatkan lagi pendapat dan pandangan gagasan Persuratan Baru yang berlandaskan ilmu yang benar kerana kandungan al-Qur’an itu sendiri sentiasa betul dan dijamin oleh Allah akan kekal sehingga hari kiamat.

Menurut Ungku Maimunah lagi (2010: 26), al-Qur’an bukanlah kitab ilmu pengetahuan (the book of science), tetapi sebuah kitab yang mengandungi petunjuk (the book of signs) yang akan memandu manusia kepada tujuan yang sebenar. Pemahaman ini juga bertepatan dengan penjelasan Muhammad Mumtaz Ali (Mohd Zariat Abd Rani, 2004: 182) tentang istilah ilm’(ilmu) dalam bahasa Arab yang secara etimologinya berasal daripada kata alama iaitu yang bermaksud tanda (sign). Perkaitan antara pengertian ilmu dengan hakikat allah juga jelas apabila tanda itu difahami dalam konteks kehidupan manusia.

Menurut Sayyid Wahid Akhtar, terdapat sekurang-kurangnya 704 tempat dalam al-Qur’an yang mengungkapkan keprihatinan Islam terhadap ilmu. Perkataan al-ilm (ilmu) diulang sebanyak 27 kali manakala perkataan alim (orang yang berilmu) telah dikesan sebanyak 104 kali di dalam kitab suci ini. Ini tidak termasuk ungkapan-ungkapan lain yang pengertiannya bersangkutan dengan ilmu seperti al-kitab, iqra dan qalam (Mohd Zariat Abd Rani, 2004: 182).

Mohd Affandi Hassan (1992:20) pula mengkategorikan sumber ilmu kepada tiga iaitu ilmu wahyu, ilmu bersumberkan akal dan yang ketiganya pengetahuan. Antara ketiga-tiga sumber ini, wahyu berada pada kedudukan tertinggi kerana wahyu itu sendiri datangnya daripada Allah kepada para nabi. Melalui wahyulah kita dapat mengetahui hal-hal berkaitan kewujudan Allah dan perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, pembalasan di akhirat dan hakikat kejadian manusia itu sendiri. Sehubungan itu, Ungku Maimunah (2010:27) menjelaskan bahawa ilmu yang disabitkan dengan wahyu sahaja yang diyakini kebenarannya kerana ilmu wahyu adalah ilmu hakiki yang didatangkan daripada Allah kepada para nabi.

Dalam hal ini juga, Muhammad Abduh menjelaskan wahyu berasal dari wahy yang membawa maksud berbicara dengan seseorang tentang sesuatu yang tidak diketahui oleh orang lain. Dalam konteks ini, Muhammad Abduh mengakui wahyu adalah perkataan Allah kepada para nabi (Wan Muhammad Noor Wan Daud:83). Namun begitu, Syed Muhammad Naguib memberi penekanan yang lebih jelas tentang istilah dan definisi wahyu ini. Bagi beliau, wahyu adalah hak mutlak para nabi dan amat berbeza dengan ilham yang diterima oleh para pujangga dan wali Allah. Dengan kata lain, wahyu adalah sumber ilmu yang benar kerana merupakan suatu arahan, perintah dan suruhan daripada Allah yang disampaikan kepada manusia melalui para nabi. Menurut Syed Muhammad Naguib,

“Wahyu adalah kalam Allah yang disampaikan kepada para rasul dan nabi tanpa suara ataupun huruf tetapi dapat menampung semua yang dapat dinyatakan oleh kata-kata, yang kemudian disampaikan kepada manusia dalam bentuk bahasa yang baru (Wan Muhammad Noor;83).

Menurut gagasan Persuratan Baru, ilmu mestilah yang benar yang boleh membawa manusia kepada tiga aspek yang penting iaitu mengenal Allah, mengelak daripada terjerumus ke lembah yang hina dan membimbing manusia ke jalan yang diredai. Oleh hal yang demikianlah, maka ilmu mesti menjurus ke arah itu. Dalam konteks inilah wahyu yang walaupun tidak diberikan kepada sebarang manusia tetapi panduan daripada al-Qujr’an dan hadis menjadi pedoman kerana seperti yang telah dijelaskan, kedua-duanya adalah bersumnberkan wahyu daripada Allah yang disampaikan kepada manusia melalui perantaraan nabi dan rasul. Namun begitu, pengetahuan yang dipandu dengan keimanan juga membolehkan manusia dibimbing untuk mencapai ilmu yang benar sebagaimana yang dituntut dan dikehendaki oleh agama.

Mohd Affandi Hassan turut menegaskan bahawa ilmu dapat dijadikan asas kepada konsep ibadah yang menjadi tanggungjawab setiap manusia kepada Penciptanya. Pandangan ini seiring dengan pendapat yang dikemukakan oleh Syed Muhammad Naguib yang menjelaskan matlamat penerokaan ilmu menurut Islam ialah melahirkan insan kerana implikasi kehadiran ilmu akan terserlah melalui tindakan dan amal perbuatan manusia.

Sebagai manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian dan dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini, kita perlu mengadunkan antara ilmu dan pengetahuan agar dapat bergerak seiring. Pengetahuan diperlukan untuk mencapai tahap terbaik dalam kehidupan kita tetapi ilmu yang didorong oleh keimanan akan menjadi panduan dan benteng agar kita tidak terjerumus ke suatu tempat yang tidak sepatutnya atau dengan kata lain, ilmu akan membantu kita ke arah hakikat kejadian kita sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Dalam membicarakan soal berkaitan ilmu ini, Islam turut meletakkan ilmu (dan pengetahuan) sebagai sesuatu yang cukup penting dan bernilai dalam kehidupan. Ini bertepatan dengan ayat pertama yang diwahyukan kepada nabi Muhammad SAW. Firman Allah dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud,

‘Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Permurah. Yang mengajar manusia melalui perantaraan pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya’.

Ilmu pengetahuan yang menjadi tumpuan dalam pencarian manusia adalah sumber yang diragukan kebenarannya. Hal yang demikian kerana sifatnya yang tidak mutlak dan dicipta oleh manusia. Dalam hal ini mohd Affandi Hassan (1992:21) turut membezakan antara ilmu dengan pengetahuan. Menurut beliau, ilmu berada setahap lebih tinggi daripada pengetahuan. Hal yang demikian kerana ilmu diperolehi melalui keimanan di mana pemerolehan ilmu itu adalah anugerah daripada Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya manakala pengetahuan pula diperolehi melalui akal hasil pencarian, pembelajaran dan usaha sendiri. Kerana itulah biasanya ilmu lebih mendorong ke arah kerja kebaikan manakala pengetahuan lebih menjurus kepada perlakuan yang negatif. Namun begitu, walaupun ilmu merupakan anugerah Allah tetapi ilmu itu tidak datang begitu sahaja tanpa usaha untuk mendapatkannya. Dalam hal ini, kedua-dua ilmu dan pengetahuan diperlukan iaitu keimanan dan penggunaan akal untuk berfikir, merenung, menilai, memerhati dan membuat latihan untuk menguasainya.

Penguasaan ilmu adalah penting sebagai asas dalam kegiatan kesusasteraan. Hal yang demikian kerana karya yang mempunyai ilmu yang benar akan mendorong pembaca ke arah kebaikan sebagaimana yang disarankan oleh gagasan Persuratan Baru. Penerapan ilmu akan membawa manusia kepada mengenal Allah sebagai Pencipta dan seterusnya menjalankan tanggungjawab sebagai hambaNya dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ilmu yang benar juga akan membolehkan manusia sentiasa mengingati Allah.

Menurut mohd Affandi Hassan, hakikat ilmu dan amal bertitik tolak daripada pengertian ibadah yang merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah bidang kesusasteraan. Dalam hal ini, Mohd Affandi Hassan melihat kepentingan ilmusebagai asas penguasaan kesusasteraan. Apa sahaja tindakan dan perilaku manusia mestilah ditentukan dengan pertimbangan ilmu yang benar. Menurut beliau lagi, ilmu yang benar merujuk kepada ilmu yang berupaya menjadikan manusia mengenali Penciptanya serta membawa mereka ke arah kebaikan  dengan meninggalkan kemungkaran (amal ma’ruf nahi mungkar). Dalam hal ini, Mohd Affandi Hassan  menjelaskan bahawa ilmu dalam pengertian yang hakiki ialah ilmu yang memnbawa manusia kepada Allah melalui tanda-tanda yang telah diperlihatkanNya kepada manusia.

Orang yang berilmu juga sebenarnya mempunyai kedudukan yang lebih baik di sisi Allah berbanding dengan orang yang tidak mempunyai ilmu (dan pengetahuan). Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud,

Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yangf kamu kerjakan.

Dan surah al-Zumar ayat 9, yang bermaksud,

Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.

Penegasan dan pandangan yang telah diutarakan di atas boleh dianggap sebagai penguat dan bukti bahawa ilmu dan amal itu bergerak seiring di mana dengan memiliki ilmu, seseorang itu boleh melaksanakan segala amalan dalam kehidupan seharian. Konsep ini ada kaitannya dengan hakikat dan fungsi sastera yang mana peranan ilmu dan amal ini adalah sebagai ibadah  kepada para sasterawan atau penulis untuk menjalankan amanahnya sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Dengan mengambil sumber daripada al-Qur’’an dan hadis (al-Qur’an merupakan sumber utama kerana kedudukannya sebagai qalam Allah dan hadis pula sebagai pemberi penjelasan terhadap mesej al-Qur’an kerana tanpa hadis, pembaca al-Qur’an tidak dapat memahami sepenuhnya isi kandungan al-Qur’an itu. Hal yang demikian kerana nabi Muhammad SAW terpaksa menyampaikan kandungan al-Qur’’an itu kepada umatnya dalam bahasa yang boleh atau senang difahami) seseorang  pengarang itu dapat melakukan ibadah dengan menyebarkan ilmu yang benar kepada manusia lain.

Ungku Maimunah menjelaskan bahawa ilmu adalah idea, pencernaan buah fikiran, hasil daripada fahaman yang jitu, bacaan yang luas, renungan yang mendalam yang dicanai oleh akal dan diterjemahkan melalui penggunaan ruang naratif dalam sesebuah karya dengan sebaiknya. Ini menjurus kepada penggunaan ruang naratif yang dimaksimumkan oleh penggunaan ilmu dan mengenepikan cerita. Dengan kata lain, sesebuah karya itu menurut gagasan Persuratan Baru perlu menekankan kepada bagaimana seseorang pengarang membangunkan karyanya dengan menggunakan semua unsur struktural sama ada untuk membangun, memperpanjang dan menyelesaikan cerita atau mengupas, menghurai dan menghujah idea bagi membina ilmu.

Hakikat Dan Fungsi Sastera

Gagasan Persuratan Baru menekankan matlamat untuk mengajar dan mengingatkan manusia tentang kebenaran di sisi Allah, diiringi dengan pengakuan dan pengutamaannya terhadap perkara tertentu di satu pihak serta penafian dan penyingkiran terhadap perkara tertentu pula dipihak yang lain. Pemahaman ini dijelaskan dengan konsep hakikat dan fungsi sastera. Konsep ini menjadikan hakikat insan dan hakikat ilmu dan amal sebagai asas bagi memahami makna dan fungsi sastera. Ini ketara apabila pengertian taklif yang memperakukan soal keterikatan manusia dengan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi menjadi asas pemahaman gagasan Persuratan Baru tentang peranan golongan penulis termasuk sasterawan di sisi Islam.

Hakikat kejadian manusia sebagai insan yang diciptakan dengan pelbagai kelebihan seperti kemampuan akal yang tinggi dan fitrah untuk membuat kebaikan di satu pihak serta beberapa kelemahan seperti godaan hawa nafsu, tipu daya syaitan dan sifat pelupa di satu pihak yang lain meletakkan hakikat dan fungsi sastera menurut gagasan Persuratan Baru sebagai wahana atau alat untuk mengajar dan mengingatkan manusia tentang kebenaran di sisi Allah. Di sini, jelaslah hakikat dan fungsi sastera sebegini yang menekankan usaha mengenal dan memahami hakikat ketuhanan menjadi hakikat akhir kesusasteraan yang dimanifestasikan melalui unsur pengajaran dan peringatan tentang perjanjian azali antara manusia dan PenciptaNya.

Matlamat untuk memahami hakikat ketuhanan jelas sejajar dengan tututan taklif dan meletakkan kedudukan kesusasteraan ke dalam dua lingkungan tugas manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain, gagasan Persuratan Baru pada satu pihak meletakkan kegiatan kesusasteraan sebagai satu bentuk ibadah seorang hamba kepada Penciptanya dengan niat dan cara pelaksanaannya sentiasa benar di sisi Allah. Pada pihak yang lain pula, para pengarang yang melaksanakan kegiatan tersebut mengikut prinsip yang ditekankan tadi, maka mereka telah dianggap menyempurnakan satu daripada tugas mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang dituntut mentadbir alam dengan sebaik-baik pentadbiran yakni mengajar dan menasihati manusia tentang kebenaran di sisi Allah melalui hasil karya mereka. Gagasan Persuratan Baru menekankan peri pentingnya sastera dan kegiatan kesusasteraan itu diukur berlandaskan pengertian dan fungsi qalam.

Pengertian dan Fungsi Qalam

Pengertian qalam di sini dapat dirujuk sebagai kegiatan karang mengarang iaitu sejenis kegiatan yang menjadikan menulis membaca sebagai asasnya. Kesusasteraan merupakan satu daripada hasil yang terbit daripada penggunaan qalam itu sendiri dan penggunaan yang penuh adil akan mencerminkan kebenaran dan lahirlah hakikat ilmu dan amal daripadanya (pendekatan tauhid;23). Dalam Islam, penggunaan qalam dihubungkan dengan ilmu kerana pengetahuan yang sedemikian akan membawa manusia kepada pandai membaca ayat-ayat Allah. Menurut Mohd Affandi Hassan, dalam pengertian dan fungsi qalam, terangkumlah kegiatan karang mengarang yang dilakukan oleh manusia bertunjangkan matlamat menyampaikan ilmu yang benar. Tambah beliau lagi, penggunaan qalam dalam Islam dihubungkan dengan ilmu, yakni menjadikan manusia pandai membaca ayat-ayat Allah dan dengan itu dapat meletakkan dirinya dalam perspektif yang betul. Sebenarnya pemahaman Mohd Affandi Hassan ini bersandarkan firman Allah dalam al-Qur’an surah al-Alaq ayat 4 dan 5 yang bermaksud,

Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.

Dalam konteks ayat di atas, fungsi qalam adalah sejajar dengan kemampuan akal manusia yang pada satu aspek diciptakan dengan keupayaan untuk berfikir dan memahami hakikat Allah dan dalam aspek yang lain pula, akal manusia turut memiliki kelebihan untuk mengajar dan mengingatkan manusia lain tentang hakikat Allah melalui hasil-hasil penulisannya. Dalam zaman ini, qalam digantikan dengan konsep kreativiti. Sastera sebagai seni kreatif yang autonomous, bebas dan dimiliki sepenuhnya oleh pengarang yang boleh mewarnainya dengan sepenuh hati. Karya, walaupun merupakan pandangan dan perspektif peribadi pengarangnya sewajarnya masih berlandaskan hakikat kedudukan penulis itu sendiri dan bukannya menghasilkan sesuatu yang tidak mencerminkan kebenaran. Jika gagasan Persuratan Baru membenarkan penulisan sesebuah karya itu mengikut acuan pengarangnya, maka hasil yang lahir nanti adalah lebih menjurus kepada luahan hawa nafsu dan terpesong tujuan asal penulisan mengikut Islam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Gagasan Persuratan Baru: Antara Wacana dan Cerita

Gagasan Persuratan Baru merupakan satu kerangka kritis dan sistematik dalam menganalisis sesebuah karya kesusasteraan.  Prinsip-prinsip dalam gagasan Persuratan Baru ini boleh dipercayai menangani secara serius dan berkesan perkara-perkara yang berkaitan perspektif Islami, keilmuan dan kualiti sesebuah hasil kesusasteraan. Dalam hal ini, Persuratan Baru menggariskan dua prinsip yang penting iaitu membezakan antara wacana dan cerita serta mengutamakan wacana daripada cerita. Wacana merujuk kepada idea-idea yang dijana dan dimantapkan secara intelektual, dengan huraian, analisis dan sistesis yang dapat membentuk satu wacana atau hujah ilmiah yang mantap. cerita pula merujuk kepada alat-alat penceritaan seperti watak, peristiwa, konflik, plot, latar dan sebagainya yang digembleng bagi menghasilkan sebuah cerita (Kertas kerja Mohd Zariat Abdul Rani yang dibentangkan di Perhimpinan Penulis Muda Nasional ke-3 pada 16-18 disember 2011 di Kuala Lumpur).

Bagi Mohd Affandi Hassan, ilmu merupakan intipati yang menjadi dasar atau wadah utama dalam penghasilan sesebuah karya dan persuratan menurut Islam. Daripada ilmu tersebutlah lahirnya wacana dan cerita. Ilmu itu sendiri mempunyai beberapa tahap tertentu. Ilmu tertinggi adalah ilmu berdasarkan kalbu yang bersifat kerohaniah yang diberikan kepada manusia terpilih sahaja yang mana mereka ini adalah insan yang jiwanya dekat kepada Allah dan sentiasa takut dan mengingati-Nya. Tingkat kedua ilmu ialah yang berasaskan akal yang dialami dan diperolehi melalui pemikiran dan pengamatan akal manakala tahap paling rendah ialah peringkat pengalaman yang diperolehi oleh semua manusia. Ilmu yang diperolehi atau dimiliki itu perlu digembleng dan dibentuk menjadi sebuah pengkaryaan yang baik (Mohd Affandi Hassan, 1992;99).

Pada kebiasaannya, sesebuah karya sama ada persuratan, kesusasteraan atau popular dan  picisan bergerak atas paksi penceritaan dengan menggunakan alat-alat penceritaan seperti watak, aksi, latar, bahasa, dan lain-lain. Begitu juga dengan pembinaan kisahnya bermula dengan permulaan, pertengahan dan penutup. Cuma yang membezakan antara karya wacana atau cerita bergantung kepada bagaimana paksi penceritaan atau naratif itu dimanipulasikan sesuai dengan pilihan pengarang itu sendiri.

Dalam Persuratan baru, wacana menjadi perkara pokok dan keutamaan manakala cerita hanyalah tempelan atau sebagai alat sahaja untuk membolehkan wacana berkembang. Dengan menggunakan kedua-dua wacana dan cerita ini, Persuratan Baru boleh mengenal pasti dengan jelas dan tepat mutu dan nilai kesusasteraan sesebuah karya dan mengkategorikan sesebuah karya itu sebagai karya persuratan, karya sastera dan karya popular atau picisan. Ketiga-tiga kategori ini disusun mengikut aturan di sisi Islam dengan meletakkan karya persuratan sebagai yang utama, diikuti dengan karya kesusasteraan dan yang berada di dasar adalah karya picisan.

Dalam hal ini Persuratan Baru memberi tafsiran karya persuratan sebagai sebuah karya yang mengutamakan wacana dengan memberikan tumpuan terhadap aspek-aspek pembinaannya (wacana). Karya persuratan adalah karya yang bersandarkan ilmu yang benar yang bersumberkan Allah SWT, para nabi dan rasul, ulama yang mengikut jejak para rasul dan sumber-sumber yang diakui oleh Islam. Ilmu yang benar ini dapat mengelak daripada membawa manusia kepada kesesatan. Gagasan Persuratan Baru meletakkan karya persuratan mesti bertunjangkan taklif. Dengan adanya taklif dan wacana akan menjamin sesebuah karya itu tidak ditulis sembarangan, sebaliknya acuan Islam yang membimbing karya tersebut berlandaskan ilmu yang benar. Kehadiran wacana akan menyekat kebebasan pengarangnya untuk hanya bercerita dan berseronok semata-mata. Tanpa konsep ilmu yang benar sebagaimana yang disarankan oleh gagasan Persuratan Baru, maka, karya yang indah dan bermutu dari segi estetikanya belum tentu sesuai untuk dijadikan teks dalam pengajaran sastera kerana kedapatan di dalamnya unsur-unsur lucah dan seksnya. Ini dapat dilihat daripada novel Salina dan Kawin-kawinKawin-kawin yang walaupun indah bahasa dan nilai estetikanya tetapi  olahan dan analisisnya lebih menjurus kepada picisan. Sesuai dengan kepentingan ilmu dalam Islam, sesebuah karya itu tidak dapat digolongkan sebagai menepati kehendak acuan Islam jika apa yang dipentingkan hanyalah cerita sahaja.

Mengikut gagasan Persuratan Baru, konsep persuratan difahami dan dipraktikkan seiring dengan tradisi Islam dan kebudayaan Melayu yang memberi penekanan kepada ilmu yang betul dan benar dan bukan kepada aspek hiburan dalam kesusasteraan sebagaimana yang sedang berlaku dalam dunia kesusasteraan di negara kita sekarang yang lebih kepada aspek hiburan. Ini dapat kita lihat dalam sukatan pelajaran di peringkat sekolah menengah sendiri di mana salah satu fungsi sastera ialah hiburan. Memang diakui kedudukan hiburan ini dalam bidang kesusasteraan tetapi yang menjadi masalahnya ialah hiburan merupakan matlamat dan tujuan utama karya kesusasteraan itu. Dalam ruang lingkup tauhid, gagasan Persuratan Baru menolak fungsi sastera sebagai alat hiburan dalam pengertian yang sempit dan bersifat kenafsuan dan menggantikannya dengan konsep indah (jamal) yang asasnya akal dan roh (pendekatan estetika daripada pendekatan tauhid; 35)

Karya sastera pula merujuk kepada karya yang mengutamakan cerita dengan memberikan tumpuan terhadap aspek-aspek pembikinan cerita. Karya sastera ini biasanya diasaskan kepada emosi dan keseronokan. Dalam hal ini, kegiatan kreatif yang dihasilkan lebih kepada imaginasi pengarangnya dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek struktural semata. Kalaupun ada diterapkan elemen-elemen ilmu dan Islam, tetapi lebih kepada tempelan sahaja. Ini bertepatan dengan trasdisi penulisan moden yang mana sesebuah hasil karya kesusasteraan memberikan keutamaan kepada perasaan atau emosi melalui naratif. Dalam tradisi kesusasteraan Jepun, tragedi berada di atas dan yang paling rendah ialah komedi. dalam tragedi, manusia jatuh dan musnah angkara perbuatan mereka sendiri sama ada kerana kesilapan dan kealpaan ataupun kerana menentang kuasa baik, pemerintash dan pembaca begitu seronok membaca cerita sebegini. Hal yang sebegini tidak diterima oleh gagasan Persuratan Baru yang menekankan ilmu di mana hasil karya dikembangkan melalui wacana, iaitu kebijaksanaan daslam menyelesaikan sesuatu.

Karya popular atau picisan merujuk kepada karya yang mengutamakan unsur yang menepati cita rasa popular dan cita rasa yang rendah mutunya seperti pornografi atau nafsu kebinatangan atau dengan kata lain karya ini menjadikan seks dan hawa nafsu sebagai pengucapan kreatifnya (Gagasan Persuratan Baru, muka surat 40). Istilah picisan tidak terbatas kepada kelucahan semata-mata tetapi harus difahami secara menyeluruh, meliputi idea, tema, bahasa, gaya, watak dan perwatakan, lambang, dialog, paksi naratif, kriteria penilaian dan lain-lain aspek yang berhubungan dengan penciptaan karya kreatif. Karya menjadi picisan apabila diolah secara mudah, cetek, dangkal, menyeleweng daripada nilai-nilai tamadun manusia yang beradab yakni melihat semua perkara daripada hawa nafsu manusia yang ingin bebas daripada tanggungjawab taklif. Sesebuah karya akan menjadi karya picisan apabila menjadikan kejahatan sebagai nilai utama (Gagasan Persuratan Baru, muka surat 62). Di samping itu, sesebuah karya akan tergolong sebagai karya picisan jika ideanya kabur, keliru, tidak dijalin dalam struktur yang kemas tersusun logiknya, dan tidak dihujahkan dengan teliti. Karya ini menjadi picisan jika konsep yang digunakan tidak tepat, kacau maksudnya, tidak ditakrif dengan jelas, pengolahan yang dangkal dan penghujahan pula berasaskan bukti yang lemah dan tidak konkrit ( gagasan Persuratan Baru, 44).

Menurut Faisal Tehrani (Akhbar Online, November 2006), novel picisan bukanlah sebuah novel dalam erti kata yang sebenar. Novel picisan lahir daripada satu budaya kitsch[3] pop yang tidak terjejak oleh satu peradaban dan jati diri yang berwibawa manakala novel popular pula adalah sebuah karya yang diterapkan satu elemen moral dan psikologi untuk menyenangkan penulisnya dan sesiapa sahaja yang membaca novel ini.

Bidang kesusasteraan daripada perspektif Islam dan Persuratan Baru adalah kegiatan atau amal manusia yang menggunakan kreativitinya, menciptakan sesuatu hasil karya dengan menggunakan bahasa yang indah dan teknik yang pelbagai dan berkesan untuk menarik minat pembaca dan menepati kehendak kejadian insan dan hakikat ilmu dan amal. Dalam Islam, fungsi sastera dapat dirumuskan sebagai usaha melahirkan karya yang indah dan bermakna (pendekatan tauhid;25).

Justeru kerana itulah, konsep siratan makna diperkenalkan dalam sesebuah karya Islam. Siratan makna atau Stylization of ideas yang diberi penekanan oleh gagasan Persuratan Baru mestilah dibina berasaskan tiga prinsip gagasan Persuratan Baru itu sendiri iaitu Hakikat Insan, Hakikat Ilmu dan amal dan Hakikat dan Fungsi Sastera. Berdasarkan struktural sesebuah karya persuratan, aspek paling penting ialah penghasilannya dibina berasaskan ilmu yang benar yang di dalamnya membincangkan tentang hakikat insan di mana membincangkan perwatakan seseorang tokoh berlandaskan insan yang sewajarnya. Di samping itu karya juga turut membincangkan hakikat amal untuk memastikan perlakuan manusia masih dikawal oleh lunas-lunas agama dengan tidak menjadikan hawa nafsu sebagai fokus utama. Karya itu juga bersifat dedaktik dan bukannya propaganda. Dari segi kreativitinya, seseorang pengarang itu bebas menggunakan apa sahaja kemahiran bahasa yang dimiliki, pengalaman yang dikuasainya, mengolah bahan karyanya mengikut cita rasa tetapi berkonsepkan taklif yang menurut Shah Wali Allah mesti merujuk kepada kesempurnaan manusia yang semulajadi untuk mencapai tiga matlamat dalam hidup; keadilan, ilmu pengetahuan dan ikhtiar dan usaha (Mohd Affandi Hassan, 1992:89).

Dalam menghasilkan sebuah karya yang menepati konsep ilmu sebagaimana yang disarankan oleh gagasan Persuratan Baru, seseorang karyawan atau pengarang itu mestilah memiliki ilmu keagamaan dengan mensucikan jiwa dan menanam rasa takwa yakni takut kepada Allah dalam apa sahaja yang dilakukannya. Penghasilan karya nanti tidak menjurus kepada keduniaan semata-mata tetapi lebih kepada rasa tanggungjawab sebagai seorang yang beriman dan beramal saleh. Menurut Imam Ali dalam Faisal Tehrani (Harakah Daily, 20 Sept 2006), jangan mencari ilmu untuk empat tujuan, mengagungkan diri di depan manusia berilmu, berhujah dengan orang yang jahil, menunjuk-nunjuk di dalam perhimpunan manusia dan menarik perhatian manusia untuk mendapatkan jawatan atau nama untuk berkuasa.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sinopsis Novel

1515

Novel 1515 telah memenangi tempat pertama kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun 2002. Novel 1515 mengisahkan seorang sejarawan pengarang, Dr Adi Fimiyun Abdul Hadi yang membuat kajian tentang sejarah penaklukan Portugis (Feringgi) yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque ke atas Melaka pada tahun 1511. Kajian ini dijalankan atas permintaan Tun Nyemah Mulya yang mahukan Dr Adi mengubah sejarah Melaka yang telah diputarbelitkan oleh penulis barat. Mengikut catatan sejarah, Melaka merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan menguasai sebahagian besar Kepulauan Melayu tetapi dikalaahkan oleh tentera Portugis. Kekalahan tersebut menyebabkan Melaka menjadi wilayah jajahan takluk Portugis sehingga tahun 1641 apabila Belanda datang dan mengalahkan Portugis. Kekebalan pemerintahan Portugis di Melaka adalah kerana wujudnya kmota A Famosa yang menjadi benteng pertahanan Portugis yang utuh. Kota itu terus bertahan walaupun diserang berulang kali oleh Sultan Mahmud dan negeri-negeri Islam yang lain.

Menurut sejarah, Portugis bukanlah sebuah kuasa yang kuat tetapi kekalahan Melaka disebabkan oleh beberapa faktor seperti peranan yang dimainkan oleh Nina chattu, seorang saudagar yang menguruskan perniagaan Sultan Melaka telah menyeludup surat-surat tentera Portugis (Ruy de Araujo) yang dipenjara mengenai pertahanan Melaka untuk diserahkan kepada Albuquerque, dan ketidaksetiaan tentera-tentera upahan Melaka sendiri yang datang dari Jawa.

Adi Fimiyun, membuat kajian dan mendapati bahawa sejarah sebenarnya telah diterbalikkan oleh sejarawan Barat. Mengikut kajian tersebut, serangan Portugis ke atas Melaka telah menemui kegagalan. Orang yang bertanggungjawab mengetui pertahanan Melaka adalah seorang gadis berusia 15 tahun bernama Nyemah Mulya. Nyemah Mulya dikatakan lahir pada malam Lailatul Qadar  1496. Nyemah Mulya dikatakan cucu kepada Maulana Sadar Jahan, guru al-Qur’an kepada Sultan Mahmud Syah dan ibunya dayang Puteri Onang Kening dari Kelantan dan semasa kanak-kanak lagi telah diajar dengan pelbagai ilmu dunia dan akhirat sehingga menjadi seorang gadis yang cukup sempurna. Dia menguasai ilmu persilatan, malah kebal dan tidak lut senjata serta lengkap dengan ilmu agama yang diajar oleh bapanya, keturunan Maulana Sadar Jahan.

Melaka pada masa itu merupakan sebuah kerajaan yang cukup hebat dan bertamadun berbanding kerajaan barat  tetapi masalah sosial mula menjadikan Melaka sebuah negeri yang bermasalah. Sultan Mahmud digambarkan sebagai seorang sultan yang tidak mengambil tahu hal dalam negeri. Kerja baginda hanya bersuka ria sahaja dengan menghisap candu, berfoya-foya dengan perempuan dan peminum arak.

Nyemah Mulya dan tentera yang dipimpinnya telah mengalahkan angkatan Feringgi sehingga Albuquerque sendiri dibunuhnya. Sebelum Nyemah Mulya membunuh Albuquerque, dia telah berjanji membawa mayat Albuquerque untuk dikebumikan di Lisbon. Nyemah Mulya kemudiannya telah meminta kebenaran Sultan Mahmud Syah untuk menyerang Portugis sebagai peringatan kepada bangsa Barat yang lain bahawa bangsa Melayu bukanlah bangsa yang pengecut. Sultan mengizinkan walaupun dibantah oleh Sultan Ahmad Syah (anakanda Sultan Mahmud) kerana dengki dengan kehebatan Nyemah Mulya. Angkatan tersebut dinamakan Angkatan Perang Nusantara yang menggabungkan tentera-tentera dari negeri-negeri di Kepulauan Melayu dan dalam perjalanan ke Portugal nanti akan bergabung dengan tentera Islam Turki Uthmaniyah.

Nyemah Mulya dikatakan tiba di Portugal pada tahun 1515 Masihi dengan 100 buah kapal perang dan memulakan gerakan menakluki Portugal. selain daripada Angkatan Perang Nusantara dan tentara Islam Turki Uthmaniyah, Nyemah Mulya juga mendapat bantuan daripada Sepanyol yang merupakan musuh Portugal di Eropah dan akhirnya Portugal berjaya dikalahkan dan bermulalah era pemerintahan Islam dinasti Mulya di Portugal.

Nyemah Mulya  kemudiannya kembali ke Melaka.  Dia telah membuka sekolah agama dan mengajar rakyat hal-hal berkaitan agama termasuklah hadis, sirah, ulum Al-Qur’an dan ilmu mempertahankan diri. Nama Nyemah Mulya masyhur ke seluruh Nusantara. Murid-muridnya datang dari seluruh pelosok dunia. Keadaan ini menimbulkan perasaan dengki dan iri hati Sultan Ahmad Syah yang menggantikan Sultan Mahmud Syah sebagai pemerintah Melaka.  Baginda telah menuduh Nyemah Mulya melakukan tiga kesalahan besar, iaitu, mahu merampas takhta Melaka, mempunyai hubungan  dengan orang asing dan dijadikan alat niat jahat mereka dan yang ketiga sebagai seorang ahli sihir yang mengamalkan ilmu hitam dan telah mengajar ajaran songsang lagi sesat.

Nyemah Mulya dibicarakan dan Sultan Ahmad telah melantik anak lelaki Nina Chattu sebagai hakim. Dalam perbicaraan tersebut, Nyemah Mulya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman bakar sampai mati, namun Nyemah Mulya tidak hangus. Sultan Ahmad sangat marah. Berbagai-bagai cara lain dilakukan termasuk menikan dengan lembing, mnemanah tepat ke tubuh Nyemah Mulya tetapi tidak berjaya. Akhirnya Nyemah Mulya memberitahu rahsia kematiannya. Sultan Ahmad dikehendaki berseru dengan lantang  “Dengan nama Allah, beta bunuh wali Allah” dan akhirnya Nyemah Mulya dan suaminya menghembuskan nafas terakhir.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

1511H[Kombat]

1511H[kombat] mengisahkan perjuang seorang perempuan, Hajah Syarifah Nusaybah bt Syed Abdullah membentuk tentera gabungan pemuda Islam seramai 11 orang  untuk memimpin umat Islam sebagai persediaan mempertahankan tanah suci Makkah dan Madinah daripada serangan Amerika Syarikat yang pada masa itu ditadbir oleh seorang presiden yang mengalami penyakit psychopathology. (sejenis penyakit jiwa yang mana pengidapnya mengalami gangguan mental yang dapat dikesan menerusi pertuturan, aksi dan juga halunisasinya). Presiden tersebut bernama Richard nosirname, seorang berketurunan Yahudi tetapi menganggap dirinya Kristian. Dia begitu membenci Islam sehingga akan marah jika sesiapa menyebut perkataan Islam sahaja di hadapannya.

Seorang yang dipilih untuk menggenapkan bilangan 11 pemimpin umat Islam itu ialah Muhammad Ameen, pemuda Melayu berusia 19 tahun.  Dia seorang anak yatim yang pembelajarannya dibiayai oleh Syarifah Nusaybah. Pada belikatnya pula tertera larikan perkataan khaleed, sempena nama pahlawan Islam, Khalid bin Al-Walid yang merupakan pahlawan Islam yang hebat dan terbilang. Muhammad Ameen dipilih untuk mengetuai pasukan yang akan  mempertahankan kota Makkah yang menjadi sasaran utama untuk dimusnahkan oleh tentera Amerika kerana pada pendapat presidennya, Makkah menjadi tempat persembunyian pengganas.  Di samping itu, presiden Nosirname juga mahu meruntuhkan kaabah, usaha yang gagal dilakukan oleh Abrahah, seorang pemimpin Keristian Habsyah.

Dalam usaha menangani perancangan Amerika, Syarifah Nusaybah yang dipanggil jeneral oleh pembantu-pembantunya telah menggunakan semua kekayaan yang dimiliki untuk membuat pelbagai persediaan ketenteraan termasuk membeli senjata, mengklon senjata, membina tentera cyborg (tentera yang telah dipertingkatkan keupayaannya dengan pemasangan cip) dan menggunakan segala kemajuan teknologi.

Syarifah Nusaybah telah mendirikan sebuah taifa dengan mengenakan disiplin yang ketat. Beliau juga turut membina langar sebagai tempat pertemuan ahli futuwwah dan melantik ayyar atau tentera futuwwah serta menghimpuni para pengikut sufi atau syattaran.

Untuk merealisasikan hasratnya, presiden Amerika telah mengarahkan USS Nimitz melancarkan serangan peluru berpandu paling canggih dan kuat ke arah kubah hijau di Masjid Madinah yang menempatkan makam Nabi Muhammad SAW dengan tujuan untuk memusnahkannya tetapi satu keajaiban berlaku apabila peluru berpandu tersebut melantun balik dan menenggelamkan kapal induk Amerika tersebut. Keadaan ini menyebabkan Amerika semakin berang dan mula melancarkan serangan secara besar-besaran. Pasukan tentera Islam bermati-matian mempertahankan kedua-dua tempat suci tersebut dengan melengkapkan aspek ketenteraan. Akhirnya tentera Amerika yang tewas.

Setelah berjaya mempertahankan kota suci Makkah dan Madinah, legasi perjuangan pemuda-pemuda Islam diteruskan dengan perancangan menyerang Amerika. Serangan ini bukan untuk membalas dendam tetapi sebagai pengajaran kepada Amerika dan rakyatnya bagaimana sakit dan menderitanya akibat peperangan. Tentera pemuda Islam terlebih dahulu menghantar segerombolan lebah ciptaan untuk merosakkan sistem komunikasi di Moscow, New York dan Washington. Apabila sistem komunikasi tergendala, mudahlah bagi tentera Islam melancarkan serangan bersenjata dan akhirnya Pantai Timur Amerika berjaya dikuasai. Dalam masa yang sama, tentera Islam Chechen telah berjaya menakluki Moscow.

Presiden Amerika sendiri turut meninggal dunia apabila seekor lebah yang membawa bahan beracun menggigitnya. Kota Washington yang ditakluki kemudiannya ditukar nama kepada Kots Emrullah dan Rumah Putih (White House) menjadi Masjid Putih. Amerika kemudiannya ditadbir oleh pemimpin Islam.

 

 

 

 

 

 

 

Advencer Si Peniup Ney

Novel Advencer Si Peniup Ney menceritakan tentang 40 jin dari negeri Fantasia yang diketuai oleh Harun telah datang berjumpa dengan Ustaz Kamal untuk meminta bantuan anak Ustaz Kamal, iaitu Sulaiman Helmi untuk berdakwah kepada kaum jin di negeri Fantasia yang pada masa itu berada dalam kesesatan angkara pengaruh hedonisme. Pemerintah negeri Fantasia tersebut ialah Jin Bertindik Satu yang menggalakkan rakyatnya hidup berlandaskan keseronokan, kemewahan dan hiburan semata-mata. Barang siapa yang melanggar ideologi negeri Fantasia, iaitu hedonisme akan dihukum dengan hukuman yang amat berat. Golongan muda di negeri tersebut sudah melupai kehidupan beragama. Kedatangan Sulaiman Hilmi dan rakan-rakan jinnya adalah untuk mengembalikan  kehidupan mereka ke jalan yang benar, yang mentauhidkan Allah dan melupakan segala yang melalaikan.

Dalam usaha menangani permasalahan ini, Sulaiman Hilmi telah memperkenalkan suatu bentuk muzik baru yang menjurus kepada mengingat Allah, iaitu sauti sarmad. Sauti sarmad ialah sejenis muzik yang membawa manusia kembali kepada destinasi akhir dalam kehidupan, iaitu Allah dan zikir juga merupakan sauti sarmad. Usaha yang dilakukan oleh Sulaiman Hilmi menghadapi pelbagai halangan dan rintangan. Jin-jin kafir mula menunjukkan penentangan. Mereka mula mempengaruhi Jin Bertindik Satu untuk menghalang niat murni Sulaiman Hilmi. Mereka turut menggunakan perisik jin kafir iaitu Justin, untuk mengacau usaha dakwah Sulaiman Hilmi. Sulaiman Hilmi juga mengadakan ceramah dan kuliah kepada masyarakat jin untuk menerangkan muzik yang dibenarkan dalam Islam. Justin mula tertarik dengan ajaran Sulaiman Hilmi dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi pengikut Sulaiman Hilmi yang setia.

Perancangnan jahat iblis untuk menghalang dakwah Sulaiman Hilmi melalui muzik diteruskan. Kali ini iblis menggunakan perempuan sebagai umpan. Puteri Simone Sidharra, puteri Jin Bertindik Satu yang merupakan idola masyarakat jin dihasut untuk menundukkan Sulaiman Hilmi. Puteri itu telah menggoda Sulaiman sebagaimana Zulaikha menggoda nabi Yusuf yang mana akhirnya Sulaiman dipenjarakan selama dua tahun. Semasa di dalam penjara, Sulaiman Hilmi berjaya mentafsir mimpi dua orang banduan yang sama-sama dipenjarakan (sama dengan tafsiran mimpi nabi Yusuf semasa di dalam penjara sebagaimana yang terkandung dalam al-Qur’an surah Yusuf ayat 41).

Puteri Simone Sidharra yang memfitnah Sulaiman Hilmi tidak dapat melelapkan mata. Dia asyik diganggu suara misteri yang membisikkan ayat yang berbunyi; isteri al-Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat mendalam. SesungguhnyaKami memandangnya dalam kesesatan yang nyata (surah Yusuf, ayat 30).

Dalam masa yang sama, Jin Bertindik Satu turut mengalami mimpi ngeri. Tiada seorang pun di dalam neneri Fantasia yang mampu mentafsir mimpinya sehinggalah seorang yang pernah dipenjarakan bersama Sulaiman Hilmi memberitahunya akan kebijaksanaan Sulaiman Hilmi mentakwil mimpi. Sulaiman Hilmi dipanggil untuk mentafsir mimpi Jin Bertindik Satu. Pada masa itulah Puteri Simone Sidharra mengakui kesilapannya memfitnah Sulaiman Hilmi dan bertaubat atas perbuatannya. Walaubagaimanapun, sifat angkuh Jin Bertindik Satu mengatasi kebenaran dan Sulaiman  Hilmi tetap dijatuhi hukuman.

Pada suatu hari, ketika masyarakat jin di negeri Fantasia asyik berpesta dalam konsert hiburan, sebuah kapal terbang  telah melanggar negeri Fantasia dan ramai jin telah terbunuh termasuklah Jin Bertindik Satu. Puteri Simone Sidharran yang telah insaf menggantikan tempat ayahnya sebagai pemerintah negeri Fantasia yang kemudiannya ditukar nama kepada negeri al-Hidayah. Sulaiman Hilmi dibebaskan. Akhirnya masyarakat jin di negeri Fantasia kembali ke jalan yang diredai Allah.

Sulaiman Hilmi meneruskan kembaranya dan kali ini dia dan rombongan jin singgah untuk bersolat di tepi pantai perairan Laut China Selatan. Di sini mereka berada di negeri jin, yang bernama Samudera Suran dan terletak di dasar laut. Samudera Suran diperintah oleh Maharaja Tenggiri yang sedang sengsara derita sakit angkara arak. Arak sebenarnya memudaratkan peminumnya. Menurut perubatan moden, minum arak terlalu banyak boleh menyebabkan delirium tremens atau tubuh menggeletar tanpa dapat dikawal.  Arak juga boleh menyebabkan urat saraf rosak, dan jika bertambah teruk, hati akan rosak. Sudah berbagai-bagai usaha dilakukan untuk mengubati Maharaja Tenggiri tetapi tidak berhasil. Dalam pada itu ada satu jin yang pernah bermimpi bahawa akan datang sekumpulan jin yang mampu mengubati penyakit maharaja mereka. Oleh hal yang demikian, rombongan Sulaiman Hilmi telah dijemput untuk mengubati Maharaja Tenggiri.

Sulaiman Hilmi hanya menggunakan air yang dibaca ayat-ayat al-qur’an dan dengan izin Allah, penyakit Maharaja Tenggiri sembuh. Akhirnya Maharaja Tenggiri dan rakyat Samudera Suran memeluk agama Islam.




 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Detektif Indigo

Novel ini telah memenangi tempat kedua kategori Novel Remaja hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004. Novel ini mengisahkan tentang sekumpulan anak muda Islam, Chen-chung, Faruk, Mihrimah, Ruzbihan, Zaitun dan Isamu Nakamura yang diberikan kuasa telepati yang bioleh berhubung antara satu sama lain menggunakan minda. Chen-chung ialah seorang anak muda dari Kelantan yang hafiz al-Qur’an dan mempunyai IQ yang tinggi, 357. Dia juga dikatakan memiliki deria keenam atau ESP, Extra sensory perception. Kerana kebijaksanaannya, Chen-chung dihantar untuk belajar di sekolah khas yang dikendalikan oleh OIC. Di sekolah khas itu atau maktab Rendah Remaja Indigo, Chen-chung bersahabat dengan beberapa rakan yang mempunyai kelebihan seperti dirinya iaitu Faruk, Mihrimah dan beberapa orang lagi. Faruk berasal dari India dan memiliki kepandaian dalam bidang teknologi maklumat. Mihrimah Maryam pula gadis kacukan Melayu-Bosnia. Kebolehan istimewa gadis ini ialah dia boleh mengetahui apa-apa yang berlaku walaupun tidak ada di tempat tersebut. Dikatakan, dia boleh melukis ‘Saskia Flora’, lukisan yang dihasilkan oleh pelukis agung dunia, Rembrandt.

Semasa berada di sekolah khas ini, mereka diajar pelbagai ilmu pengetahuan dan tugas utama remaja indigo ini ialah sebagai penyiasat. Mereka diminta menyiasat kes pembunuhan yang berlaku dan dengan kepakaran yang dimiliki, mereka berjaya menyelesaikannya. Selain itu, mereka juga digemparkan dengan peristiwa pengetua dan guru mereka yang dituduh menjadi terorisme oleh kuasa barat.  sebagai anak-anak indigo yang diberikan kelebihan dan keistimewaan, mereka diberi peluang untuk menyiasat dan akhirnya berjaya membebaskan guru-guru mereka daripada tuduhan jahat pihak barat yang memang anti Islam.

 

 

 

 

 

 

Nama beta Sultan Alauddin

Novel ini dihasilkan pada tahun 2007 sebagai satu wadah memperbanyakkan karya-karya berkaitan sejarah khususnya tokoh-tokoh sejarah tempatan sebagai satu alternatif kepada kanak-kanak yang terlalu disogok dengan watak-watak super natural barat yang tidak berpijak di alam nyata. Novel ini mengisahkan ketokohan Sultan Alauddin Riayat Syah yang memang terkenal dalam sejarah sebagai seorang sultan yang prihatin dan mengambil berat masalah yang berlaku dalam negeri Melaka. Sultan Alauddin Riayat Syah dikatakan anakanda Sultan Mansur Syah dengan Raden Galoh Cendera Kirana. Nama asal baginda ialah Raja Husain.

Semasa kecil, Raja Husain amat dicemburui oleh saudara-saudaranya terutama Raja Ahmad sehingga pernah Raja Ahmad menganiaya Raja Husain dengan cuba membunuhnya dengan memukulnya dari belakang dan meninggalkan Raja Husain di dalam hutan tetapi gagal. Raja Husain diselamatkan oleh seorang tua yang kemudiannya dikenali sebagai khaidir yang mengajar baginda ilmu persilatan dan berpesan supaya belajar ilmu keagamaan dengan seorang guru agama bernama Nuh Ha Mim. Setelah diberikan pelbagai dugaan dan ujian, akhirnya Raja Husain diterima menjadi murid Nuh Ha Mim.

Selain belajar tasawuf daripada Nuh Ha Mim, Raja Husain juga belajar ilmu persilatan daripada Hang Tuah. Baginda juga dengan bantuan Hang Isap dan Hang Siak telah membina kereta lembu. Kereta lembu yang dibina oleh Raja Husain sebenarnya kias ibarat kepada ilmu tasawuf yang dipelajari daripada Nuh Ha Mim.

Raja Husain kemudiannya dilantik menjadi pemerintah Melaka dengan memakai gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah menggantikan ayahandanya Sultan Mansur Syah. Sepatutnya, pemerintah Melaka ialah Raja Ahmad tetapi tindakan Raja Ahmad membunuh anak Tun Perak dalam peristiwa bermain sepak raga menyebabkan Raja Ahmad tersisih.

Semasa Sultan alauddin menjadi pemerintah, Melaka berada dalam keadaan jenayah yang meruncing sehingga nama Melaka tercemar. Oleh hal yang demikian, Sultan Alauddin telah menguatkuasakan peraturan yang ketat dan bertindak sendiri meninjau keadaan negeri Melaka. Baginda dengan dibantu oleh dua sahabatnya meronda dan berjaya membunuh perompak. Corak pemerintahan baginda ini adalah ditiru daripada pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sebagaimana saranan gurunya.

Semasa pemerintahan baginda, berlaku beberapa peristiwa penting di Melaka. Antaranya, hubungan keruh antara Melaka dengan Aru dan Siak. Kemangkatan Tun Perak dan konflik Melaka dengan Pahang. Kematian Tun Perak kemudiannya digantikan oleh Tun Mutahir.

Sultan Alauddin bercadang untuk mengerjakan ibadat haji dan akan berangkat pada hari raya kedua. sebelum berangkat, baginda berkhalwat di Paguh. Semasa berada di sana, Tun Mutahir, Sultan Ahmad dan beberapa orang kerabat telah datang melawat dan memberi makanan kepada Sultan. Selang beberapa hari kemudian, Sultan Alauddin Riayat Syah mangkat dan makam baginda terdapat di Pagoh.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Surat-surat Perempuan Johor

Novel ini telah memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1 yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2005. Novel ini mengisahkan Ungku Nur membawa diri meninggalkan Johor ke Turki setelah bercerai dengan suaminya, seorang ahli politik. Pemergian Ungku Nur juga kerana ingin membuat kajian tentang hubungan antara kerajaan Johor dengan kerajaan Uthmaniyah Turki. Sebelum ke Turki, Ungku Nur dibekali dengan beberapa pucuk surat yang ditulis oleh Ungku Hamidah, keluarga sebelah bapanya yang menurut Ungku Nur mempunyai banyak maklumat sejarah yang penting berkaitan hubungan Johor-Turki khususnya tentang undang-undang Islam.

Ungku Hamidah semasa berada di Turki selalu mengirim surat kepada kaum kerabat diraja Johor menasihati mereka agar sentiasa beringat dengan muslihat dan niat jahat kuasa barat terutama Inggeris yang bercita-cita menguasai Johor kerana pada masa itu, seluruh Tanah Melayu sudah dikuasai mereka kecuali Johor. Oleh hal yang demikian, Inggeris mencari jalan untuk menguasai Johor. Ungku Hamidah yang menetap lama di Turki sudah melihat muslihat dan cara jahat yang dilakukan oleh Inggeris terhadap Turki menyebabkan timbul kesedaran dalam dirinya untuk menasihati kaum keluarga yang rapat dengan Sultan Johor agar negeri Johor tidak tertakluk kepada Inggeris. Dalam masa yang sama, Ungku Hamidah dikatakan memiliki harta di sana yang menunjukkan kehebatan perempuan Johor dalam bidang perniagaan.

Dalam masa yang sama Ungku Nur yang berada di Turki sebenarnya mengidap penyakit barah otak dan menunggu saat-saat kematian tetapi tidak pernah putus asa  menjalankan penyelidikan untuk mengetahui kisah sebenar hubungan Johor-Turki terutama usaha yang dilakukan oleh pemerintah-pemerintah Johor mendaulatkan undang-undang Islam dalam pemerintahan negeri Johor. Melalui penyelidikannya, didapati bahawa kerajaan Johor mengambil panduan undang-undang Islam yang diamalkan oleh kerajaan Turki untuk dilaksanakan di Johor.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Ungku Nur, didapati bahawa Ungku Hamidah itu seorang yang cukup hebat. Dikatakan Ungku Hamidah adalah seorang karyawan kerana mengarang syair tentang Sultan Abu Bakar. Ungku Maimunah juga telah berkahwin dengan pemuda Turki dan perkahwinan itu sebenarnya tidak diketahui oleh keluarganya.

Semasa di Turki, Ungku Nur telah berjaya merungkai beberapa sejarah yang tidak tercatat dalam buku-buku sejarah yang ditulis oleh kuasa barat sedangkan sejarah sebenar adalah sebaliknya. Dalam kajian yang dijalankan oleh Ungku Nur, didapati kerajaan Johor mahu melaksanakan undang-undang Islam tetapi tekanan yang dikenakan oleh Inggeris kepada pemerintah Johor menyebabkan sultan Johor terpaksa akur bimbangkan takhta pemerintahan baginda.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Manikam Kalbu

Novel Manikam Kalbu dihasilkan oleh Faisal Tehrani pada tahun 2007. Novel ini telah memenangi tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP kategori remaja. Novel ini menceritakan tentang dua latar yang berbeza, iaitu zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Melaka dan zaman moden tetapi bertemakan penciptaan busana Melayu. Ziryab Zaim ialah seorang remaja lelaki yang meminati dunia busana. Dia satu-satunya pelajar lelaki yang telah mengambil jurusan Ekonomi Rumah Tangga di sekolah teknik. Pemilihan jurusan ini kerana keterlibatannya dalam bidang jahitan sejak kecil lagi membantu neneknya yang merupakan seorang tukang jahit. Nama Ziryab itu dikatakan sempena nama seorang ulama yang memperkenalkan fesyen musim dingin dan musim panas untuk masyarakat Eropah pada zaman  kerajaan Islam Andalusia iaitu Abu Hassan Ali bin Nafi yang lahir di Iraq pada tahun 789 Hijrah. Nenek Ziryab merupakan seorang tukang busana istana diraja tetapi mengundurkan diri kerana tidak mahu menjahit pakaian moden. Ziryab mewarisi kepandaian neneknya dalam bidang rekaan dan fesyen ini.

Ziryab tinggal bersama ibu bapa angkat yang prihatin dengan nasibnya. Dia juga disenangi oleh guru-gurunya yang memahami potensi dirinya dalam bidang rekaan fesyen sehingga dipilih antara 22 orang remaja mengikuti kursus berkaitan rekaan di Jabatan Fashion Design and Industrial Tailoring di Paris dan British Institute of Tailoring di London. Sebelum berangkat ke luar negara, Ziryab dinasihati oleh guru-gurunya akan tanggungjawabnya sebagai seorang remaja Melayu Islam agar mengetengahkan seni busana Islam sebagai satu perkara yang perlu diberikan keutamaan.

Dalam masa yang sama, diceritakan kisah bagaimana terciptanya busana Melayu di Melaka. Sultan Muhammad Syah telah bermimpi melihat puteri baginda yang memakai baju yang tidak menepati suruhan agama, atau dengan kata lain mendedahkan aurat. Menyedari  bangsa Melayu tidak mempunyai identiti busana, Sultan Muhammad Syah telah mengadakan satu pertandingan mereka cipta busana untuk bangsa Melayu. Baginda dengan nasihat seorang guru agama, Tuan Guru Hj Nuh Ha Mim telah membuat beberapa syarat untuk menghasilkan busana Melayu. Antara syaratnya ialah bersandarkan surah al-A’raf ayat 26 yang bermaksud, Wahai anak Adam sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Syarat-syarat yang dikenakan oleh Sultan Muhammad untuk busana Melayu ialah, pertama, hendaklah pantang membuka aurat. Kedua, kainnya tidak boleh nipis, ketiga, tidak boleh ketat. Keempat, tidak boleh meniru pakaian bangsa lain, kelima, bertunjangkan hukum agama dengan tidak terlalu menunjuk-nunjuk.

Berdasarkan syarat-syarat ini, dua peserta  berjaya memasuki pertandingan akhir iaitu seorang gadis yang merupakan golongan bangsawan dan seorang anak hamba istana iaitu Manikam Kalbu. Padsa akhir persembahan, Manikam Kalbu telah memenangi pertandingan tersebut. Hasil rekaan Manikam Kalbu ialah pakaian baju kurung dan baju Melayu yang dipakai oleh masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Biodata Faisal Tehrani

Faisal Tehrani atau nama penuhnya Mohd Faizal bin Musa dilahirkan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos 1974. Semasa berusia 5 tahun, beliau dibawa ibu bapanya berpindah ke Melaka dan dibesarkan di kota bersejarah tersebut. Faisal mendapat pendidikan rendah di Sacred Heart dan Sekolah Rendah Jalan Dato Palembang di Melaka dan mendapat 5A dalam penilaian sekolah rendah. Faisal kemudian melanjutkan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Sultan Muhammad sehingga tingkatan 3. Lantaran keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajarannya (SRP), beliau ditawarkan belajar di  Kolej Islam Kelang (Kolej Islam Sultan Alam Shah).

Faisal meneruskan legasi pendidikannya di Akademik Islam Nilam Puri, Kelantan sebelum memperolehi ijazah pertamanya dalam bidang Syariah Politik daripada Universiti Malaya. Beliau bertugas seketika sebagai fellow di Universiti Sains Malaysia sebelum meneruskan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kesusasteraan di universiti yang sama. Beliau memperolehi ijazah kedoktoran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2010. Beliau sekarang bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Faisal Tehrani merupakan seorang penulis yang rajin. Beliau mula melibatkan diri dalam dunia penulisan seawal usia 16 tahun. Pada ketika itu, Faisal menulis sekadar untuk mendapatkan duit poket menampung perbelanjaan harian sahaja tetapi lama kelamaan menjadi suatu minat yang tidak dapat disekat-sekat. Dalam bidang penulisan ini, Faisal berpegang kepada prinsip, “saya menulis bukan untuk khalayak hari ini tetapi juga untuk khalayak hari esok.”. Justeru, karya penulisannya melampaui zaman. Ini sesuai dengan pandangannya sendiri yang mahukan khalayak pembaca khususnya remaja mempunyai jati diri dalam menangani permasalahan yang berlaku dalam negara masa kini seperti iklim politik, tidak menentu, isu-isu agama yang meruncing dan sering timbul polemik dan perdebatan, ancaman hedonisme dan pluralisme yang boleh menghancurkan bangsa dan agama dan lain-lain lagi. Sehingga kini, Faisal telah menghasilkan lebih daripada 30 buah cerpen, 20 novel, sebilangan skrip drama, antologi cerpen dan kritikan.

Faisal dikatakan seorang penulis yang mampu menghasilkan karya yang meruntun jiwa dengan lenggok bahasa yang indah dan ketajaman dalam menyampaikan hujah terutama petikan al-Qur’an dan hadis. Beliau dikatakan mewarisi ketajaman berhujah dalam bidang politik daripada Shahnon Ahmad, kekuatan berbahasa yang diperturunkan oleh A. Samad Said dan Siti Zainon Ismail.

Dalam berkarya, menurut Faisal, “Saya remaja yang agak awal meletakkan sikap. Masalah remaja kini ialah tidak bersikap. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak bersikap dalam hal kemasukan budaya asing sebagai contoh. Mereka tidak bersikap dalam hal politik negara yang iklimnya tidak menentu kebelakangan ini. Mereka tidak bersikap dalam hal agama yang menuntut kita menerobos masuk wilayah sempit untuk tiba ke wilayah yang lebih luas lagi. Mereka tidak bersikap apa-apa pun. Mereka hanya melulu. Bukan meletakkan sikap pada sesuatu isu. Oleh sebab terburu-buru itulah mereka masuk ke jaringan yang rancu. Tanpa sikap, kita tidak dapagt menentukan situasi diri kita. Untuk bersikap, seseorang perlu menggali jati dirinya kembali. Hanya dengan bersikap, remaja dapat mengenali letak dirinya, sama ada di tengah hedonisme melanda ataupun di tengah gelodak pluralisme menduga. (Dewan Siswa, April 2010).

Faisal Tehrani merupakan seorang penulis yang cukup hebat. Dalam tempoh sepuluh tahun pertama terlibat dalam bidang penulisan, beliau telah mencatat rekod yang membanggakan kerana antara penulis termuda yang memenangi anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan memanangi sembilan tahun berturut-turut Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

 

Faisal Tehrani menghasilkan karya sastera dalam pelbagai genre. Dalam bidang novel, garapannya termasuklah Cinta hari-hari rusuhan yang diterbitkan pada tahun 2000 dan dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Novel Perempuan politikus Melayu yang diterbitkan juga pada tahun 2000 turut dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000. Novel ini mendapat pujian daripada beberapa orang pengkritik termasuk Profesor Madya Amida Abdul Hamid, SM Zakir dan Dato’ Johan Jaafar yang menganggasp novel ini sebagai sebuah novel yang berani.

Novel 1515 telah membuktikan kehebatan Faisal dalam bidang penulisan. Novel ini telah memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil pada tahun 2002. 1515  turut dipilih oleh Universiti Cologne, Jerman sebagai teks bacaan wajib mahasiswa pengajian Melayunya. Di samping itu, novel ini juga menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 untuk kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu.

Novel-novel lain Faisal Tehrani yang pernah memenangi anugerah dan hadiah ialah 1511H[Kombat] yang mendapat tempat pertama hadiah Sastera Utusan Malaysia Exxon Mobil pada tahun 2003. Advencer sipeniup ney dan Detektif Indigo yang memenangi tempat pertama dan kedua hadiah sastera pada tahun 2004. Surat-surat perempuan Johor pula memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1 pada tahun 2005. Bedar sukma bisu pula memenangi tempat pertama Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel umum. Novel ini juga turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2006-2007. Manikam kalbu yang dihasilkan pada tahun yang sama turut menjulang nama Faisal sebagai penulis novel yang berjaya. Novel ini memenangi anugerah utama Sayembara yang sama  bagi kategori novel remaja dan Anugerah Buku Kebangsaan kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Manikam kalbu  turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007.

Faisal turut menghasilkan novel-novel seperti Ikan fugu, lukisan dan Jimson (2007), Tuhan manusia (2007), Nama beta Sultan Alauddin (2007), Detektif Indigo kembali (2008), Ketupat cinta (2009), Saasatul Ibaad (2008), Bahlut (2010) dan Sebongkah batu di Kuala Berang (2011)

Selain genre novel, bakat kepengarangan Faisal turut terserlah dalam bidang cerpen. Cerpen  Anastasia  merupakan cerpen pertama yang dihasilkan oleh Faisal dan diterbitkan dalam majalah Muslimah pada tahun 1992. Cerpen ini juga merupakan karya pertama yang dihasilkan oleh Faisal. Kehadiran Faisal dalam bidang kesusasteraan negara hanya disedari apabila dua buah cerpennya menerima Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank pada tahun 1994 yang bertajuk  Anak  dan  Opah. Pada tahun tersebut juga Faisal telah mengungguli Hadiah Sastera Siswa-DBP-Bank Rakyat lewat cerpennya Malam ini Philadelphia menangis.

Faisal terus mengembangkan bakat kreatifnya dalam bidang cerpen apabila pada tahun berikutnya telah memenangi Hadiah Sastera Utusan dengan cerpen Pemberontakan kedua.  Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank 1996 merupakan lubuk rezeki Faisal apabila dua cerpennya memenangi hadiah utama, iaitu cerpen  Perempuan anggerik  dan  Api KL belum terpadam.Perempuan anggerik turut memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 1996/1997, malah telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai, Inggeris dan Jepun serta turut diadaptasikan dalam bentuk dramatari oleh kareografi terkenal, Jasni Abdul Hamid dari Adikara Dance Theatre pada 29 Julai  2001. Pada tahun 1996 juga, cerpennya Menanti subuh meraih Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS.

Idea Faisal tidak pernah kering dalam menghasilkan cerpen yang bermutu. Cerpen-cerpennya, Surat untuk Gabe 1 (1997), Cinta gendang kasturi(1998), Bulan dan wira (1999),Irisan-irisan mimpi  dan Syahid Raja Api(2000) telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia. Cerpen Cahaya pada jiwa (2001) pula telah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam pada tahun 2001. Selain itu, cerpen beliau Kerana manisnya epal telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai cerpen kajian untuk peringkat SPM.

Antara kumpulan cerpen yang pernah dihasilkan oleh Faisal ialah kumpulan cerpen mini Sehari dalam perang (1997), Safari Gilgit (1997), kumpulan cerpen  Underground (2000) yang diterbitkan bersama Azman Husin, Lagi-lagi Underground (2000) bersama Saharil Hasril Sanin, Perempuan Anggerik (2002), Kekasih Sam Po Bo (2006) dan Tiga kali seminggu (2010).

Faisal Tehrani juga menyerlah dalam genre drama. Rintih Chicago telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 1996/1997. Drama Angin Madinah pula merangkul dua anugerah serentak, Hadiah Sastera Perdana 2000/2001 dan Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia-DBP. Selain daripada menghasilkan skrip drama, Faisal turut berkemampuan sebagai pengarah. Antara drama yang diarahkannya ialah Misi (1999) yang pementasannya dibiayai oleh DBP. Drama ini dipentaskan di Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.  Faisal juga turut memberi penghormatan dan tanda kekaguman kepada gurunya Shahnon Ahmad dengan mementaskan drama Tivi (2003). Drama ini juga dibiayai oleh DBP di bawah peruntukan program Teater Kecil, bahagian Sastera Kebangsaan.

Drama Monsopiad dan lain-lain cerita pernah dipentaskan di Esplanade Singapura (2003) yang kos pementasannya dibiayai sepenuhnya oleh National Art Council of Singapore. Skrip  drama ini juga menerima pengiktirafan apabila dicalonkan untuk anugerah Cameronian Award 2003. Kopitian Ghadir juga hasil buah tangan Faisal yang pernah dipentaskan pada Julai 2010. Drama keagamaan ini diselitkan persembahan nasyid pertama kali dipentaskan pada September 2009. Selain daripada itu, lain-lain drama yang telah dihasilkan oleh Faisal ialah Dua jam sebelum Sultan Alauddin syahid diracun (2008), Karbala (2008). Faisal pernah menerima anugerah tertinggi dalam bidang penulisan skrip drama pentas pada tahun 2006 iaitu Anugerah Seni Negara.

Dalam bidang puisi pula, Faisal telah menghasilkan kumpulan puisi pertamanya Ingin jadi Nasrallah pada tahun 2010 dan pernah juga menghasilkan sebuah buku panduan penulisan kreatif,  Karya nan indah pada tahun 2007.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SENARAI SEMAK PERSPEKTIF ISLAMI DALAM NOVEL-NOVEL TERPILIH FAISAL TEHRANI

BIL
NOVEL
POLITIK
EKONOMI
SOSIAL
1
ADVENCER SI PENIUP NEY
kepimpinan
 
agama
hiburan
2
BILA TUHAN BERBICARA
 
 
agama
kaji bumi
kesihatan
3
TUHAN MANUSIA
 
 
agama
4
1511[H]KOMBAT
hubungan diplomatik
ketenteraan
kepimpinan
 
peranan golongan muda
5
1515
ketenteraan
 
 
 
6
TUNGGU TEDUH DULU
 
pertanian
persahabatan
7
MANIKAM KALBU
hubungan antarabangsa Melaka-China
rekaan busana
kasih sayang
pendidikan
8
SURAT-SURAT PEREMPUAN JOHOR
hubungan antarabangsa
undang-undang Islam
 
persahabatan
9
DETEKTIF INDIGO
 
 
penyiasatan
10
BEDAR SUKMA BISU
hubungan antarabangsa
pembinaan kapal
 
11
SEBONGKAH BATU DI KUALA BERANG
 
 
agama
bidang teater/ filem
12
KETUPAT CINTA
 
 
masakan Melayu
13
BAHLUT
 
 
masyarakat orang asli
14
NAMA BETA SULTAN ALAUDDIN
perebutan takhta
 
 
hubungan kekeluargaan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Manikam Kalbu :Busana Melayu busana Islam.

Novel Manikam Kalbu mengetengahkan tema busana Melayu Islam. Novel ini mengesahkan tentang kerunsingan Sultan Muhammad Syah, pemerintah Melaka kedua yang beragama Islam. Baginda telah bermimpi melihat anakandanya Puteri Kecil Cempaka Lana memakai pakaian yang terlalu menjolok mata. Pakaiannya dikatakan jauh daripada kehendak Islam yang mewajibkan menutup aurat. Sedar daripada tidur, baginda Sultan Muhammad Syah beristiqamah untuk menegakkan syiar Islam di negeri Melaka. Baginda telah memerintahkan agar digubal satu undang-undang supaya masyarakat Melayu islam mempunyai busana sendiri yang berteraskan akidah dan syariah dan berpaksikan budi dan akar bangsa Melayu. Baginda juga telah mengambil keputusan untuk menganjurkan satu pertandingan mencipta busana yang mana pemenangnya akan menerima 20000 dinar emas dan dirham perak dan beberapa hadiah iringan.

Untuk kesempurnaan pertandingan mereka busana Melayu itu, Sultan Muhammad Syah telah meminta nasihat daripada ulama tersohor Melaka pada masa itu iaitu, tuan Guru Nuh Ha Mim. Guru ini telah mengenakan syarat bahawa busana tersebut mestilah berteraskan ayat 26 dan 27 surah al-A’raf yang bermaksud,

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya 'auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin  bagi orang-orang yang tidak beriman.

Tuan Guru Nuh Ha Mim telah menggariskan beberapa syarat busana Melayu iaitu, pertama, tidak boleh dedahkan aurat, kedua, kainnya tidak boleh nipis yang menampakkan susuk badan. Ketiga, potongannya tidak ketat. Keempat, tidak boleh meniru busana bangsa asing yang bertentangan dengan jati diri bangsa Melayu dan Islam dan yang kelimanya, jangan memandai-mandai menghasilkan busana yang tidak menepati akar bangsa. Bagi busana untuk kaum lelaki pula, dikenakan syarat-syarat yang hampir sama, termasuk tidak menonjolkan susuk badan pemakainya (Manikam Kalbu, 45-48)

Manikam Kalbu lebih mementingkan wacana daripada cerita. Ini bertepatan dengan gesaan gagasan Persuratan Baru yang menjadi teras dalam mengkelompokkan sesebuah karya itu. Menurut gagasan Persuratan Baru, Persuratan Baru mengutamakan ilmu, pemikiran, dan kebijaksanaan..... Kedua, Persuratan Baru memakai gaya penulisan yang bercorak kesarjanaan, gaya ilmiah tetapi indah. Gaya itu ilmiah kerana isinya bersifat ilmu; tetapi indah, kerana disampaikan dalam bentuk seni. Ketiga, Persuratan Baru mengutamakan gagasan, membicarakan dengan mendalam gagasan itu dengan menggunakan watak-watak yang kuat, yang bermoral, beragama, berilmu dan sebagainya............ watak-watak ini adalah watak yang unggul yang boleh dicontohi.......... Yang diutamakan dan diberi kedudukan tinggi dalam Persuratan Baru antara lain ialah “stylization of ideas”. ( Dewan Masyarakat, September 1994 dalam Gagasan Persuratan Baru, 242).

Berdasarkan pernyataan di atas, Manikam Kalbu lebih mengutamakan ilmu dalam menterjemahkan idea pengarangnya. Menggunakan watak-watak yang berilmu, bijaksana, boleh dicontohi dan sanggup berkorban untuk mencapai cita-cita. Manikam Kalbu dalam Manikam Kalbu digambarkan sebagai seorang anak muda yang berilmu dan bijaksana. Manikam Kalbu dianugerahi kepandaian dalam seni rekaan fesyen pakaian sehingga mampu menghasilkan baju kurung untuk lelaki dan perempuan. Busana ini dinamakan kurung kerana pemakainya akan dikurung oleh syarak, maksudnya, baju kurung ini tidak ketat dan memenuhi sifat-sifat yang ditetapkan oleh Tuan Guru Nuh Ha Mim yang lima itu. Apa yang di pentingkan dalam novel Manikam Kalbu  ini ialah ilmu yang cuba diterapkan berbanding cerita. Watak-watak dalam cerita ini hanya berfungsi menyampaikan wacana atau ilmu yang cuba dikembangkan oleh pengarangnya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa baju kurung menepati kriteria jati diri bangsa Melayu Islam. Baju ini labuh, selesa, longgar dan sesuai di pakai dalam apa jua suasana. Baju kurung berbutang lima untuk lelaki memberi gambaran tentang rukum Islam yang lima manakala yang berbutang satu pula  melambangkan akidah Islam yang mengesakan Allah yang satu.



[1] Dalam Sasterawan Tentera- Posisi Baru Perjuangan Penulis Islam yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 6 Januari 2005
[2] Dalam Sasterawan Tentera- Posisi Baru Perjuangan Penulis Islam yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 6 Januari 2005
[3] Istilah yang digunakan oleh tokoh sosiologi Dwight Macdonald yang beranggapan budaya ini sebagai produk sampah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan